Disember 18, 2024

Johor Bahru, 17 DisInstitut Pengangkutan Lestari (IST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mendapat penarafan sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) 2024 bagi Teras Penyelidikan dan Inovasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

IST yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Sistem dan Kejuruteraan Kenderaan (IVeSE) ditubuhkan pada tahun 2015 berperanan menjalankan penyelidikan, penerbitan, perundingan, dan perkhidmatan dalam bidang sistem kenderaan dan kejuruteraan. Penubuhannya merupakan hasil gabungan strategik empat Pusat Penyelidikan (RC) yang memiliki daya saing yang tinggi, iaitu Automotive Development Center (ADC), Marine Technology Center (MTC)UTM Aerolab, dan Low Carbon Transport Center (LoCARtic) yang turut menjalin kerjasama dengan Imperial College London.

Sebagai HICoE, IST kini turut berperanan untuk memperkasakan penyelidikan dalam bidang nic “Hydrogen Internal Combustion Engine for Decarbonizing Diesel Vehicle”.

Menurut Pemangku Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan buat Universiti. Beliau menekankan bahawa kini UTM mempunyai empat institut penyelidikan yang diiktiraf sebagai HICoE mengikut bidang tujahan yang dikenalpasti, selaras dengan kepakaran dan fokus penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengiktirafan IST ini turut memposisikan UTM sebagai institusi yang berupaya menawarkan penyelesaian inovatif dalam menangani cabaran teknologi pengangkutan masa kini dan masa hadapan, khususnya dalam pembangunan teknologi yang mesra alam dan mampan.

“Penarafan IST sebagai HICoE juga akan memberi sokongan dan dokongan terhadap National Energy Transition Roadmap (NETR) dan National Industrial Plan (NIMP) 2030”, ujar beliau

Prof. Dr. Mohd Shafry merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada barisan kepimpinan IST yang kini diketuai oleh Profesor Dr. Srithar Rajoo selaku Pengarah Institut, warga penyelidik IST serta Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UTM.

Untuk rekod, IST kini berada di dalam barisan kategori HICoE bersama Institut Kebisingan dan Getaran (IKG), Pusat Komunikasi Wayarles (WCC) dan Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) UTM.

 

Sesi Lawatan Audit Tapak Penarafan HICOE pada 17 & 18 Julai 2024

Explore More