Februari 2, 2025

Gambar Ahli Jawatankuasa bersama Peserta MBJB

Bengkel Pembuatan Sabun Buku Mesra Alam berjaya tingkat ilmu kelestarian

JOHOR BAHRU, 7 Dis – Bengkel Pembuatan Sabun Buku Mesra Alam, anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bersama Kelab Siswa Aktif (KESIA), Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Sivik MBJB. Program ini menggabungkan elemen inovasi dan kelestarian alam sekitar dengan memberi fokus kepada pembuatan sabun organik menggunakan minyak masak terpakai.

Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang penggunaan dan pengeluaran sumber alam dengan bertanggungjawab. Bukan itu sahaja, program ini juga ingin membantu warga komuniti untuk mengembangkan kemahiran yang berkemungkinan boleh dipasarkan. Hal ini telah membuka peluang kepada warga komuniti untuk memperoleh pekerjaan atau memulakan perniagaan kecil sendiri, yang merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dengan kehadiran 17 peserta daripada komuniti setempat dan 20 ahli jawatankuasa, bengkel ini memberikan pengalaman langsung melalui sesi demonstrasi dan aktiviti praktikal yang dikendalikan oleh fasilitator yang berpengalaman yang juga merupakan felow KTHO, Dr. Mira Panadi.

Dr Mira bt Panadi sedang menerangkan cara-cara untuk membuat sabun mesra alam
Dr. Mira Panadi sedang menerangkan cara-cara untuk membuat sabun mesra alam

Peserta diajar teknik asas untuk menghasilkan sabun buku menggunakan bahan kitar semua seperti minyak masak terpakai. Melalui pendekatan ini, mereka bukan sahaja belajar tentang proses pembuatan sabun tetapi juga dapat memberi kesedaran kepada para peserta bahawa ia mampu memberi manfaat yang besar apabila menggunakan sumber yang sedia ada dan mudah didapati. Menurut salah seorang peserta, “Saya tidak menyangka minyak masak terpakai boleh menghasilkan sesuatu yang bernilai. 

Peserta semasa mempelajari cara-cara pembuatan sabun mesra alam
Peserta semasa mempelajari cara pembuatan sabun mesra alam

Bengkel Pembuatan Sabun Buku Mesra Alam ini disambut hangat oleh warga komuniti dan semua peserta berseronok sepanjang bengkel tersebut. Bengkel ini bukan sahaja memberi impak positif terhadap alam sekitar tetapi juga membina kesedaran dalam kalangan komuniti untuk memanfaatkan sumber kitar semula. Sepanjang bengkel ini, suasana penuh semangat dan interaktif jelas kelihatan apabila peserta aktif bertanya dan berbincang.

Hasil produk sabun buku yang dihasilkan peserta
Hasil produk sabun buku yang dihasilkan peserta

Sesi bergambar bersama hasil karya peserta mengakhiri program ini, sebagai simbolik kepada kejayaan usaha komuniti dan penganjur. Wakil Kelab KESIA berharap prgram ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif yang serupa pada masa akan datang, dengan harapan mesej yang ingin dibawa di dalam program ini mampu menyedarkan lebih ramai orang demi perubahan ke arah yang lebih baik.

Bengkel Pembuatan Sabun Buku Mesra Alam yang dianjurkan oleh KESIA KTHO dengan kerjasama MBJB ini jelas membuktikan bahawa langkah sederhana seperti ini juga mampu membawa perubahan besar secara global jika semua pihak memberi komitmen yang tinggi. Program ini bukan sahaja menyokong pemeliharaan dan pemuliharaan kelestarian alam sekitar tetapi juga menyatukan komuniti untuk bersama-sama mencipta masa depan yang lebih hijau dan berdaya saing.

Oleh Unit Media Bengkel Pembuatan Sabun Buku Mesra Alam (Penulis) dan Nurul Amelyawati Ali Rofiq (Penyunting)

Explore More