BENUT, 15 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil inisiatif dalam membantu komuniti penternak sebagai pengeluar bahan mentah dengan mengadakan Program Inovasi Sumber Bahan Tempatan Untuk Pemakanan Ternakan berbentuk bengkel untuk menambah ilmu pengetahuan berkaitan pemakanan ternakan. Program telah dianjurkan oleh Kelab Merbauan Agrotechnology (MAGROTECH) Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Benut, Pontian. Program ini bertujuan untuk mengajar pelajar dan para penternak berkaitan pemakanan ternakan yang akan diaplikasikan oleh mereka bagi meningkatkan kualiti ternakan mereka.
Program yang mengambil masa selama 2 hari pada 15 dan 16 November 2024 ini, melibatkan 15 orang pelajar UTM dan 25 orang penternak, manakala Dr. Mira Panadi, pensyarah dari Jabatan Biosains, Fakulti Sains merupakan penceramah bagi program ini. Program ini mampu memberikan peluang kepada pelajar untuk belajar mengenai pemakanan ternakan, menambahkan ilmu pengetahuan kepada penternak seterusnya membolehkan mereka mengaplikasikan ilmu yang ditimba kepada ternakan masing-masing. Program ini juga melibatkan sesi praktikal bagi membantu penternak untuk lebih memahami informasi yang disampaikan. Pada hari pertama telah berlangsungnya sesi pembuatan dan penghasilan blok Urea Molases, manakala pada hari kedua pula berlangsungnya sesi pembuatan ransum campuran penuh (TMR) dan juga silaj.
Aktiviti utama yang dilakukan dalam program pemakanan ternakan ini adalah sesi penghasilan supplemen blok urea molases (UMMB). Sesi ini dimulai dengan pengenalan kepada teori dan kemudian diikuti oleh sesi demonstrasi bagi penghasilan blok Urea Molases yang dikendalikan oleh Dr. Mira. Penghasilan blok Urea Molases ini mendapat sambutan yang meriah dengan kerjasama dari pihak pelajar serta komuniti. Para penternak dapat membawa pulang blok Urea Molases yang telah dibuat ini untuk diberikan kepada haiwan penternak mereka.
Aktiviti utama pada hari kedua pula adalah sesi penghasilan TMR dan silaj. Dr. Mira sekali lagi memberikan sesi teori dahulu sebelum memulakan sesi demonstrasi. Penghasilan TMR ini lebih mudah dihasilkan berbanding UMMB kerana TMR ini tidak perlu dimampatkan di dalam blok seperti UMMB. TMR ini hanya perlu digaul sehingga sebati dan boleh terus digunakan kepada haiwan ternakan.
Seterusnya, sesi penghasilan silaj dimulakan dengan sesi teori oleh Dr. Mira dan diikuti dengan sesi demonstrasi. Sesi penghasilan silaj ini tidak mengambil masa yang lama kerana 2 silaj sahaja yang dapat dihasilkan. Proses penghasilan ini memerlukan sedikit bahan sahaja dan perlu dimampatkan di dalam tong. Silaj ini akan diberikan kepada penternak untuk digunakan kepada haiwan ternakan mereka.
Setelah selesainya kesemua aktiviti sepanjang 2 hari program berlangsung, program ini diakhiri dengan majlis penutup yang dimulakan dengan bacaan doa kemudian ucapan aluan oleh Siti Nurafiqah diikuti ucapan penutupan program oleh Dato’ Isa Ab Hamid. Bagi menghargai kedatangan setiap peserta yang bertungkus-lumus menghabiskan setiap sesi program bersama, sijil penyertaan telah disampaikan oleh Dato’ Isa kepada semua para peserta yang hadir. Bukan itu sahaja, bagi memberi penghargaan atas kedatangan Dato’ Isa, cenderamata telah diberikan daripada pihak penganjur. Bagi melengkapi majlis penutupan, program ini diakhiri dengan sesi fotografi secara beramai-ramai sebelum majlis akhirnya bersurai.