Disember 5, 2024

Search
Close this search box.
DSC

PUTRAJAYA, 28 Nov – Dalam usaha memperkukuh pembangunan komuniti dan inovasi pertanian pintar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) menerima pengiktirafan melalui penyerahan Surat Anugerah (LoA) bagi sebuah projek komuniti daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ). Program pembangunan komuniti B40 ini memanfaatkan hasil penanaman pintar herba dan sayuran di Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk meningkatkan kemahiran urutan dan refleksologi, sekali gus menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti.

Penyerahan LoA ini telah dilaksanakan pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) / Memorandum Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Buku / Produk sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2024 Di Dewan Putra B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). LoA tersebut telah disampaikan kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias, oleh wakil YRZSNJ, Mohd Safuan Fadzli Mohsin Fadzli, Pengurus Kanan Program YRZSNJ, serta disaksikan oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.

DSC
Prof. Rosli Md Illias (kanan) menerima Letter of Award daripada wakil YRZSNJ, Mohd Safuan Fadzli Mohsin Fadzli (kiri), sambil disaksikan Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Menurut Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham@Hisam, Pengarah IBD yang juga ketua projek berkenaan, dana yang disalurkan oleh YRZSNJ berjumlah RM50,000 ini adalah sebahagian daripada kerjasama strategik antara UTM, YRZSNJ, dan Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan nilai keseluruhan projek berjumlah RM150,000. Selain sumbangan YRZSNJ dan PPj, UTM turut menyediakan dana padanan (matching grant) berjumlah RM50,000 melalui Dana Khas Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM.

DSC
Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham @ Hisam (tengah) bersama Prof Rosli Md Illias, dan Mohd Safuan Fadzli Mohsin Fadzli

Projek yang telah bermula pada 1 Ogos 2024 ini akan berlangsung selama 24 bulan dan bertujuan memperkasakan komuniti B40 melalui latihan kemahiran khusus, pembangunan modal insan, dan peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan berasaskan herba. Projek ini turut mengintegrasikan pendekatan penanaman pintar untuk membekalkan bahan mentah berkualiti tinggi bagi terapi urutan dan refleksologi, seterusnya meningkatkan taraf hidup komuniti sasaran. Inisiatif ini menyokong inovasi dalam sektor kesihatan berasaskan herba, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti yang mampan.

UTM dan IBD terus komited dalam menyokong agenda pembangunan negara melalui penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam sektor bioteknologi dan pertanian pintar. Kerjasama ini mencerminkan peranan universiti sebagai pemacu transformasi sosioekonomi negara.

Sementara itu, Putrajaya FOI 2024, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama PPj, berlangsung dari 27 hingga 29 November 2024 di PICC. Program yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada 28 November ini menjadi platform merakyatkan idea dan pendidikan tinggi melalui pelbagai aktiviti seperti perkongsian idea tokoh, pameran inovasi, peluang pekerjaan, dan program silang budaya.

Explore More