Januari 30, 2025

i

Seminar Kecerdasan Buatan tingkat pembangunan kurikulum berasaskan keperluan industri

JOHOR BAHRU, 18 Dis. – Seminar Pembangunan Bakat Kecerdasan Buatan Negara yang merupakan seminar untuk mempromosikan pengembangan dan penerapan kecerdasan buatan dalam kalangan pelajar, profesional, dan masyarakat umum telah berlangsung hasil kerjasama di antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Selaras dengan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), pelbagai inisitaif pengukuhan telah dirancang bagi memantapkan penubuhan supaya dapat merealisasikan hasrat negara dalam memantapkan ekonomi rakyat menerusi keberhasilan tenaga kerja mahir dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Penubuhan Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC) ini bertujuan untuk memupuk kerjasama antara sektor utama dalam pengembangan teknologi AI dan mewujudkan garis panduan serta standard yang bertanggungjawab dalam penerapan AI. Seminar ini juga merupakan salah satu platform aktiviti di bawah MAIC yang dipengerusikan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Majlis Perasmian Seminar Pembangunan Bakat Kecerdasan Buatan Negara telah berlangsung dengan jayanya pada 16 hingga 17 Disember 2024 di Everly Hotel Putrajaya dan dihadiri 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bersama Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Industri seramai 200 peserta. Program ini bertujuan memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang AI di Malaysia dan memberi impak besar terhadap ekosistem AI negara.

Pada 16 Disember 2024, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Menjalankan Fungsi Naib Canselor UTM. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen UTM dalam memacu kecemerlangan akademik dan inovasi melalui penubuhan FAI. Beliau turut menyeru kerjasama antara universiti, kerajaan, dan industri untuk membangunkan kurikulum AI yang dapat menghasilkan graduan berkemahiran tinggi.

ncberucap
Ucapan oleh Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim

Seterusnya, Yang Berhormat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud merasmikan seminar ini dengan menggariskan pentingnya kecerdasan buatan sebagai pemacu utama transformasi ekonomi dan sosial. Beliau juga menyatakan sokongan KPT terhadap inisiatif ini yang seiring dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hub AI serantau.

ybtmberucap
Ucapan TImbalan Menteri Pendidikan Tinggi

Gimik yang memperkenalkan Laila, seorang simbol pelajar yang bakal dibangunkan melalui pendidikan AI di UTM turut dirasmikan sebagai simbolik pelancaran gimik. Satu elemen menarik dalam gimik ini adalah penggunaan avatar YB Timbalan Menteri yang dihasilkan menggunakan teknologi AI, menunjukkan kemajuan pesat dalam bidang teknologi tersebut. Acara diteruskan dengan sesi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara UTM dan Billion Prima Sdn. Bhd., yang bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam pembangunan teknologi AI pintar dan selamat di Malaysia.

Pada malam 16 Disember, sesi utama forum telah berlangsung dengan menekankan tema “Bakat AI Mengakar Jati Diri Anak Bangsa: Adakah Kita Bersedia?”. Moderator, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Ibrahim Shapiai, memimpin perbincangan bersama tiga panel utama. Panel pertama, Prof. Madya Dr. Khalif Muammar, membincangkan peranan nilai budaya dan falsafah Islam dalam pembangunan bakat AI. Panel kedua, Ir. Ts. Dr. Hajah Aziyati Yusoff, membincangkan cabaran infrastruktur dalam pembangunan bakat AI, serta pentingnya kerjasama industri dan pendidikan. Panel ketiga, Megat Fazrul Azlin Megat Abd Aziz, berkongsi strategi TalentCorp dalam memetakan bakat negara dalam era perkembangan pesat AI. Montaj mengenai bakat AI dan masa depan Malaysia turut ditayangkan, seterusnya berlangsung ucapan penutupan oleh Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim yang menekankan kepentingan kerjasama dalam membangunkan ekosistem AI yang beretika dan mampan.

forum
Sesi Dialog

Pada hari kedua, sesi pertama “Kecerdasan Buatan dalam Industri” telah disampaikan oleh Jerry Tan dari Lattel Sdn. Bhd., diikuti dengan sesi bersama Prof. Madya Dr. Nurulhuda Firdaus Mohd Azmi, Ketua Jabatan Kecerdasan Informatik UTM, berkongsi tentang pembangunan Sarjana Muda Kecerdasan Buatan Dengan Kepujian. Sesi ketiga pula diteruskan dengan perkongsian oleh Prof. Madya Dr. Suriayati Chuprat, Timbalan Dekan UTM, mengenai pembangunan Sarjana Kecerdasan Buatan. Bengkel mengenai kursus teras dan elektif dalam program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan Dengan Kepujian, yang memberi peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai kursus-kursus utama dan elektif yang ditawarkan dalam program AI turut dibentangkan.

Picture
Perkongsian bersama Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FAI, UTM

Kumpulan teras AI pula dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Nurulhuda Firdaus Mohd Azmi, yang memfokuskan kepada kursus-kursus utama dalam pembangunan kecerdasan buatan, manakala Ts. Dr. Saiful Adli Ismail bertindak sebagai fasilitator bagi kumpulan elektif, yang merangkumi kursus pilihan dalam bidang AI. Selain itu, pensyarah lain yang mengajar kursus-kursus dalam program Kecerdasan Buatan turut terlibat sebagai fasilitator dalam bengkel ini. Pembahagian kumpulan dilakukan berdasarkan kursus-kursus teras dan elektif yang mereka ajar.

huda
Perkongsian oleh Prof Madya Dr. Nurulhuda Firdaus Mohd Azmi

Bengkel ini memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pensyarah dan memahami lebih lanjut tentang struktur dan kurikulum program AI di UTM, serta bagaimana kursus-kursus ini dirancang untuk memenuhi keperluan industri AI yang semakin berkembang. Bengkel berakhir dengan rumusan, diikuti dengan sesi networking dan minum petang. Seminar tamat dengan keberhasilan besar dalam memperkasa pembangunan bakat AI di Malaysia.

Explore More