Ledakan teknologi kecerdasan buatan (AI) adalah manifestasi kemajuan moden yang membawa potensi luar biasa kepada kehidupan manusia. Namun, sebagai ciptaan akal manusia, AI tetap terikat kepada data dan logik yang terhad dalam rekaannya. Ia tidak memiliki akal budi, emosi mahupun hikmah yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia. Justeru, di tengah arus kemajuan teknologi yang menjarah ini, komuniti akademia bertanggungjawab memastikan pembangunan AI selari dengan nilai-nilai agama dan etika agar ia menjadi alat yang memberi manfaat, bukan ancaman kepada kelangsungan kemanusiaan.
Hakikatnya, kebergantungan manusia kepada AI menuntut ketelusan dan keadilan dalam penggunaannya. Islam melalui al-Quran menegaskan peri pentingnya keadilan dan kebenaran, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih hampir kepada takwa” (Al-Ma’idah: 8)
Prinsip ini sangat relevan dalam memastikan algoritma AI bebas daripada bias dan ketidakadilan. Data yang digunakan untuk melatih AI mestilah mencerminkan kepelbagaian dan kesaksamaan kerana sikap terlepas pandang dalam perkara ini boleh mengakibatkan keputusan yang menindas atau menzalimi golongan tertentu, sekali gus bercanggah dengan prinsip kemanusiaan sejagat.
Selain itu, kewujudan AI menuntut sinergi antara manusia dan teknologi. Ia berasaskan pendekatan interdisiplin yang mencerminkan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Dalam konteks ini, AI seharusnya dilihat sebagai alat yang memperkasa peranan manusia dalam memakmurkan dunia dengan kebijaksanaan, bukannya menggantikan peranan tersebut. Gabungan keupayaan intuitif manusia dengan kecerdasan analitik AI berpotensi mencipta penyelesaian yang lebih inovatif dan adil untuk mengatasi cabaran global seperti perubahan iklim, ketidakstabilan ekonomi dan kemiskinan. Kolaborasi ini membawa simbol harmoni antara ilmu manusia dan teknologi, yang selari dengan prinsip kewujudan bersama atau co-exist.
Namun, sedarkah kita bahawa kebangkitan AI telah mengajak kita merenungi kembali makna sebenar kecerdasan? Dalam Islam, kecerdasan melangkaui sekadar keupayaan menyelesaikan masalah. Ia turut melibatkan nilai akhlak, iman dan hikmah dalam membuat keputusan.
Kecerdasan sejati adalah keupayaan untuk bertindak berdasarkan panduan Ilahi, dengan memelihara keseimbangan hubungan antara manusia, alam dan Tuhan. Meskipun AI memiliki kepintaran analitik yang tinggi, ia masih tidak dapat mencapai tahap kecerdasan ini kerana ia tidak dibina dengan elemen kerohanian dan nilai etika yang mendalam. Ini sekali gus menegaskan kedudukan manusia (karamah insaniah) sebagai makhluk unik yang dilengkapi ruh dan hikmah.
Akhirnya, menghadapi cabaran era AI memerlukan kerangka dasar dan polisi yang kukuh untuk melindungi hak asasi manusia dan memastikan keadilan sejagat. Para ilmuwan dan pembuat dasar bertanggungjawab untuk menyusun garis panduan yang mencerminkan hikmah serta kemaslahatan bersama, sekali gus menjamin keadilan buat semua.
Lebih penting, setiap daripada kita mesti bersedia untuk hidup dalam dunia yang didorong oleh AI. Kita mesti terus belajar menyesuaikan diri dan menggunakan akal budi insani untuk memastikan teknologi ini sentiasa memberi manfaat sejagat. Kita tidak harus menjadi musuh terhadap teknologi seperti AI, sebaliknya meneliti dengan penuh kebijaksanaan cara-cara teknologi AI dapat mencipta kebaikan merata dan optimum, di samping meminimumkan risiko seperti kebergantungan mutlak terhadapnya yang mungkin boleh menghakis penggunaan akal manusia secara signifikan.
Suka atau tidak, teknologi ini akan terus berkembang, dan pemahaman kita terhadapnya mesti disertai kesedaran terhadap tanggungjawab kita kepada Tuhan, manusia dan kemanusiaan, serta alam semesta. Setiap inovasi pacuan manusia, termasuk penciptaan AI, harus dipandu oleh tujuan mulia yang memelihara keseimbangan ketiga-tiga dimensi ini demi kebaikan generasi masa hadapan.