Disember 19, 2024

A

Profesor Emeritus Ir. Mohamad Afifi pamer ketokohan cendekiawan kejuruteraan

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Majlis Konvokesyen UTM ke-68 kali ini menyaksikan seorang tokoh cendekiawan dalam dunia kejuruteraaan khasnya bidang mekanikal, Ir. Mohamad Afifi Abdul Mukti menerima gelaran Profesor Emeritus, hari ini.

Sepanjang hampir empat dekad berkhidmat, beliau telah menunjukkan dedikasi yang luar biasa, bukan hanya sebagai pendidik, tetapi juga sebagai pemimpin dalam pembangunan akademik dan penyelidikan di UTM.

Memulakan kerjayanya di UTM pada tahun 1973, Profesor Emeritus Ir. Mohamad Afifi telah menjadi perintis dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam penggubalan kurikulum kejuruteraan yang relevan dengan keperluan industri.

Pada tahun 1975, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang M.Sc. (Turbomachines) di University of Newcastle-upon-Tyne, England, hasil tajaan UTM. Selepas kembali ke tanah air pada tahun 1976, beliau terus menyumbang kepada pembangunan pendidikan kejuruteraan di UTM, memegang pelbagai jawatan pentadbiran yang penting di Fakulti Kejuruteraan Jentera (sekarang Fakulti Kejuruteraan Mekanikal).

Pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai Ketua Makmal Bendalir, dan kemudian menjawat jawatan Ketua Jabatan Haba-Bendalir serta Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal. Tidak lama selepas itu, beliau mengemudi fakulti tersebut sebagai Dekan dan Ahli Senat UTM selama lapan tahun (1990-1998), suatu tempoh yang menyaksikan banyak perubahan dan kemajuan. Di bawah kepimpinan beliau, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal berkembang pesat, terutama dalam penyediaan kemudahan makmal dan projek penyelidikan yang berimpak tinggi.

Salah satu sumbangan terbesar beliau kepada pendidikan kejuruteraan di Malaysia ialah pengenalan Latihan Industri sebagai sebahagian daripada kurikulum kejuruteraan di UTM. Idea ini kemudiannya diadaptasi oleh semua program kejuruteraan di seluruh negara. Keberkesanannya jelas apabila kini Latihan Industri menjadi komponen wajib dalam setiap program kejuruteraan di Malaysia, mempersiapkan graduan dengan pengalaman praktikal yang diperlukan dalam dunia pekerjaan sebenar.

Sebagai seorang penyelidik, Profesor Emeritus Ir. Mohamad Afifi telah terlibat dalam pelbagai projek penyelidikan yang memberi impak besar kepada pembangunan teknologi di Malaysia. Antaranya, projek-projek seperti Offshore Fishing Vessel Design and Construction (1990-1995), yang menghasilkan reka bentuk bot laut dalam lengkap dengan peralatan canggih, dan Palm Oil as Alternative Fuel for Diesel Engine (1983), yang bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Projek reka bentuk bot tersebut juga merupakan yang pertama di UTM menerima dana penyelidikan melebihi RM1 juta, serta memenangi beberapa anugerah di peringkat kebangsaan.

Penglibatan beliau dalam penyelidikan bukan hanya terbatas kepada pembangunan teknologi, bahkan dalam membangunkan infrastruktur penyelidikan yang moden. Sebagai contoh, beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan makmal Aeronautik bernilai RM42 juta dan makmal marin bernilai RM35 juta di UTM. Kedua-dua makmal ini telah diiktiraf sebagai yang tercanggih di Asia Tenggara pada masa itu, menyediakan platform bagi penyelidikan yang lebih mendalam dalam bidang aeronautik dan marin.

Selain penglibatan dalam bidang akademik dan penyelidikan, Profesor Emeritus Ir. Mohamad Afifi turut aktif dalam badan profesional. Beliau merupakan ahli berdaftar dalam Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) sejak tahun 1973. Beliau juga telah menjadi pemeriksa bagi Profesional Engineer (Mekanikal) dan penilai bagi program-program pendidikan kejuruteraan di seluruh negara.

Selepas bersara pada tahun 2009, perhatian beliau beralih kepada kerja-kerja sukarelawan dan penyebaran ilmu. Selain terus memberi sumbangan sebagai pensyarah kontrak, beliau juga aktif dalam komuniti profesional, serta menjadikan Research Gate sebagai platform untuk berkongsi ilmu dan menjawab soalan daripada penyelidik di seluruh dunia. Apa yang menarik, beliau turut mengisi masa dengan menulis coretan dalam segmen ADILA di Radio Klasik , satu hobi yang menunjukkan sisi berbeza beliau sebagai seorang pencinta ilmu.

Pengiktirafan sebagai Profesor Emeritus ini tidak hanya sebagai penghormatan kepada sumbangan beliau dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah simbol kejayaan beliau dalam membentuk generasi jurutera yang berkualiti. Keperibadian beliau yang sederhana dan dedikasi terhadap profesionnya menjadikannya satu teladan yang akan terus dikenang di UTM dan di seluruh negara.

Explore More