KLUANG, 11 Dis – STEM-TASTIC EXPLORE QUEST merupakan sub-program di bawah Program Pembangunan Komuniti Celik STEM melalui Pembangunan Celik Fasiliti dan Pembelajaran Berasaskan Permainan. Program ini telah berjaya dijalankan di SMK Seri Perdana, Kluang, bermula dari jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang serta melibatkan 86 orang pelajar tingkatan 3 sebagai peserta utama.
Program ini merupakan hasil usaha 31 orang pelajar Tahun 4 Pendidikan Matematik yang mengambil kursus Sosiologi Pendidikan. Mereka turut mendapat bimbingan dan sokongan penasihat program, Dr. Mohd Rustam Mohd Rameli bagi merealisasikan objektif program yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar dalam bidang STEM melalui kaedah pembelajaran yang inovatif dan menyeronokkan.
Objektif utama program ini adalah untuk membantu pelajar mengenal pasti minat, bakat dan kelebihan diri yang sesuai seiring dengan bidang kerjaya tertentu, memperbaiki kemahiran komunikasi dan kerjasama dalam kumpulan serta kemahiran berfikir aras tinggi yang menjadi titik utama dalam alam persekolahan dan pekerjaan serta menjadikan pembelajaran tentang kerjaya lebih mengujakan dan interaktif sekali gus dapat meningkatkan motivasi pelajar.
Salah satu elemen menarik dalam program ini ialah pendekatan pembelajaran berasaskan permainan yang dikenali sebagai STEM Explorer Quest. Aktiviti ini dirancang untuk mengasah bakat dan menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Pendekatan interaktif ini memanfaatkan elemen permainan, yang membuatkan pelajar lebih bermotivasi untuk meneroka konsep-konsep STEM tanpa merasa tertekan oleh kaedah pembelajaran konvensional.
Program ini turut menekankan kepentingan kerja berpasukan. Melalui aktiviti berkumpulan, pelajar diberi peluang untuk memperbaiki kemahiran komunikasi, berkongsi idea, dan bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama. Kemahiran ini amat penting bukan sahaja dalam pembelajaran, tetapi juga dalam mana-mana kerjaya profesional di masa hadapan.
Di samping itu, program ini turut meluaskan pengetahuan pelajar tentang bidang STEM, serta membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik tentang kerjaya masa depan. Inisiatif ini juga menyokong hasrat negara untuk meningkatkan bilangan pelajar sains kepada nisbah 60% pelajar sains dan 40% pelajar sastera, sejajar dengan aspirasi pembangunan negara.
Terdapat juga tiga stesen lain yang melaksanakan aktiviti berasaskan STEM iaitu, Stesen Jambatan Tahan, Stesen Kereta Belon Super Race dan Stesen Gasing Mania yang mana ketiga-tiganya mengaplikasikan pengetahuan fizik dan kejuruteraan.
Pengarah program menyatakan, “Kami percaya bahawa pembelajaran melalui pendekatan interaktif ini dapat membantu pelajar memahami potensi mereka dengan lebih baik. Ia bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga menggalakkan pelajar meneroka bidang STEM yang luas dan dinamik.”
Salah seorang peserta turut berkongsi pengalamannya, “Saya seronok belajar melalui aktiviti STEM Explorer Quest. Kami dapat bekerja dalam kumpulan, belajar komunikasi yang lebih baik, dan memahami konsep sains dengan cara yang menyeronokkan. Ia benar-benar membuka mata saya tentang peluang kerjaya dalam bidang ini.”
Di akhir program, sijil penghargaan diberikan kepada semua peserta sebagai tanda pengiktirafan atas penyertaan mereka. Pihak pengelola program berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan kepada lebih ramai pelajar, bukan sahaja di Kluang tetapi juga di seluruh negara.
Melalui kerjasama erat antara pelajar universiti, guru, dan pihak sekolah, program ini telah membuktikan bahawa pendekatan inovatif mampu meningkatkan motivasi, kesedaran, dan minat pelajar dalam bidang STEM. Diharapkan program ini dapat menjadi inspirasi kepada pihak sekolah lain untuk mengadakan program serupa, sekali gus membantu negara mencapai matlamat nisbah pelajar sains yang diidamkan.