Januari 19, 2025

DSC scaled

Yayasan James Dyson memacu perubahan positif guru STEM Johor

JOHOR BAHRU, 23 Dis. – Guru sains dari 100 sekolah rendah di negeri Johor menjadi kelompok kohort peserta kedua bagi pelaksanaan Bengkel Latihan Guru Sains Sekolah Rendah dan Sekolah Konsultasi Eksekutif STEM (STEMEC) Negeri Johor; Yayasan James Dyson (JDF): Cabaran Guru Pro E-STEM 2024. Setakat ini, seramai 200 buah sekolah rendah telah terlibat dalam siri latihan ini. Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), dan JDF telah membangunkan modul latihan ini sejak 2023 lagi. Program ini dilaksanakan bermula 12 Jun 2024 dan telah dirasmikan penutupan program pada 24 November 2024 oleh Tuan Hj. Yahya Mohamed, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, JPNJ. Pelaksanaan program ini secara keseluruhannya disumbang oleh JDF sebanyak RM30,000 bagi tahun kedua pelaksanaannya.

james dyson foundation challenge cards
Modul James Dyson Foundation Challenge Cards

Inisiatif ini bertujuan mendukung elemen merentas kurikulum (EMK) melalui pendekatan E-STEM (Alam Sekitar, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta melatih guru-guru dalam melaksanakan kaedah pembelajaran berasaskan projek yang memberi kesan positif kepada murid dan gaya hidup lestari. Program ini terdiri daripada tiga bahagian iaitu latihan guru, pemantauan pelaksanaan dan pertandingan bagi menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat guru. Pada fasa pertama setelah menjalani latihan, para guru akan melaksanakan Kad Cabaran JDF (JDF Challenge Cards) menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan projek bersama murid-murid bermula dari tahun 1 hingga tahun 6. Pelaksanaan ini telah menyaksikan 4,561 pelajar terlibat bagi tahun 2024 dalam penggunaan kad tersebut dengan jumlah penyebaran ilmu kepada 194 guru sekolah yang lain.

DSC
Sesi Slot 1 bersama wakil JDF Singapura tentang modul JDF Challenge Cards

Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Nor Farahwahidah Abdul Rahman dari FEST UTM bersama-sama dengan Valery Chong dari JDF Singapura; Danya Walker dari JDF United Kingdom dan Mingjie Ma dari JDF China. Selain itu, bengkel ini juga dibantu oleh fasilitator yang terdiri daripada jurutera-jurutera James Dyson, pegawai-pegawai Pendidikan Daerah dan Negeri serta pelajar pascasiswazah UTM. Majlis penyampaian hadiah telah diadakan bagi guru-guru yang tamat kursus ini dengan jayanya di Bilik Seminar, JPNJ.

DSC
100 orang guru mewakili daerah masing-masing terlibat dalam latihan Kohort 2 ini

Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Pasir mengungguli sebagai pememang Cabaran Utama (Grand Challenge) bagi pembudayaan Kad Cabaran JDF dan membawa pulang hadiah utama wang tunai RM2,000. Selain itu, pihak JDF juga telah memilih SK Bukit Mutiara sebagai sekolah rintis Makespace Johor JDF dengan peruntukan RM5,000 tunai. Sasaran dari program ini seterusnya bagi memastikan pelaksanaan STEM di sekolah-sekolah negeri Johor disokong dengan guru-guru terlatih dan fasiliti yang lebih baik bagi tahun 2025.

Senarai pemenang lain dalam Cabaran Guru Pro E-STEM 2024 adalah seperti berikut, di mana Pemenang Utama diraih oleh SK Kampong Pasir, manakala naib juara dimenangi oleh SK Kota Masai. Tempat ketiga dimenangi SK Mohd Khir Johari, yang juga penerima Anugerah Pilihan Orang Ramai. Senarai pemenang ini diikuti dengan SK Andek Mori di tempat keempat dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Kuo Kuang 2 di tempat kelima.

Bagi kategori Sekolah Penganjur (Advocate School) telah dianugerahkan kepada SK Bukit Mutiara. Manakala kategori Di Luar Bilik Darjah (Beyond Classroom) telah dimenangi oleh SK Simpang 5 Pekan. Hadiah saguhati (consolation) diberikan kepada SK Taman Pelangi Indah, SK Kota Masai, SJKC Kulai 1, SK Pekan Nenas, SK Taman Universiti 1, SK Kulai, SK Paya Mas Tangkak.

CYA
Majlis penutupan latihan profesional guru bagi Cohort 2 peringkat Negeri Johor yang menerima saguhati berjumlah RM15,000 daripada JDF
Oleh Dr. Nor Farahwahidah Abdul Rahman, Pengurus Latihan Guru James Dyson Foundation, Felo Penyelidik Pusat Pendidikan Kejuruteraan (CEE)

Explore More