Disember 22, 2024

WhatsApp Image at AM

UTM perkasa sukan akar umbi melalui sumbangan kasut dan bola sepak

JOHOR BAHRU, 10 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui projek yang dibiayai oleh Dana Program Pemindahan Ilmu-Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (KTP-CCIN) telah menyumbangkan sebanyak 15 pasang kasut bola dan 10 biji bola sepak kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Pendas dalam usaha memperkasa sukan bola sepak di peringkat akar umbi. Sumbangan yang diperoleh hasil daripada sokongan beberapa individu prihatin merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan akses murid Orang Asli terhadap kemudahan sukan yang lengkap dan berkualiti dengan harapan dapat mendorong pembangunan bakat bola sepak sejak usia muda.

WhatsApp Image at AM
Penyerahan kasut bola dan bola sepak kepada murid SK Ladang Pendas

Projek ini diterajui oleh Pensyarah Sains Sukan, Dr. Adjah Naqkiah Mazlan, bersama ahli-ahli projek yang berdedikasi, termasuk Dr. Nurfatihah Raimi, Dr. Hadafi Fitri Mohd Latif, Ahmad Ariff Zuhdi, Muhammad Alif Tajudin, serta guru-guru dari SK Ladang Pendas, iaitu Souib Hamat, Muhamad Hariz Zahid, dan dari rakan strategik EQ Rich iaitu Muhamad Arif Abu Bakar. Projek yang dijalankan ini memberi fokus kepada pembangunan fizikal dan mental murid melalui program latihan bola sepak yang teratur dan berstruktur, sejajar dengan keperluan komuniti setempat.

Dengan kerjasama strategik bersama Kelab Bola Sepak EQ Rich, Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM (UTM SITC), dan SK Ladang Pendas, projek ini telah melibatkan kepada pengenalan teknik-teknik asas bola sepak serta sesi latihan fizikal yang disesuaikan mengikut tahap kemahiran murid. Latihan yang diberikan turut merangkumi aspek seperti stamina, kelenturan, dan penguasaan bola, bagi memastikan murid tidak hanya mempunyai minat tetapi juga kemahiran yang baik dalam permainan bola sepak.

Projek ini turut berperanan sebagai satu kajian mengenai keberkesanan pendekatan latihan berstruktur dalam pembangunan sukan peringkat sekolah rendah dalam kalangan komuniti Orang Asli. Kajian ini juga bertujuan untuk menilai bagaimana latihan berstruktur dapat membantu dalam pembangunan fizikal, pengukuhan disiplin diri, dan peningkatan keyakinan pelajar dalam aktiviti sukan. Ia juga melihat keberkesanan sokongan alat kelengkapan sukan dalam menggalakkan penyertaan murid secara aktif dalam bola sepak, sekali gus memberi impak positif kepada kesejahteraan mereka secara keseluruhan.

Pihak UTM dan rakan strategik berharap melalui program ini, murid akan dapat merasai pengalaman sukan yang lebih bermakna serta membina asas yang kukuh untuk masa depan mereka dalam bidang sukan. Di samping itu, program ini juga diharap dapat menjadi model kepada projek pembangunan sukan akar umbi yang lain terutama dalam kalangan komuniti yang memerlukan di Malaysia.

WhatsApp Image at AM
Penyerahan barangan projek bola sepak kepada Guru Besar SK Ladang Pendas
WhatsApp Image at AM ()
Wakil ketua pasukan menerima sumbangan kasut dan bola sepak
WhatsApp Image at AM
Wakil murid di dalam program bola sepak akar umbi

Explore More