Pasir Gudang, 16 Nov – Dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, program Penanaman dan Penjagaan Pokok Bersama Komuniti Flat MHB Pasir Gudang di bawah sub projek ‘Greening and Decarbonization’ telah berjaya dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program MHB River Rehabilitation untuk 3 tahun yang diketuai oleh Prof. Ir. Dr Mohd Fadhil Md Din. Program ini melibatkan kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Malaysia Marine and Heavy Engineering (MHB), Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG). Program ini telah dirasmikan oleh Pengurus Besar Pengurusan Projek, Ab Haris Mohmat Md Jaffri.
Wakil pengurusan MHB, En. Ab Haris menyatakan, “Program ini bukan sekadar penanaman pokok, tetapi satu langkah strategik dalam melibatkan komuniti secara aktif dalam penjagaan dan pemantauan pokok-pokok ini. Ia mencerminkan komitmen kita bersama untuk menjaga kelestarian alam sekitar.”
Bagi memperkasa dalam kalangan komuniti, sesi latihan turut diadakan yang diketuai oleh Sr. Ts. Gs. Dr. Nurul Hawani Idris daripada Jabatan Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM. Beliau bersama penyelidik daripada TropicalMap RG UTM memperkenalkan sistem GeoTrees untuk memantau pertumbuhan pokok yang telah ditanam dan melaporkan aktiviti penjagaan pokok. Setiap pokok dilabel menggunakan sistem GIS mudah alih iaitu GeoTrees membolehkan pertumbuhan pokok dan aktiviti penjagaan pokok dapat direkodkan. Aplikasi GeoTrees menyediakan ‘penjejakan sejarah aktiviti penjagaan dan kadar pertumbuhan pokok’ dan ‘community ranking’ yang menjadikan aktiviti penjagaan pokok lebih menarik dan sesuai dengan kecanggihan teknologi bagi memupuk kesedaran tentang kepentingan amalan teknologi hijau yang moden dan amalan gaya hidup hijau.
Acara ini juga diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang yang telah menyertai “kempen MHB 1 Rumah 1 Pokok” di mana peserta perlu menjaga pokok-pokok yang ditanam di tepi kawasan hijau flat MHB selama 6 bulan bermula Mei-November 2024. Bagi mengiktiraf usaha komuniti, hadiah turut diberikan kepada peserta yang menunjukkan komitmen tinggi. Pertumbuhan Pokok Terbaik kategori Dewasa dirangkul oleh Encik Mohd Faizul Boiran, Sukarelawan Paling Komited dimenangi oleh Puan Masitah Mohamad Moharam manakala Pertumbuhan Pokok Terbaik kategori Cilik disandang oleh Cik Nur Aqilah Solehah Mohd Faizul.
Bertempat di Fasa 1, Kebun Komuniti MMHE Flat, program bermula dengan aktiviti utama melibatkan penanaman 100 anak pokok spesies nadir seperti rambutan, pulasan, jambu bol, sentul, salam, tampoi dan kundang yang telah ditaja oleh Jabatan Perhutanan Johor. Sebanyak 16 keluarga telah hadir menyertai program penanaman dan pelabelan pokok menggunakan Geotrees.
Kempen ini dijangka bakal diteruskan sehingga hujung tahun 2025 dan akan memilih peserta yang paling aktif serta berjaya menjaga pokok yang ditanam dengan baik. Pokok-pokok ini bukan sahaja bertujuan menghijaukan kawasan tetapi juga berpotensi menjadi ‘makmal hidup’ kepada komuniti flat bagi generasi akan datang agar spesies pokok nadir yang makin sukar diperolehi di pasaran dapat dikenali.
Program ini adalah sebahagian daripada usaha MHB menggunakan kepakaran daripada pelbagai pihak bagi melahirkan warga komuniti yang cakna bersama-sama mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Pokok-pokok yang ditanam dapat dijejak di laman web portal GeoTrees di alamat www.geotrees.utmgeo.com
Oleh Sr. Ts. Gs. Dr. Nurul Hawani Idris dan Dr Huszalina Hussin