Februari 19, 2025

Pengumpulan 592kg sampah beri inspirasi kesukarelawanan mahasiswa KRP

PENGERANG, 20 Dis – Kelab Riverdale dari Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berjaya menganjurkan program tanggungjawab sosial (USR) bertemakan kelestarian alam sekitar bertajuk “Riverdale ke Desaru: Pantai Bersih Alam Ceria”. Program yang memfokuskan kepada aktiviti pembersihan pangai ini telah berlangsung pada 21 Disember 2024 di sekitar kawasan pantai Laman Selera Sungai Rengit, Pengerang.

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Geng Plastik Ija (GPI) yang telah menyumbangkan peralatan seperti sarung tangan, plastik sampah, dan trash-picker. Selain itu, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM juga turut menyumbang sebahagian dana untuk melancarkan perjalanan program dengan baik. Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) juga turut tidak ketinggalan menyediakan perkhidmatan tong sampah khas serta membantu proses pelupusan sampah yang telah dipungut.

Peserta mengutip sampah bersama wakil GPI

Program yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya menjaga kebersihan pantai, memelihara ekosistem, serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak 592 kilogram sampah. Seramai 45 orang sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa KRP, wakil dari GPI dan wakil dari MPP telah terlibat dalam aktiviti pembersihan pantai ini. Program ini turut diselitkan dengan slot bengkel perancangan aktiviti dan pembangunan kertas kerja program Kelab Riverdale bagi sesi 24/25 oleh peserta pada malam 20 Disember bertempat di Hotel Desaru Penawar.

Penasihat program sedang mengendalikan slot perancangan aktiviti dan pembangunan kertas kerja

Slot bagi aktiviti kemuncak program ini telah berlangsung keesokan harinya. Slot pagi dimulakan dengan sesi senamrobik ringkas dan diikuti dengan taklimat keselamatan sebelum aktiviti pembersihan pantai dilakukan. Cabaran kutipan sampah menjadi tumpuan utama program, di mana peserta bekerjasama membersihkan kawasan pantai menggunakan kelengkapan yang disediakan oleh GPI.

Slot aktiviti senamrobik ringkas bersama semua peserta

Sampah yang dikutip kemudian ditimbang, dan pemenang diumumkan berdasarkan jumlah kutipan terbanyak. “Kami sangat bangga dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh peserta,” kata Adib Irshad Johan, Pengarah Program.

 Sesi menimbang sampah yang telah dikutip untuk direkodkan

Program diteruskan dengan sesi ceramah kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan pantai oleh wakil GPI, Mohd Kamal Tukimin dan Siti Anisah Abu Bakar. Seterusnya, majlis penutup program dilaksanakan dengan meriah di Medan Selera Sungai Rengit.

Kesemua sampah yang dikutip sepanjang program telah dihantar ke tapak pembuangan sampah oleh Majlis Perbandaran Pengerang untuk dilupuskan dengan cara yang selamat dan teratur.

IMG
Wakil GPI menyampaikan ucapan tentang keberkesanan program sewaktu majlis penutupan

Ts. Mohd Hazri Ishak, penasihat program, menegaskan, “Program seperti ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi juga memperkasa nilai kepimpinan dan tanggungjawab sosial mahasiswa.”

Di penghujung program, sijil penghargaan dan hadiah disampaikan kepada peserta dan rakan kerjasama sebagai tanda terima kasih atas sokongan padu mereka.

Kelab Riverdale berharap agar program ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memelihara kelestarian alam sekitar. “Kami ingin memastikan inisiatif ini bukan hanya menjadi aktiviti tahunan, tetapi satu budaya yang diamalkan secara konsisten oleh masyarakat,” tambah Ts. Mohd Hazri. Dengan kejayaan aktiviti pembersihan pantai pada kali ini, Kelab Riverdale akan kekal komited untuk memperluas pelaksanaan program ini dengan penyertaan lebih banyak pihak pada masa akan datang.

Explore More