Disember 5, 2024

Search
Close this search box.
n

JOHOR BAHRU, 4 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan misi sukarelawan pasca banjir di Kelantan bermula 4 hingga 6 Disember 2024. Misi ini bertujuan membantu mangsa banjir yang terkesan melalui pembersihan kawasan serta penghantaran barangan keperluan asas.

Majlis pelepasan konvoi telah disempurnakan oleh Pendaftar UTM, Puan Nor Azizah Ismail, bertempat di Galeria Siswa, UTM Johor Bahru pada jam 8.00 pagi. Turut hadir barisan Pengurusan Tertinggi UTM, wakil Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA), dan Pusat Islam, yang memberikan sokongan kepada skuad sukarelawan.

Konvoi turut melibatkan kontinjen dari UTM Kuala Lumpur yang dilepaskan pada waktu yang sama. Seramai 64 sukarelawan terlibat dalam misi ini, terdiri daripada 46 pelajar, 11 staf, dan 7 pemandu (31 dari UTM Johor Bahru dan 15 dari UTM Kuala Lumpur).

Bagi memastikan kelancaran operasi, skuad sukarelawan telah membawa pelbagai kenderaan dan peralatan pembersihan termasuk satu lori 8 tan, sebuah kenderaan pacuan empat roda (Hilux 4×4), dua Innova, satu van, dua bas, dua waterjet, dan satu pam air. Mereka turut membawa 50 Bakul Ihsan Madani sumbangan JTNCHEPA dan barangan keperluan harian melalui program UTM Prihatin seperti tuala, lampin bayi dan dewasa, tuala wanita, selimut, teh, kopi, gula, susu, sardin, dan beras.

n
Majlis pelepasan misi ini telah disempurnakan oleh Puan Nor Azizah binti Ismail, Pendaftar UTM

Misi ini diketuai oleh Timbalan Pendaftar JTNCHEPA, Encik Mohd Fauzi Abd Rahman merangkap Penyelaras Misi Banjir Ihsan Madani, manakala Ketua Misi Pelajar ialah Muhammad Hazim Azatul Amery, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2024/2025.

Menurut Encik Mohd Fauzi, usaha ini selaras dengan cogan kata UTM, “Kerana Tuhan Untuk Manusia.” Beliau menekankan kepentingan nilai tolong-menolong seperti terkandung dalam firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah, ayat 2: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.

n
Encik Mohd Fauzi Abd Rahman bertindak sebagai penyelaras utama bagi Misi Banjir Ihsan Madani ini

Pihak universiti berharap agar misi ini dapat meringankan beban mangsa banjir di Kelantan serta menjadi platform kepada warga UTM untuk menyumbang tenaga dan kepakaran kepada masyarakat. Skuad ini dijangka kembali ke kampus pada 6 Disember 2024 setelah menyelesaikan misi.

Dengan semangat “Ihsan Madani”, UTM terus komited membantu masyarakat yang memerlukan melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan kemanusiaan. Program ini merupakan sinergi antara JTCNHEPA, UTM Prihatin, MPP UTM, Kelab Volunteer UTM dan sukarelawan pelajar.

Cabaran Pelajar UTM Terkesan Banjir

Muhammad Khairil Ammar Mohd Nazri, pelajar tahun 4 dalam jurusan Sains Komputer (Rangkaian & Keselamatan Komputer) di Fakulti Komputeran, menghadapi cabaran besar apabila banjir melanda kawasan kediamannya di Pasir Puteh, Kelantan. Banjir yang bermula pada hari kedua memaksa beliau dan keluarganya berpindah ke rumah saudara di kawasan lebih tinggi. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila neneknya yang uzur akibat strok terpaksa dipindahkan dengan menggunakan bot kerana air sudah mencapai paras pinggang. “Ayah dan abang mengangkat nenek ke bot untuk dibawa ke tepi jalan sebelum kami memindahkannya ke rumah saudara,” jelasnya.

“Setiap tahun, kawasan ini akan dilanda banjir, tetapi kali ini lebih teruk. Cabaran utama kami adalah mencari makanan, dan saya terpaksa meredah banjir beberapa kali untuk mendapatkan bekalan,” katanya menggambarkan kesukaran banjir pada kali ini.

Ammar, yang sedang menjalani latihan industri di Yayasan Raja Shamri, turut mengambil cuti beberapa hari untuk membantu keluarganya mengharungi banjir. Yayasan Raja Shamri bukan sahaja menjadi tempat latihan industrinya, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memberikan sumbangan kepada mangsa banjir, termasuk keluarganya sendiri. Sebagai pelatih, beliau akan kembali bertugas membantu mangsa-mangsa banjir lain melalui yayasan tersebut.

Muhammad Khairil Ammar dari Pasir Puteh terpaksa mengharungi banjir menggunakan bot setelah air mencapai paras tinggi

Sementara itu, Nurul Fatihah Kamarudin, pelajar jurusan Sains Bioteknologi dari Fakulti Sains, turut terkesan apabila banjir melanda kediamannya di Tanah Merah. Walaupun rumahnya masih terjejas, beliau tetap komited mengikuti kelas secara dalam talian. “Kelas tetap berjalan seperti biasa, dan saya mengikuti kelas secara atas talian,” jelasnya, menunjukkan kesungguhan untuk tidak ketinggalan dalam pelajaran walaupun dalam keadaan sukar.

Fatihah dan keluarganya sebelum ini berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1 selepas banjir melanda. Mereka mengalami kerosakan harta benda, termasuk peti sejuk, kereta, dan beberapa barangan dapur yang terpaksa dibuang akibat ditenggelami air. Walau bagaimanapun, dokumen penting berjaya diselamatkan.

“Alhamdulillah, keadaan rumah kami kini semakin pulih,bahagian dapur dan garaj kereta yang ditenggelami air telah pun dicuci dan dibersihkan,” tambahnya.

Dengan kesungguhan dan ketabahan, Fatihah terus komited meneruskan pengajian sambil membantu keluarganya menghadapi cabaran selepas banjir.

Nurul Fatihah tetap bersemangat meneruskan pengajian walaupun terpaksa tinggal dalam khemah di PPS SMK Tanah Merah 1

Sebagai universiti yang mementingkan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat, UTM terus menunjukkan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya melalui misi pasca banjir ini. Kecekalan sukarelawan UTM, bersama-sama dengan semangat pelajar yang gigih menghadapi cabaran banjir, membuktikan betapa pentingnya nilai ihsan dan perpaduan dalam menghadapi dugaan.

Diharapkan usaha ini bukan sahaja dapat meringankan beban mangsa banjir, tetapi juga menjadi inspirasi kepada semua pihak untuk terus berbakti kepada masyarakat. Dengan semangat “Kerana Tuhan Untuk Manusia,” UTM akan terus memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang prihatin dan berdedikasi untuk kemajuan ummah dan negara.

Explore More