Disember 22, 2024

WhatsApp Image at AM

Sumbangan mesin pengisar tingkat pengurusan sisa di SK Ladang Pendas

JOHOR BAHRU, 10 Nov – Projek Laman Kompos@Ladang Pendas telah menerima sumbangan mesin pengisar bahan dari individu yang perihatin bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan sisa pepejal secara lestari di sekolah. Projek yang menerima dana melalui Iskandar Puteri Rendah Karbon 4.0 (IPRK4.0) sebanyak RM10,000.00 ini diterajui oleh Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Adjah Naqkiah Mazlan bersama pasukan projek yang terdiri daripada Dr. Fatihah Raimi, Dr. Mohamad Ikram Zakaria, Ahmad Ariff Zuhdi, dan Muhammad Alif Tajudin. Mereka turut bekerjasama bersama guru-guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Pendas, iaitu Souib Hamat dan Muhammad Farhan Khairuddin dalam mengendalikan inisiatif ini.

WhatsApp Image at AM
Penyerahan mesin pengisar kepada Guru Besar SK Ladang Pendas

Mesin pengisar ini merupakan alat penting dalam proses pengkomposan kerana mesin ini membantu untuk memecahkan bahan organik seperti daun kering dan sisa makanan menjadi zarah-zarah yang lebih kecil, seterusnya mempercepat proses pereputan bagi menghasilkan baja kompos yang berkualiti. Projek ini juga menyasarkan untuk memberi kesedaran kepada murid-murid dan kakitangan sekolah serta komuniti Orang Asli setempat mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal yang lestari dengan mengamalkan kaedah pengkomposan.

Dalam usaha mengurangkan sisa pepejal terutama daun kering dan sisa makanan yang sering menjadi masalah kepada komuniti sekolah, Laman Kompos@Ladang Pendas dibina bagi mengatasi beberapa isu utama. Antara isu utama termasuk pengurusan sisa yang tidak mampan di peringkat sekolah menyebabkan keperluan untuk menaik taraf laman kompos yang sedia ada, serta tahap pengetahuan dan kemahiran yang rendah dalam kalangan warga sekolah mengenai teknik pengkomposan. Dengan adanya mesin pengisar ini, pihak sekolah dapat menjalankan aktiviti kompos secara lebih terancang dan efisien.

Menurut ketua projek, Dr. Adjah Naqkiah Mazlan, “Pengkomposan adalah satu kaedah yang bukan sahaja efektif dalam menguruskan sisa organik, tetapi juga membantu menyuburkan tanah secara semula jadi. Inisiatif ini dapat memberikan pengalaman praktikal kepada murid tentang kepentingan menjaga alam sekitar.” Tambahnya, penglibatan murid dan komuniti Orang Asli dalam projek ini diharap dapat membina kesedaran mendalam mengenai pengurusan sisa pepejal yang bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada kelestarian alam.

Kajian yang dijalankan juga menunjukkan bahawa pengkomposan mempunyai manfaat alam sekitar yang ketara. Penggunaan kompos membantu membaiki struktur tanah, meningkatkan keupayaan tanah mengekalkan kelembapan, dan mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia. Beberapa kajian tempatan dan antarabangsa juga mendapati bahawa pengkomposan mampu mengurangkan jumlah sisa yang berakhir di tapak pelupusan, di samping mengurangkan pelepasan gas rumah kaca.

Projek ini turut membimbing murid dan kakitangan sekolah dalam modul pengkomposan yang meliputi teknik-teknik asas seperti pengumpulan bahan organik, pemisahan sisa, dan kaedah penyimpanan kompos. Modul ini dirangka bukan sahaja untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta tentang pengkomposan, malah diharapkan dapat mencetuskan minat dalam kalangan murid orang asli untuk menceburi bidang berkaitan alam sekitar dan pengurusan sisa pada masa hadapan.

SK Ladang Pendas berupaya untuk menjadi model komuniti lestari di mana sisa organik diuruskan dengan berkesan melalui pengkomposan. Selain itu, diharapkan juga agar projek ini dapat melibatkan lebih banyak sekolah dan komuniti pada masa akan datang agar manfaat dan impak pengkomposan dapat dikembangkan ke kawasan yang lebih luas.

Projek Laman Kompos ini merupakan langkah yang signifikan dalam memupuk budaya pengurusan sisa lestari dalam kalangan generasi muda. Inisiatif ini diharap dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dan bertindak sebagai asas kepada inisiatif pendidikan alam sekitar yang lebih komprehensif di SK Ladang Pendas dan kawasan Orang Asli sekitarnya.

WhatsApp Image at PM ()
Tapak Projek Laman Kompos@Ladang Pendas
WhatsApp Image at PM
Kerja-kerja awalan tapak kompos

Explore More