Disember 22, 2024

WhatsApp Image at PM

Penggunaan Google Looker Studio tingkat pemantauan akademik sekolah

JOHOR BAHRU, 10 Nov – Fakulti Komputeran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya melaksanakan program perpindahan ilmu berkenaan pengurusan dan analisis data di sekolah melalui pembangunan dashboard yang menggunakan aplikasi Google. Program yang diadakan di Pusat Sumber, Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Pulai 2, Johor Bahru ini bertujuan bagi meningkatkan kemahiran guru dan kakitangan sekolah dalam aktiviti mengurus dan menganalisis data, khususnya bagi memantau prestasi akademik pelajar. Program ini telah mendapat sokongan penajaan dari Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM.

Program yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Siti Zaiton Mohd Hashim ini telah disertai seramai 18 orang peserta yang terdiri daripada guru dan kakitangan pentadbiran sekolah berdasarkan peranan mereka yang tinggi dalam aktiviti pengurusan data murid. Bagi menyokong keperluan pihak sekolah dalam usaha memantau prestasi akademik pelajar secara berkesan, program ini telah dirancang dengan memfokuskan beberapa objektif utama termasuk bagi memperkasa kemahiran peserta dalam pengurusan dan analisis data melalui pendekatan teknologi dan aplikasi Google. Peserta diajar untuk membina dashboard dengan menggunakan Google Looker Studio, satu aplikasi yang sangat sesuai untuk visualisasi data secara interaktif dan berkesan. Selain itu, peserta juga diberikan pendedahan mengenai teknik asas dalam menggunakan Google Sheets bagi memudahkan pengumpulan dan pemprosesan data murid.

WhatsApp Image at PM ()
Prof. Madya Dr. Siti Zaiton menyampaikan ucapan aluan

Program ini telah dikendalikan oleh sekumpulan fasilitator mahir yang diketuai oleh Zahari Supene, serta disokong oleh beberapa tenaga pengajar berpengalaman termasuk Halila Hazlin Jawahir, Faezah Zianalabiden, Jefri Samin, Norhasidah Sahar Shah, Dr. Farkhana Muchtar, dan Ts. Mohd Hazri Ishak. Melalui kaedah penyampaian secara fizikal dan sesi interaktif yang dilaksanakan, semua peserta telah didedahkan dengan kaedah visualisasi data yang mudah, teknik membina dashboard yang efektif, memudahkan untuk pemantauan dan analisis data pelajar.

skkp
Sesi perpindahan ilmu “Belajar Google Looker Studio” yang disampaikan oleh Zahari Supene

Di samping itu, peserta juga dilatih untuk mengaplikasikan kemahiran ini bagi tujuan membuat keputusan berasaskan data yang lebih berkesan. Contohnya, melalui dashboard yang dibina, pihak sekolah dapat memantau kemajuan murid dalam subjek tertentu, mengenal pasti murid yang memerlukan bantuan akademik tambahan, dan membuat perancangan intervensi secara lebih teratur. Bagi pihak sekolah pula, program ini menjadi satu inisiatif penting kerana memudahkan perkongsian data kepada pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan pihak pentadbiran sekolah untuk memastikan tindakan yang lebih cepat dan tepat diambil dalam meningkatkan prestasi pelajar.

skkp
Peserta sedang diberi pendedahan langkah-langkah untuk menyesuaikan carta dalam Dashboard Google Looker Studio

Program ini turut mendapat sambutan positif daripada pihak sekolah, khususnya daripada pihak pentadbiran yang terlibat secara langsung dalam penganjurannya. Majlis penutup program telah dirasmikan oleh Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Noraini Ali yang menyatakan penghargaan dan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan UTM dalam program seumpama ini. Dalam ucapan penutupnya, beliau menekankan betapa pentingnya penguasaan kemahiran dalam teknologi terkini untuk kegunaan pendidikan dan mengharapkan agar lebih banyak lagi program berkaitan teknologi dan inovasi dapat dilaksanakan bersama pihak universiti.

Turut hadir dalam majlis penutup ialah GPK Kokurikulum, Aezlan bin Khairollah yang juga bertindak sebagai penyelaras program ini. Menurut beliau, program ini menjadi platform yang efektif untuk membina kemahiran penting dalam kalangan guru, khususnya dalam pengurusan data pelajar yang menjadi komponen penting dalam memastikan pencapaian akademik murid-murid sentiasa dapat dipantau dengan teliti. Beliau juga menyatakan bahawa pihak sekolah amat teruja dengan pencapaian peserta yang telah berjaya menghasilkan beberapa dashboard yang menarik sepanjang program berlangsung.

WhatsApp Image at AM
Peserta sedang mengaplikasikan penapis (filter) bagi data yang hendak dianalisis

Pada akhir program, tiga orang peserta telah menerima hadiah berupa hamper sebagai pemenang setelah berjaya menghasilkan dashboard terbaik. Pihak penganjur menilai hasil dashboard peserta berdasarkan kriteria visualisasi, kemudahan penggunaan, serta kecekapan dalam menyampaikan data penting. Penghargaan ini adalah sebagai motivasi kepada para peserta lain untuk terus mengembangkan kemahiran yang telah dipelajari dalam amalan harian mereka di sekolah. Setiap peserta juga menerima dua buah modul bertajuk “Teknik Asas Aplikasi Google Sheets” dan “Jana Sijil Automatik Dengan Autocrat” sebagai bahan rujukan bagi memudahkan pengajaran dan amalan berterusan selepas program.

Dengan kejayaan program ini, Fakulti Komputeran UTM berbangga dapat memainkan peranannya dalam memberikan sumbangan bermakna kepada sekolah dan komuniti, sejajar dengan usaha universiti untuk memperkasa bidang pendidikan melalui teknologi terkini. Program perpindahan ilmu seperti ini diharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pendidik untuk memanfaatkan teknologi digital dalam tugas harian mereka. Selain memperkasa kemahiran guru, ia turut menjadi medium untuk merapatkan jurang antara institusi pengajian tinggi dan sekolah dalam mencapai matlamat pendidikan yang berkualiti.

Explore More