Disember 19, 2024

sesi bergambar

SPACE julang kecemerlangan graduan sempena Majlis Konvokesyen ke-68

JOHOR BAHRU, 17 Nov.– Majlis Penyampaian Anugerah Dekan dan Hadiah Akademik SPACE telah berlangsung dengan penuh gemilang sempena Majlis Konvokesyen Ke-68 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Kencanapuri, Pulai Springs Resort, Johor. Majlis berprestij ini diadakan bagi meraikan kejayaan graduan, termasuk graduan Program Asasi serta Program Sarjana Muda (Pengajian Sepenuh Masa dan Separuh Masa) yang telah mencapai kecemerlangan akademik sepanjang pengajian mereka.

Pada majlis kali ini, seramai 141 graduan telah diraikan terdiri daripada 29 orang graduan Program Asasi, enam orang graduan Program Sarjana Muda Pengajian Sepenuh Masa, dan 100 orang graduan Program Sarjana Muda Pengajian Separuh Masa. Selain itu, seramai 13 orang pelajar Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) turut diberi penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sebanyak 85 graduan telah menerima Anugerah Dekan, manakala 74 daripada jumlah tersebut turut dianugerahkan Hadiah Akademik sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka.

pelajar asasi
Antara pelajar Asasi yang menerima Anugerah Hadiah Akademik dengan pencapaian CGPA 4.00

Antara penerima anugerah utama ialah Nur Azuan Hafifi Mohd Noordin, graduan Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, yang menerima Anugerah Naib Canselor dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.98. Kejayaan luar biasa beliau diiktiraf atas usaha, dedikasi, dan kecemerlangannya dalam bidang akademik. Dalam ucapannya, Nur Azuan Hafifi menganggap kejayaan ini bukan hanya miliknya, tetapi juga hasil pengorbanan ibu bapa, keluarga, pensyarah, rakan-rakan, serta sokongan seluruh warga universiti.

Azuan
Nur Azuan Hafifi, penerima Anugerah Naib Canselor program Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah
Sarah Wong
Sarah Hana Nazri Wong, penerima Anugerah Dekan dan Anugerah Graduan Terbaik program Sarjana Muda Pengajian Am dengan kepujian

SPACE UTM turut menganugerahkan Hadiah Khas kepada enam graduan kategori Adik-Beradik, lapan graduan kategori Suami Isteri, dan tiga graduan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Nazri Ali, Dekan SPACE, yang dalam ucapannya menyatakan bahawa kejayaan para graduan adalah manifestasi usaha gigih mereka dalam mengharungi perjalanan akademik di UTM. Beliau berharap melalui penganugerahan ini, SPACE UTM dapat terus memupuk budaya kecemerlangan dan memberikan penghargaan kepada pelajar yang berusaha mencapai matlamat akademik, selaras dengan visi universiti untuk melahirkan graduan cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan dunia.

Prof Nazri
Prof. Ts Dr. Nazri Ali, Dekan UTM SPACE memberikan ucapan perasmian

Majlis ini bukan sahaja meraikan pencapaian akademik, tetapi juga diharapkan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Tahniah diucapkan kepada semua graduan atas kejayaan gemilang ini!

Explore More