SKUDAI, 8 Dis – Program Komuniti Kejiranan Selamat dan Sejahtera telah diadakan dengan jayanya pada 8 Disember 2024 bertempat di Masjid Taman Sri Pulai, Skudai, Johor. Program tercetus kerana keselamatan di industri atau tempat kerja sangat ditekankan oleh agensi dan kementerian. Walau bagaimanapun, penekanan kepada keselamatan di rumah tidak dititikberatkan sebagaimana keselamatan di tempat kerja.
Oleh demikian, bagi menjayakan program kejiranan selamat dan sejahtera, Dr. Nazmona Mat Ali selaku ketua projek dan Dr. Norafneeza Norazahar selaku ketua sub-projek bekerjasama dengan Masjid Taman Sri Pulai, ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Pulai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, dan Halliburton. Program ini telah mendapat geran dibawah program pemindahan ilmu (KTP) daripada Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM.
Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam kalangan penduduk setempat, mengukuhkan hubungan silaturahim dalam komuniti, dan mempromosikan gaya hidup yang sejahtera. Program ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan kuat daripada pelbagai pihak terutama Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Taman Sri Pulai yang telah menaja makan dan minum, menyediakan ruang dan kemudahan yang selesa untuk pelaksanaan program ini.
Manakala, pihak BBP Skudai memainkan peranan penting dalam memberikan pendedahan keselamatan di rumah terutama keselamatan elektrik dan gas yang praktikal kepada para peserta. Sementara itu, wakil syarikat Halliburton mengambil bahagian dengan memberi ceramah keselamatan bahan kimia di rumah dan juga mengadakan pameran yang berinformatif, serta pihak Seksyen Alam Sekitar, Pejabat Persekitaran Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM turut bersama dalam memberikan sokongan padu terhadap program komuniti ini.
Antara aktiviti yang telah berlangsung termasuklah ceramah, demonstrasi, kuiz, pameran, dan cabutan bertuah. Tarikan utama program ini ialah demonstrasi keselamatan yang diketuai oleh PKPgB Tc. Saifulbahri Safar dan pasukan BBP Skudai yang terlatih dan cekap. Demonstrasi menunjukkan langkah-langkah awal memadamkan api kebakaran yang membabitkan gas memasak dan langkah menyelamatkan diri di rumah dengan betul semasa kecemasan. Seterusnya, BBP Skudai juga berkongsi ilmu dan kemahiran asas Program Sedia Urus Risiko Isi Rumah (ISURI) berkenaan panduan berguna kepada suri rumah dan komuniti Taman Sri Pulai semasa menghadapi api kebakaran.
Syarikat Halliburton, diketuai oleh Norazah Saffee, Pengurus Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (HSE) menyediakan ceramah bermula dengan pengenalan kepada jenis bahaya di rumah, jenis peralatan kecemasan, dan amalan 5S (Susun, Sapu, Seragam, Sentiasa amal, Sisih). Program ini turut menampilkan inisiatif kitar semula yang dijalankan dengan kerjasama CBH Recycle M Sdn. Bhd. dan Apeiron Bioenergy. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kitar semula serta cara yang betul untuk menguruskan sisa domestik secara lestari. Pihak komuniti juga sangat menyokong dalam program menjual minyak masak terpakai di program ini dan jumlah keseluruhan kutipan minyak masak terpakai oleh pihak Apeiron Bioenergy adalah sebanyak 1,000 kilogram. Kesedaran dan usaha komuniti Taman Sri Pulai ini dapat bersama-sama dalam menjaga dan terus menghijaukan bumi.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Dr. Nazmona Mat Ali dan Dr. Norafneeza Norazahar, serta seluruh AJK Program atas usaha gigih, dedikasi, dan komitmen mereka dalam memastikan kelancaran program ini. Kejayaan ini menjadi bukti bahawa kerjasama pelbagai pihak mampu membawa manfaat besar kepada komuniti.
Dengan kehadiran lebih 200 orang peserta, program ini telah berjaya memberikan impak positif kepada komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sepanjang hari tersebut. Semoga program seperti ini dapat terus diadakan pada masa akan datang dan menjadi inspirasi kepada komuniti lain untuk melaksanakan aktiviti yang memberi impak positif kepada masyarakat secara keseluruhan.