Disember 25, 2024

Featured Image NewsHub

UGS semarak penyelidikan mahasiswa tahun akhir melalui insentif UROP’24

Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui inisiatif Undergraduate Research Opportunities Program (UROP), terus melakar kejayaan dalam menyokong mahasiswa menjalankan penyelidikan berkualiti tinggi. Di bawah pelan Tindakan Hasil Utama Berimpak Tinggi (Key HIR) 2024, UROP’24 telah diperuntukkan dana sebanyak RM100,000 melalui dana enVision UTM 2025. Tujuan utama program ini adalah bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berfikiran kritis, dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

n
Sesi penyerahan cek cura oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail bagi program UROP’24 pada November lalu

UROP berfungsi sebagai platform penting untuk mahasiswa mendapatkan pendedahan kepada penyelesaian masalah, pelaksanaan projek sebenar, serta peluang untuk bekerjasama dengan organisasi berprestij, termasuk industri berskala besar seperti syarikat multinasional (MNC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan agensi kerajaan. Melalui program ini, jaringan strategik antara universiti, industri, dan komuniti turut diperkukuh, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Sebagai bukti keberkesanan inisiatif ini, sebanyak 144 kertas pembentangan penyelidikan telah dihantar pada tahun ini, dengan 118 pelajar berjaya menerima insentif penyelidikan bernilai antara RM500 hingga RM1,000 setiap seorang. Jumlah ini jauh melebihi sasaran awal seramai 100 pelajar. Pemilihan penerima dilakukan melalui sesi pitching yang disaring oleh panel penilai terdiri daripada penyelaras Projek Sarjana Muda (PSM) fakulti.

Dua penerima UROP’24, Muhammad Haziq Helmi Ismail dan Boon Yin Lee, telah berkongsi pengalaman mereka dalam sesi temu bual yang mengetengahkan impak kajian masing-masing terhadap industri dan masyarakat.

Kajian berimpak tinggi bersama industri

Muhammad Haziq Helmi, pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) dalam jurusan Kejuruteraan Kimia (Gas), memfokuskan penyelidikannya pada pembangunan kalkulator penjimatan tenaga yang inovatif, murah dan mesra pengguna dengan menggunakan perisian VBA Excel. Projek ini dirangka untuk membantu syarikat seperti PETRONAS mengurangkan kos pengunaan elektrik tahunan dan pelepasan karbon, sejajar dengan matlamat global bagi mencapai net zero carbon emission by 2050. Dengan bantuan dana UROP’24, Haziq berjaya menaik taraf perisian kalkulator tersebut dengan ciri-ciri yang lebih berkesan dan interaktif. Kerjasama erat dengan PETRONAS bukan sahaja memberikan akses kepada data mentah yang komprehensif tetapi juga pendedahan kepada analisis ekonomi tenaga dan pemodelan kecekapan tenaga.

Pelajar UROP UGS ()
Haziq juga menyatakan bahawa kajiannya dapat menyokong strategi kelestarian dan menyumbang penyelidikan bidang tenaga boleh diperbaharui

Sementara itu, Boon Yin Lee, pelajar tahun akhir dari fakulti yang sama, memfokuskan kajiannya kepada penghasilan ammonia hijau (green ammonia) daripada hidrogen hijau (green hydrogen) yang dihasilkan melalui tenaga solar. Bersama TNB Research Sdn. Bhd., Boon mendalami aspek ekonomi dan cabaran sebenar penghasilan ammonia hijau. Kajian ini bukan sahaja menyumbang kepada sektor pertanian melalui penghasilan baja lestari, malah memperkenalkan potensi ammonia hijau sebagai bahan bakar lestari dalam penjanaan kuasa elektrik dan penyimpanan kimia hidrogen hijau yang lebih selamat.

Pelajar UROP UGS
Kajian Yin Lee dikatakan relevan dalam konteks isu perubahan iklim dan pelepasan karbon

Cabaran dan solusi melalui kerjasama industri

Cabaran utama Haziq dalam pembangunan kalkulator penjimatan tenaga adalah keperluan untuk menguasai pengetahuan teknikal yang mendalam serta memahami aplikasi praktikal dalam industri tenaga. Untuk mengatasi cabaran ini, bimbingan intensif daripada pensyarah penyelia dan kerjasama erat dengan PETRONAS menjadi elemen penting dalam memastikan kejayaan projek ini. PETRONAS memberikan akses kepada data industri yang terperinci dan berkongsi idea berdasarkan pengalaman sebenar, memastikan kalkulator yang dibangunkan bukan sahaja berfungsi secara optimum tetapi juga selaras dengan standard dan keperluan operasi industri tenaga. Usaha ini melatih Haziq untuk menggabungkan pengetahuan teori dan praktikal, menjadikan alat yang dihasilkan relevan dan bernilai tinggi.

WhatsApp Image at afd
Haziq Ketika melaksanakan pengumpulan data di PETRONAS Chemical Etylene Polyethylene (PCEPE), Kerteh untuk pembangunan calculator EnerSave Pro Analyst

Bagi Boon, penghasilan ammonia hijau memerlukan pemahaman mendalam tentang penghasilan hidrogen hijau, terutamanya dari segi ekonomi, yang masih kekurangan sumber maklumat yang tepat. Melalui sokongan TNB Research, beliau berpeluang memanfaatkan pengalaman industri, termasuk memahami kos dan cabaran praktikal yang berkaitan dengan penghasilan dan penggunaan hidrogen hijau.

WhatsApp Image at afdd
Boon ketika berada di Opportunities Framework Workshop bagi salah satu projek yang sedang dijalankan di TNB Research Sdn. Bhd.

Impak jangka panjang kepada universiti dan industri

Projek-projek ini memperlihat potensi besar dalam meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon di sektor industri tenaga. Kalkulator penjimatan tenaga yang dibangunkan oleh Haziq bukan sahaja dapat membantu PETRONAS mengoptimumkan kos elektrik tetapi juga menyokong usaha syarikat dalam mencapai matlamat kelestarian tenaga dan pengurangan jejak karbon global. Alat ini menjadi contoh bagaimana inovasi teknologi mampu memberikan impak positif yang mampan kepada industri, sejajar dengan aspirasi PETRONAS untuk memacu perubahan ke arah net zero carbon emission.

Sementara itu, penghasilan ammonia hijau Boon membuka peluang besar dalam sektor pembuatan, agrikultur dan pengangkutan, termasuk penggunaannya dalam penghasilan bahan kimia komoditi, baja dan bahan bakar lestari.

Nasihat kepada generasi mahasiswa mendatang

Haziq dan Boon turut berkongsi nasihat kepada mahasiswa yang bercita-cita menjalankan penyelidikan melibatkan kerjasama industri. Haziq menekankan pentingnya sikap ingin belajar dan merebut peluang seperti UROP untuk mendapatkan pendedahan awal kepada industri. Boon pula menyarankan mahasiswa agar proaktif memahami isu semasa seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan kelestarian, selain membina jaringan dengan industri dan memilih pensyarah penyelia yang sesuai untuk projek penyelidikan.

Inisiatif UROP bukan sahaja memberikan peluang kepada mahasiswa untuk menyumbang kepada penyelesaian masalah sebenar, malah turut meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri. Dengan sokongan dana dan kolaborasi bersama industri, pelajar-pelajar ini mampu menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi, memartabatkan nama universiti, dan menyumbang kepada pembangunan lestari pada masa hadapan.

Explore More