Disember 19, 2024

FKM IQIP

Program kerjasama FKM-IQIP lahir 41 graduan sulung

JOHOR BAHRU, 18 Nov. – Menyedari dunia kejuruteraan yang semakin berkembang pesat, universiti disaran untuk  menghasilkan graduan yang bukan sahaja cemerlang daripada sudut teori tetapi juga bersedia menghadapi cabaran industri.

Bagi tujuan tersebut, program kerjasama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan IQIP Malaysia yang lebih dikenali Program DynaMech, muncul sebagai antara inisiatif bagi melahirkan graduan yang terus relevan dengan kehendak industri.

Program ini dimulakan pada pertengahan tahun 2023, dengan kohort sulung menyertai pada Oktober 2023 bagi sesi akademik 2023/2024. Kohort pertama ini melibatkan 41 pelajar yang telah berjaya menamatkan program dan bergraduasi pada Majlis Konvokesyen ke-68 tahun ini.

Program eksklusif ini bertujuan untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing, dan bersedia menghadapi cabaran dunia kejuruteraan moden yang dirangka selama dua semester bagi melahirkan graduan yang kompeten dengan menggabungkan pembelajaran teori bersama pensyarah akademik UTM dan pengalaman praktikal yang dibimbing oleh jurutera industri daripada IQIP Malaysia.

Menurut Dr Amir Putra dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, program ini bertujuan untuk memperkasa pelajar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan masalah serta penglibatan langsung bersama profesional industri.

“Program ini berbeza daripada aliran perdana kerana ia mengintegrasikan pembelajaran teori dengan aplikasi dunia sebenar. Pelajar menghadiri kelas teori bersama pensyarah FKM dan sesi interaktif bersama pakar kejuruteraan dari IQIP Malaysia. Mereka diberi peluang untuk mendalami cabaran sebenar dalam dunia kejuruteraan, menjadikan mereka lebih bersedia dan yakin sebelum memasuki alam pekerjaan.” kata Dr. Amir.

“Ini adalah satu pengalaman yang luar biasa. Kami belajar bagaimana idea reka bentuk diterjemahkan menjadi produk sebenar, dan ini memberi kami keyakinan untuk memasuki dunia pekerjaan selepas tamat pengajian,” kata salah seorang graduan yang menyertai program ini, Nur Azra Fatini Azlan Syah.

Azra mengakui bahawa program ini mencabar tetapi memberi impak besar kepada pembelajaran mereka. Sebagai pelajar Kejuruteraan Mekanikal tulen, beliau perlu mempelajari konsep baru dalam industri marin, perkapalan, dan “offshore.” Namun, dengan bimbingan pakar industri, cabaran ini menjadi peluang untuk belajar di luar batasan teori.

Beliau juga turut berkongsi bagaimana program ini telah memberikan impak besar dalam pembelajarannya:

“Pada mulanya, memahami konsep marin dan offshore sangat mencabar, tetapi dengan bantuan jurutera IQIP dan pensyarah, saya dapat menguasainya. Program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada dunia kerja sebenar, tetapi juga melatih kami untuk bekerja secara efektif dalam kumpulan, menyelesaikan masalah, dan membentangkan idea dengan yakin.

Dengan gabungan teori dan praktikal, graduan Program DynaMech memiliki kelebihan kompetitif berbanding pelajar aliran perdana. Program ini bukan sahaja memberikan kemahiran teknikal tetapi juga membuka peluang kerjaya yang luas, termasuk peluang untuk diserap ke dalam IQIP Malaysia.

Program ini adalah contoh terbaik bagaimana kerjasama antara universiti dan industri boleh menghasilkan graduan yang bukan sahaja “siap bekerja” tetapi juga “bersedia menyumbang” kepada pembangunan industri.

“Program seperti ini boleh disesuaikan untuk sektor yang berbeza dengan membina modul khas yang memenuhi keperluan unik industri tertentu. Selain memberikan pengalaman pembelajaran unik kepada pelajar, ia juga mempercepatkan penyesuaian pelajar ke dalam dunia kerja, menjadikan mereka lebih bersedia dan produktif.” ujar Dr. Amir yang menyatakan program seperti ini berpotensi besar untuk dikembangkan bersama rakan-rakan industri lain.

Melangkah ke hadapan, program seperti ini dijangka menjadi model pendidikan kejuruteraan yang lebih komprehensif, membina jambatan yang lebih kukuh antara akademik dan industri. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program ini, maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman web rasmi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM.

Explore More