November 25, 2024

Search
Close this search box.

Dunia sedang menyaksikan perubahan pesat yang dibawa oleh kecerdasan buatan (AI). Ia bukan sahaja mencetuskan peluang ekonomi yang luas tetapi juga menimbulkan cabaran yang perlu diatasi dengan bijaksana. Di peringkat global, AI menjadi fokus utama dalam penggubalan dasar ekonomi dan pendidikan. Tidak terkecuali, Malaysia juga turut merasai impak arus transformasi ini. Dalam Sidang Kemuncak CEO APEC 2024 di Lima, Peru, YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan pentingnya mempersiap negara melalui pendekatan pendemokrasian pendidikan sebagai strategi utama untuk menghadapi cabaran AI. Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dipacu dan diberdayakan dengan kemahiran digital yang relevan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan memanfaatkan peluang besar yang ditawarkan oleh AI.

Perdana Menteri turut menyatakan bahawa cabaran dan gangguan yang dihadapi akibat ledakan AI ini adalah menyerupai cabaran semasa Revolusi Perindustrian dahulu. Ketika itu, terdapat gangguan ekonomi yang besar namun kebijaksanaan manusia dalam kepakaran dan inovasi telah berjaya mengatasi cabaran tersebut. Dengan memfokuskan kepada kepakaran dan latihan teknologi baru, masyarakat diyakini mampu menyesuaikan diri dengan perubahan yang dibawa oleh AI sebagaimana kejayaan mereka beradaptasi ketika era perindustrian dahulu.  Sebenarnya, Malaysia mempunyai sejarah yang kaya dalam menangani isu pendidikan secara inklusif. Ketika usaha membasmi buta huruf dilaksanakan, kerajaan berjaya menyediakan kemahiran asas membaca dan menulis kepada seluruh lapisan masyarakat. Inisiatif ini bukan sahaja membentuk asas pembangunan negara tetapi juga membuktikan bahawa dasar yang menyeluruh mampu membawa perubahan besar.

Kini, seperti yang diungkapkan oleh Perdana Menteri, usaha membasmi “buta digital” adalah sama pentingnya. Dengan literasi digital sebagai asas baru dalam era AI, pendekatan yang inklusif diperlukan untuk memastikan tidak ada yang tertinggal terutama golongan luar bandar dan miskin bandar. Sebagai contoh, Malaysia telah berjaya melaksanakan inisiatif yang membuktikan bahawa pelajar yang lemah dalam subjek seperti matematik dan sains boleh menguasai pengkodan. Ini menunjukkan bahawa dengan bimbingan yang tepat, pelbagai lapisan masyarakat boleh mendapat manfaat daripada teknologi baharu, walaupun mereka berasal dari latar belakang yang terhad. Perkara ini seiring dengan prinsip MADANI dan kini pendidikan AI yang inklusif dan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat menjadi fokus utama kerajaan. Perdana Menteri optimis bahawa melalui dasar yang betul dan pendemokrasian pendidikan AI, Malaysia bukan sahaja dapat menghadapi gangguan teknologi pada masa hadapan tetapi juga memperkasa rakyat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang wujud. Dengan kolaborasi sektor awam dan swasta serta sokongan padu daripada rakyat, Malaysia berpotensi menjadi pemain utama dalam ekonomi digital berasaskan AI.

Dalam konteks ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memainkan peranan penting sebagai pemangkin visi negara untuk menghadapi peluang dan cabaran revolusi AI. Dengan keupayaan akademik, kepakaran penyelidikan dan infrastruktur teknologi yang kukuh, UTM berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi peneraju dalam pendidikan dan inovasi teknologi AI. Melalui Fakulti AI, UTM menyediakan kurikulum yang relevan dan latihan teknikal mendalam di samping kolaborasi dengan industri bagi memastikan graduan berdaya saing dan mahir dalam aplikasi AI. Ini selaras dengan semangat “Menginovasi Penyelesaian” yang diterapkan UTM, membolehkan penyelidikan berorientasikan penyelesaian yang relevan untuk masyarakat dan menyumbang kepada pengurangan jurang teknologi di kawasan luar bandar dan berpendapatan rendah. UTM turut menyokong cita-cita pendemokrasian pendidikan AI melalui platform pembelajaran terbuka dan kursus dalam talian dalam bidang AI dan literasi digital. Langkah ini memastikan pendidikan teknologi dapat diperluas ke seluruh lapisan masyarakat termasuk komuniti marginal, golongan B40, masyarakat luar bandar dan Orang Asli serta kawasan pedalaman agar menjadikan AI lebih mudah diakses oleh semua. Selain itu, UTM juga aktif dan bersedia dalam mencurahkan idea, peranan dan khidmat kepakaran dalam membentuk polisi dan etika AI dengan menjadi rakan strategik kerajaan dalam penggubalan dasar yang menyeluruh.

Pendemokrasian pendidikan bukan sahaja alat untuk mengatasi cabaran teknologi tetapi juga cara untuk memperkasa rakyat. Dengan memberikan akses yang adil kepada teknologi dan pendidikan AI, Malaysia dapat mencipta tenaga kerja yang lebih berdaya saing serta masyarakat yang lebih inklusif dan menjana ekonomi yang lebih mampan. Seperti kata Perdana Menteri, “Jika kita berjaya mendemokrasikan akses kepada pendidikan AI, Insha Allah, kita akan dapat menyelesaikan cabaran yang kita hadapi.” Dengan pendekatan ini, Malaysia bukan sahaja bersedia menghadapi masa hadapan tetapi juga mampu memimpin dalam era digital global. Maka, pendemokrasian pendidikan sebagai strategi dan kunci utama menghadapi cabaran AI perlu dipandang serius oleh semua pihak. Dalam dunia yang kian dikuasai oleh kemajuan teknologi seperti AI dan digitalisasi, Malaysia menghadapi bukan sahaja cabaran tetapi juga mempunyai peluang besar untuk berkembang. Maka, kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dituntut agar revolusi AI tidak hanya menjadi fenomena teknologi tetapi satu perjalanan yang memartabatkan rakyat serta memperkukuh jati diri negara dalam era digital.

Explore More