Februari 8, 2025

GREENSPHERE: KOKEDAMA & KRAF ECO

GreenSphere perkasa pendidikan lestari melalui Kokedama dan Kraf-Eco

SKUDAI, 28 Nov – Dalam usaha mendidik generasi muda tentang kepentingan kelestarian alam sekitar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya melaksanakan program inovatif bertajuk SULAM: GreenSphere (Kokedama & Kraf-Eco). Program yang dianjurkan oleh pelajar Tahun 4 kursus Sosiologi Pendidikan (SHPP4062) ini bertujuan untuk mengintegrasikan elemen pendidikan, kreativiti, dan amalan lestari dalam satu platform pembelajaran berimpak tinggi.

Bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti 2, program ini menyasarkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 untuk mendalami seni kokedama, iaitu teknik tanaman Jepun yang berteraskan kelestarian, serta penghasilan kraf-eco daripada bahan kitar semula. Aktiviti yang berlandaskan prinsip 3R – Mengurangkan (Reduce), Mengguna (Reuse) dan Kitar Semula (Recycle) -, bertujuan memperkasakan pemahaman generasi muda terhadap tanggungjawab ekologi melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).

Pensyarah Sosiologi, Prof. Madya Dr. Zainudin Hassan, menjelaskan bahawa program ini bukan sahaja bersifat inovatif tetapi turut mengintegrasikan elemen saintifik dan seni kreatif. “GreenSphere membuka peluang kepada pelajar untuk menghubungkan teori dengan amalan. Melalui seni kokedama, mereka mempelajari fungsi tumbuhan dalam ekosistem, manakala kraf-eco pula melatih mereka mengubah bahan terbuang menjadi produk baharu yang bernilai,” katanya.

sulam
Pelajar menggantung hasil Kokedama di pondok bacaan

Antara hasil kerja pelajar yang dipamerkan termasuk kokedama pelbagai reka bentuk serta produk seperti beg kitar semula, aksesori hiasan, dan dompet yang dihasilkan menggunakan kain perca. Hasil kreativiti ini bukan sahaja menggambarkan kefahaman mereka terhadap kelestarian tetapi turut berfungsi sebagai elemen dekorasi yang estetik dan praktikal.

Maklum balas daripada guru dan pihak pentadbiran sekolah mengiktiraf program ini sebagai pendekatan pendidikan yang progresif dan relevan. Guru Sains SMK Taman Universiti 2 menyatakan bahawa, “Program seperti ini mencipta ruang pembelajaran yang interaktif dan holistik, melibatkan pelajar secara menyeluruh. Ia juga memupuk nilai tanggungjawab sosial dan kelestarian alam sekitar.”

IMG
Kerjasama pelajar dalam menghias Kokedama

Para pelajar pula menyifatkan pengalaman ini sebagai peluang untuk meneroka kemahiran baharu. Salah seorang peserta berkata,“Kami diajar untuk melihat bahan buangan bukan sebagai sampah, tetapi sebagai sumber berharga untuk ciptaan inovatif. Ini benar-benar mengubah perspektif saya terhadap alam sekitar.”

Program ini juga mengukuhkan hubungan antara UTM dan komuniti setempat. Kolaborasi dengan SMK Taman Universiti 2 melibatkan bukan sahaja pelajar tetapi juga warga sekolah dalam menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG). Program ini mencerminkan keupayaan pendidikan tinggi untuk mendekati komuniti melalui pendekatan yang lebih berpusatkan masyarakat (community-centric).

Ucapan Cikgu Alias sewaktu Majlis Penutup
Ucapan dari guru di SMK Taman Universiti 2 semasa Majlis Penutup

Selain itu, penekanan kepada elemen keusahawanan melalui kraf-eco memberi nilai tambah kepada program ini. Pelajar didedahkan kepada asas perniagaan kecil seperti mempromosikan dan menjual produk mereka, sejajar dengan hasrat UTM untuk melahirkan pelajar serba boleh dan bersedia menghadapi cabaran global.

Dengan kejayaan SULAM: GreenSphere, UTM sekali lagi membuktikan kepimpinannya dalam mengarusperdanakan kelestarian dalam pendidikan. Program ini telah membuka paradigma baharu dalam mendidik generasi muda melalui integrasi elemen saintifik, kreatif, dan praktikal.

Program ini diharapkan dapat menjadi model kepada institusi pendidikan lain untuk melaksanakan inisiatif yang menghubungkan teori akademik dengan amalan praktikal dalam usaha mencapai pembangunan lestari. “Kami yakin bahawa pendidikan seperti ini adalah kunci kepada pembentukan masyarakat yang lebih prihatin, inovatif, dan bertanggungjawab terhadap masa depan bumi,” kata Muhammad Sabri mengakhiri sesi program.

SULAM
Ahli Jawatankuasa Greensphere: Kokedama & Kraf-Eco

Explore More