Disember 3, 2024

Search
Close this search box.
IMG

Simposium Lestari tingkat kesedaran alam sekitar dan aktiviti rendah karbon

JOHOR BAHRU, 5 Nov – Barisan pensyarah dari Fakulti Sains (FS), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dijemput sebagai pempamer di reruai pameran sempena Simposium Lestari 2024 anjuran Majlis Perbandaran Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama Kyoto City, Persatuan Aktiviti Alam Sekitar Kyoto (KEAA), Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar (IRDA). Simposium ini bertujuan sebagai sesi perkongsian pencapaian projek Sudut Lestari yang merupakan Hub Komuniti Rendah Karbon yang menyediakan pelbagai ruang pameran dan aktiviti berkaitan kesedaran alam sekitar dan gaya hidup rendah karbon beserta mewujudkan platform sukarelawan Lestari.

UTM merupakan salah satu rakan strategik Sudut Lestari yang turut bersama SWM Environment Sdn. Bhd., Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), KLOTH, Lakoo dan Rotary Club. Aspirasi utama projek Sudut Lestari adalah bagi menyebarluaskan gaya hidup rendah karbon, melahirkan sukarelawan dan green champions bagi bandaraya Johor Bahru dan Iskandar Malaysia. Simposium ini telah dihadiri seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi swasta, institusi-institusi pengajian, sekolah-sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sebanyak 18 buah pameran dari pelbagai agensi telah turut serta dalam program ini dan 10 Arca dari finalis Pertandingan Arca Lestari juga dipamerkan.

Pensyarah dari Fakulti Sains, Dr. Huszalina Hussin; Jabatan Biosains, Dr. Raihana Ridzuan; serta Jabatan Fizik, Ts. Dr. Fariza Hanim Suhailin, telah membuat pameran tentang teknik pertanian lestari dan penggunaan teknologi dalam amalan pertanian. Inisiatif mereka bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar di samping memperkenal penyelesaian inovatif bagi pengurusan sisa organik dan teknologi pintar dalam bidang pertanian.

dacfac cab d cba
Barisan pensyarah di reruai pameran UTM. Dari kiri: Dr. Huszalina, Dr. Hidayah, Dr. Raihana dan Ts. Dr. Fariza Hanim

Dr. Huszalina Hussin berkongsi mengenai amalan pengkomposan sisa makanan, di mana sisa organik diubah menjadi baja yang kaya dengan nutrien. Proses ini bukan sahaja membantu mengurangkan sisa ke tapak pelupusan tetapi juga menyokong penghasilan tanaman yang subur seterusnya mampu untuk menjadikan alternatif baja kimia yang mesra alam.

Dr. Raihana Ridzuan pula menekankan teknik penanaman pelbagai sayuran yang mudah dipraktikkan untuk hasil tanaman yang berkhasiat dan bebas racun seperti sawi, terung, dan cili padi. Teknik ini menunjukkan cara penanaman yang memanfaatkan ruang secara optimum dan sesuai untuk pelbagai persekitaran.

IMG
Suasana semasa lawatan dari JICA ke reruai pameran UTM

Sementara itu, Ts. Dr. Fariza Hanim Suhailin pula memperkenal aplikasi Internet Pelbagai Benda (IoT) yang membuka peluang baru bagi pemantauan dan pengurusan ladang secara automatik dan tepat untuk pertanian pintar. Melalui IoT, petani dapat mengawasi parameter penting seperti kelembapan tanah, suhu, dan pencahayaan dengan menggunakan sensor yang dipantau dari jauh. Teknologi ini membantu mengoptimumkan sumber daya, mengurangkan kos, dan meningkatkan produktiviti secara keseluruhan. Selain itu, Ts. Dr. Fariza Hanim turut memberikan sesi demonstrasi aplikasi IoT dalam penyiraman pintar dengan menunjukkan bagaimana mini prototaip penyiraman yang dikawal melalui internet itu mampu berfungsi.

cac ac be b daf
Ts. Dr. Fariza Hanim semasa sesi demonstrasi mini prototaip aplikasi IoT dalam penyiraman pintar bersama pelajar dari Kolej Vokasional Tanjung Puteri, Johor

Secara keseluruhannya, penglibatan pensyarah UTM di Simposium Lestari 2024 berupaya untuk memberi inspirasi kepada pelawat dan komuniti setempat agar lebih berinovasi dalam bidang pertanian dengan memanfaatkan segala teknologi pintar dan pendekatan yang lebih lestari dan mesra alam.

Explore More