Januari 3, 2025

Featured Image NewsHub ()

Pelajar UTM raih pengalaman latihan industri, penyelidikan luar negara

Peluang memperkaya ilmu bersama institusi pendidikan tinggi luar negara sering menjadi impian ramai pelajar, terutama mereka yang bercita-cita tinggi dalam bidang akademik dan penyelidikan. Program sangkutan atau latihan industri antarabangsa bukan sahaja menawarkan pengalaman bertaraf dunia, tetapi juga menjadi asas penting dalam membentuk individu yang berdaya saing dan kompeten di peringkat global. Menyedari kepentingan ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil proaktif dengan melaksanakan program ini bagi memperkasakan pelajarnya.

Wong Jia Jian (Jayson) dan Muhammad Akmal Mohd Faisal, dua pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) UTM, adalah antara individu bertuah yang berjaya menempatkan diri dalam program sangkutan atau latihan industri antarabangsa di University of Edinburgh, Scotland. Kejayaan mereka ini tercapai menerusi inisiatif Latihan Industri Luar Negara sesi 2024 yang diterajui oleh Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), UTM.

Inovasi dalam penyelidikan tenaga bersih

Jayson, pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Gas Kimia, terlibat dalam projek bertajuk NiCE-Vehicles: Novel Devices to Control CO2 Emissions in Vehicles. Kajian ini memfokuskan kepada teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (carbon capture and storage) bagi menghasilkan kenderaan mesra alam dengan pelepasan karbon sifar bersih (net zero carbon emission).

“Walaupun eksperimen awal saya tidak mencapai hasil yang diharapkan, pengalaman ini memperkaya pemahaman saya dalam teknologi ini. Projek seperti ini amat penting dalam usaha mitigasi perubahan iklim,” kata Jayson.

IMG Enhanced NR
Jayson semasa ditemu bual mengenai inisiatif beliau dalam menyokong kelestarian alam sekitar

Akmal pula menyumbang dalam projek bertajuk High Purity Hydrogen Production Using a Hollow Fibre-Based Catalytic Reactor. Penyelidikan ini menumpukan kepada kaedah pemecahan ammonia untuk menghasilkan hidrogen tulen sebagai sumber tenaga bersih.

“Teknologi ini berpotensi menjadi sumber tenaga masa depan yang mampan. Walaupun mencabar, ia memberikan peluang untuk memahami teknologi baharu seperti reaktor gentian berongga,” jelasnya.

IMG Enhanced NR
Akmal turut berusaha di dalam penyelidikannya bagi meningkatkan pembangunan teknologi hijau

Cabaran dan penyelesaian penyelidikan

Kedua-dua pelajar menghadapi pelbagai cabaran sepanjang perjalanan penyelidikan mereka. Jayson berkongsi bahawa eksperimen pertamanya menggunakan cecair ionik pada gentian berongga tidak mencapai kapasiti tangkapan karbon yang diinginkan. Walaupun begitu, bimbingan daripada penyelia di University of Edinburgh membuka peluang untuk memahami teknologi alternatif yang lebih berkesan.

Bagi Akmal, cabaran utama adalah menguasai teknologi reaktor baharu yang tidak pernah digunakannya di UTM. “Saya perlu menyesuaikan diri dengan teknologi dan menyelesaikan penyelidikan dalam tempoh tiga bulan. Dengan bantuan penyelia, saya berjaya memahami dan mengaplikasikan teknologi ini dalam kajian,” tambah Akmal.

Members of the torch research group
Akmal dan Jayson ketika bersama-sama menjalankan kajian di University of Edinburgh

Impak penyelidikan terhadap industri dan alam sekitar

Projek mereka berpotensi memberikan impak besar kepada industri tenaga dan amalan lestari. Jayson berharap teknologi penangkapan karbon yang dikajinya dapat mempercepat inovasi dan mengurangkan kos dalam pasaran. “Jika diterapkan dengan meluas, teknologi ini mampu mengurangkan pelepasan karbon dioksida secara signifikan,” ujarnya.

Measuring the flow rate of the reactor
Jayson sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan kajiannya mampu memberi impak yang signifikan terhadap amalan lestari

Akmal pula menekankan kepentingan hidrogen tulen sebagai sumber tenaga bersih. “Hidrogen tulen boleh membantu pelbagai sektor tenaga dan pengeluaran. Saya berharap UTM terus menyokong penyelidikan dalam bidang ini untuk pembangunan teknologi hijau,” katanya.

Membuat impregnation catalyst ke atas hollow fibres bersama phd student liu
Akmal mengambil peluang sepenuhnya yang diberikan oleh UGS untuk mempelajari banyak perkara baharu dalam bidang yang diceburi

Nasihat kepada generasi pelajar

Bagi pelajar yang bercita-cita untuk mengikuti program penyelidikan luar negara, Jayson menasihati mereka untuk mengekalkan rekod akademik yang cemerlang, dengan CGPA sekurang-kurangnya 3.50, serta aktif dalam kokurikulum. “Ini adalah peluang seumur hidup. Manfaatkan sokongan UGS dan persiapkan diri dengan sebaiknya,” katanya.

Akmal menambah bahawa keberanian untuk mencuba teknologi baharu dan kemampuan mengadaptasi adalah kunci kejayaan. “Latihan industri di luar negara memberi peluang untuk memahami teknologi terkini dan belajar daripada penyelidik terkemuka. Ini adalah pengalaman yang tidak ternilai,” katanya.

Menjangkau global melalui penyelidikan

Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM terus komited dalam menyediakan peluang bertaraf antarabangsa melalui program ini. Program Latihan Industri Luar Negara oleh UGS bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk menerokai penyelidikan bertaraf antarabangsa, tetapi turut mempromosikan nama UTM di persada dunia. Program ini berjaya mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran global.

Pengalaman Jayson dan Akmal menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk bermimpi lebih besar dan terus mengharumkan nama UTM melalui inovasi penyelidikan. Inisiatif seperti ini adalah bukti usaha berterusan UTM untuk melahirkan generasi pemimpin penyelidikan yang mampu memberikan impak positif kepada dunia.

Explore More