Disember 19, 2024

image

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Lagu Keunggulan Terbilang sering meruntun jiwa tatkala bergema, menyemarakkan semangat “Kami anak kandung, UTM rimbun bernaung. Usaha kami bukti cintamu, dikau persada ilmu.”

Bermula dari pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana hingga Doktor Falsafah (PhD), AR. IDR. Ts. Dr. Noraslinda Abdul Rahman memilih UTM kerana kualiti pendidikannya yang unggul dengan kurikulum komprehensif, pengalaman praktikal, penguasaan teknologi, dan pendekatan mampan.

Berasal dari Johor Bahru dan kini berusia 40 tahun, pengajian beliau ini dibiayai sepenuhnya atas kos sendiri tanpa tajaan cuti belajar. Penglibatan dalam Fakulti Alam Bina dan Ukur mengukuhkan lagi dedikasi terhadap ilmu seni bina yang telah menjadi asas kerjaya sejak awal.

Menjalani kehidupan di kampus yang penuh dinamik, UTM menawarkan suasana kampus yang serba lengkap dengan pelbagai aktiviti sosial dan kokurikulum. Pelbagai acara seperti festival, pertandingan, dan seminar sering diadakan, memberikan peluang untuknya berinteraksi dan belajar daripada pengalaman orang lain.

Pengalaman sebagai alumni UTM dalam bidang seni bina telah membawa perspektif yang luas, seterusnya dapat mengukuhkan jati diri sebagai Arkitek Profesional, Pereka Bentuk Dalaman, dan Teknologis yang kini menyelusuri dunia akademia.

UTM bukan sekadar membuka pintu kepada prospek kerjaya yang cerah tetapi juga membina jaringan profesional yang kukuh, menjanjikan keyakinan terhadap masa depan yang gemilang. Prinsip yang dipegang, bahawa dengan ilmu, masa depan boleh dicipta, memacu langkah dalam perjuangan mencari ilmu. Perjuangan ini bukanlah sekadar perjalanan intelektual, tetapi juga tuntutan takwa, ibadah, dan jihad dalam mencapai impian.

ebca f fde fb
Pengalaman industri diadun pada Pengurusan CoE

Pengalaman dalam industri pembinaan tanah air membentuk semangat untuk terus mencari ilmu dan teori, mengadunkan ilmu praktikal dari sudut pandang yang menyeluruh. Beliau memulakan pendidikan awal seni bina di Sekolah Menengah Vokasional Segamat dalam bidang Kejuruteraan Awam, disusuli dengan Diploma Seni Bina dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), dan seterusnya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni Bina UTM.

Dalam dunia industri pula, beliau berpeluang menimba pengalaman di firma-firma ternama seperti Ooi & Associates Civil and Structural Engineering, DP Architect Pte. Ltd., Homelux Interior Sdn. Bhd., GDP Architect Sdn. Bhd., SA Architects Sdn. Bhd., SKTAN Architect, Archimatrix Sdn. Bhd., dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) sebelum beralih ke dunia akademik pada tahun 2016 setelah satu dekad berkecimpung dalam industri.

Peralihan ke bidang akademik membuktikan bahawa dua dunia ini saling melengkapi meskipun ianya berbeza. Dunia akademik menumpukan pengembangan ilmu dan teori, manakala industri menekankan aplikasi praktikal yang diterjemahkan dalam bentuk projek nyata. Sinergi antara kedua-dua bidang ini adalah penting bagi memastikan kurikulum pendidikan terus relevan dan selari dengan keperluan semasa.

Pengajian PhD adalah perjalanan penuh cabaran, dan ujian terbesar datang ketika dunia dikejutkan dengan pandemik COVID-19. Kesukaran mengakses perpustakaan, makmal, dan sumber penyelidikan lain memberi impak besar kepada pembelajaran. Interaksi dengan penyelia dan rakan-rakan sungguh terbatas, menyebabkan kesunyian yang menguji daya tahan mental dan emosi.

Namun, pandemik ini juga menjadi medan untuk melatih ketahanan dan daya saing dalam menghadapi ketidakpastian, meningkatkan fleksibiliti, inovasi, dan kemahiran penyelesaian masalah yang bakal dimanfaatkan di masa hadapan.

Tahun kedua pengajian membawa cabaran peribadi apabila diuji dengan keadaan kesihatan suami yang meruncing. Tekanan ini nyata memberi kesan kepada produktiviti dan fokus akademik, namun kekuatan dan semangat untuknya sembuh menjadi sumber inspirasi bagi menamatkan pengajian PhD.

Ketahanan, empati, dan sokongan sosial terbukti menjadi tunjang utama dalam mengimbangkan kehidupan peribadi dan tanggungjawab akademik. Restu insan-insan tersayang menjadi pendorong untuk meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu.

Tahun ketiga pengajian semakin mencabar apabila tuntutan untuk menyiapkan penyelidikan dan tesis semakin memuncak. Soalan-soalan introspektif seperti “Adakah ini yang terbaik?” atau “Mampukah ini disempurnakan?” sering menghantui.

Pada masa-masa sukar ini, peranan penyelia dalam membimbing dan memperkukuh potensi diri sangat dihargai. Perjuangan PhD bukan hanya tentang menambah pengetahuan dalam bidang penyelidikan tetapi juga tentang mengenali kekuatan dan kelemahan diri. Ianya proses memuhasabah hati.

fcf e f aeae bdcfac
Kenangan bersama penyelia di setiap semester

Dalam masa menguruskan pengajian, tanggungjawab sebagai Pensyarah Senibina di UTM, Pengarah Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), Felo Kolej Perdana, dan Pengarah firma Noraslinda Architect terus dipikul dengan tabah.

Dalam kesibukan ini, tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu tetap menjadi keutamaan. Kejayaan ini adalah hasil sokongan daripada mereka yang sentiasa menyokong termasuk penyelia, ahli keluarga, insan kesayangan, rakan-rakan, dan sahabat sejati. Setiap kata semangat dan dorongan memberi kesan besar dalam setiap langkah menuju kejayaan.

Rancangan jangka panjang selepas tamat pengajian adalah untuk mengajar dan membimbing pelajar dalam bidang pengajian seni bina serta bidang-bidang berkaitan.

Matlamat lain termasuk menyelia dan membantu pelajar mengembangkan projek penyelidikan yang inovatif bagi mencapai matlamat akademik mereka, terlibat dalam penyelidikan berimpak yang memberi manfaat kepada masyarakat, dan membangunkan kerjasama dengan industri untuk menerapkan hasil penyelidikan dalam konteks praktikal.

Selain itu, program khidmat masyarakat akan diadakan, seperti bengkel pendidikan dan seminar yang mempromosikan kesedaran dan pendidikan dalam bidang seni bina.

db bba f aa fce
Kenangan di hari peperiksaan lisan bersama panel

Menyumbang kepada pembentukan dasar pendidikan tinggi melalui penyertaan dalam panel atau badan penasihat serta memperkasa ekosistem Quadruple-Helix dengan universiti, agensi, industri, dan komuniti adalah antara rancangan untuk terus menyumbang kepada pembangunan UTM sebagai universiti penyelidikan terunggul.

Di penghujung pengajian, jelas bahawa kejayaan ini bukan milik peribadi semata-mata, tetapi hasil dari usaha dan sokongan semua. Kerana, “kejayaan dicipta oleh insan biasa yang berusaha secara luar biasa”.

image
Keluarga Dr. Noraslinda yang mewarnai hari konvokesyen

Explore More