JOHOR BAHRU, 15 Dis – Majlis Penyerahan Projek di bawah Geran Penyelidikan dan Inovasi-Program Pemindahan Ilmu (KTP-RIG) telah berjaya dianjurkan dengan penuh gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti 2, Johor Bahru. Bertemakan ‘Sisa Kita, Masa Depan Kita’, program ini bertujuan untuk memperkasakan komuniti sekolah dalam usaha mempromosikan kelestarian alam sekitar melalui pendekatan inovasi dan teknologi.
Majlis ini dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Norhaniza Yusuf, Pengurus Penyelidikan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengetua SMK Taman Universiti 2, wakil Pusat Inovasi dan Jaringan Komuniti (CCIN), wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), para guru serta pelajar sekolah.
Dalam usaha mencapai objektif program, empat projek utama telah dilaksanakan dengan jayanya, masing-masing memfokuskan kepada inovasi dalam memanfaatkan sisa dan teknologi. Antaranya termasuklah projek fertigasi automatik yang dikendalikan oleh Dr. Norfhairna Baharulrazi. Projek ini memperkenalkan teknologi baharu kepada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Taman Universiti 2 bagi memudahkan pengurusan 400 pokok bendi dan 100 pokok timun. Melalui sistem fertigasi automatik ini, pengairan nutrien dapat dikendalikan secara efisien dan dipantau menggunakan telefon pintar, sekali gus mengurangkan beban tugas guru dan pelajar. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan hasil tanaman tetapi turut membuka mata komuniti sekolah kepada teknologi moden dalam bidang pertanian.
Selain itu, projek yang memanfaatkan daun nanas untuk pembuatan kertas telah mencuri perhatian ramai. Diterajui oleh Prof. Madya Dr. Rohah Ab Majid, sisa daun nanas daripada tanaman PPKI diolah menjadi kertas buatan tangan yang digunakan untuk menghasilkan karya seni. Proses ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada sisa pertanian tetapi juga memupuk kreativiti pelajar melalui latihan pembuatan kertas. Bahkan, sebuah studio seni turut diwujudkan untuk mempamerkan hasil karya pelajar, yang menjadi inspirasi kepada warga sekolah.
Dalam usaha lain, Dr. Siti Hajjar Che Man telah memperkenalkan tong kompos berputar bagi mempercepatkan proses penguraian sisa tanaman. Sebelum ini, pengurusan sisa di SMK Taman Universiti 2 menggunakan tong sampah biasa yang mengambil masa lama untuk menghasilkan kompos. Dengan penggunaan teknologi baharu ini, sisa tanaman dapat diurai sepenuhnya dalam tempoh dua bulan sahaja. Hasilnya, kompos yang berkualiti berjaya dihasilkan dan dijual kepada guru serta ibu bapa untuk kegunaan pertanian.
Projek terakhir yang turut memberi impak besar ialah penubuhan pusat kitar semula di SMK Taman Universiti 2 di bawah bimbingan Ir. Dr. Norhayani Othman. Kempen kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sisa harian telah dijalankan dengan meluas, melibatkan pelajar dan guru. Selain menggalakkan tabiat kitar semula, program ini turut mengajar pelajar menghasilkan sabun daripada minyak masak terpakai. Aktiviti ini mendapat sambutan, di mana lebih daripada 100 kilogram sisa seperti kertas, botol plastik, dan kotak berjaya dikumpulkan dalam satu pertandingan pengumpulan sisa.
Setiap projek yang dilaksanakan saling melengkapi, membawa matlamat bersama untuk melestarikan alam sekitar. Pengetua SMK Taman Universiti 2, Roslee Jarkasi dalam ucapannya, menyatakan bahawa inisiatif ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta dasar kelestarian alam sekitar negara. Beliau turut menekankan bahawa keberhasilan program ini bukan sahaja terletak pada teknologi yang diperkenalkan tetapi juga pada ilmu dan kesedaran yang dipindahkan kepada pelajar serta komuniti sekolah.
Program ini membuktikan bahawa langkah kecil dalam pengurusan sisa boleh memberi impak besar terhadap masa depan. Kejayaan projek-projek ini tidak hanya dilihat pada hasil tanaman, kompos, dan produk kitar semula, tetapi juga pada komitmen komuniti sekolah untuk meneruskan usaha ini secara berterusan. “Langkah kecil hari ini, impak besar masa depan!” adalah mesej utama program ini, yang pastinya akan terus menjadi inspirasi kepada semua yang terlibat.