Disember 9, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image NewsHub ()

Dalam era pembangunan pesat ini, isu keselamatan dan keberkesanan pengurusan komuniti berpagar telah menjadi satu keutamaan. Oleh itu, kewujudan sistem yang inovatif, cekap, dan responsif amat diperlukan. MyREDS ialah contoh kecemerlangan teknologi yang berjaya mengubah landskap pengurusan komuniti.

Di bawah kepimpinan Prof. Madya Dr. Mohamad Hafis Izran Ishak dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, MyREDS yang dicipta pada tahun 2019 ketika pandemik COVID-19 melanda dunia, telah mengubah cara komuniti berinteraksi secara drastik. Dalam keadaan di mana interaksi fizikal adalah terhad dan kebersihan menjadi keutamaan, MyREDS muncul sebagai teknologi inovatif yang menawarkan penyelesaian pengurusan tanpa sentuhan, sekali gus mengurangkan risiko penyebaran virus dalam kalangan penghuni komuniti.

IMGL
Dr. Hafis Izran ketika ditemu bual membincangkan perjalanan dan penciptaan aplikasi MyREDS

Dengan menggunakan konsep Internet of Things (IoT), MyREDS bukan sahaja memudahkan pengurusan harian, malah membawa pendekatan menyeluruh kepada pengurusan komuniti dengan mengintegrasikan pelbagai fungsi penting ke dalam satu aplikasi pintar. Antara kelebihan MyREDS termasuk pengurusan pelawat yang cekap, pengurusan pembayaran bil, pelaporan kerosakan, serta pengurusan aduan secara digital.

“Keunikan utama MyREDS terletak kepada kebolehan pelawat mendaftar masuk secara self-check-in melalui ciri imbasan kod QR di mana pelawat hanya perlu mendaftar masuk dengan satu imbasan yang mengambil masa sekitar 3-5 saat sahaja. Lebih menarik lagi, dengan memanfaatkan teknologi IoT, ciri imbasan kod QR ini boleh diintegrasikan pada palang automatik. Bagi penghuni yang menerima pelawat, sistem akan menghantar notifikasi kepada penghuni mengenai kedatangan pelawat, sekali gus memendekkan masa menunggu di pondok pengawal. Melalui kaedah ini, penghuni berasa lebih selamat dan mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap akses ke kawasan perumahan mereka,” ujar beliau mengenai sistem MyREDS.

IMGL
Dr. Hafis Izran menerangkan integrasi teknologi canggih dalam MyREDS untuk kemudahan komuniti

Selain pengurusan pelawat, aplikasi MyREDS juga membolehkan penghuni membuat pembayaran bil utiliti dan penyelenggaraan secara dalam talian. Dalam dunia digital yang semakin pesat ini, penghuni tidak lagi perlu beratur di pejabat pengurusan untuk membuat bayaran; sebaliknya, mereka dapat menyelesaikan tanggungan dengan hanya beberapa klik pada peranti pintar mereka.

“Ciri ini memudahkan kerana ia mengurangkan beban pengurusan dan menjimatkan masa penghuni. MyREDS juga menyokong pelbagai fungsi lain yang membantu dalam menguruskan kehidupan komuniti, termasuklah pendaftaran haiwan peliharaan. Dengan ciri ini, penghuni dapat mendaftarkan haiwan peliharaan mereka, baik kucing mahupun haiwan eksotik yang mana rekod ini memudahkan pihak pengurusan memantau populasi haiwan dalam komuniti tersebut,” ulas beliau.

Dari aspek pelaporan kerosakan dan pengurusan aduan, MyREDS menawarkan fungsi yang mudah dan efisien. Penghuni hanya perlu membuat laporan mengenai sebarang kerosakan atau masalah melalui aplikasi ini, tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat pengurusan. Fungsi ini bukan sahaja menjimatkan masa tetapi juga memastikan aduan dapat disalurkan segera kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan lanjut. Setiap laporan yang dihantar oleh penghuni akan direkodkan dengan rapi dan diuruskan secara sistematik, sekali gus meningkatkan keberkesanan pengurusan komuniti.

Selain itu, aplikasi ini berfungsi sebagai medium interaksi bagi penghuni dan turut menyediakan papan pemuka (dashboard) untuk pihak pengurusan. Dashboard ini memberikan akses kepada pihak pengurusan untuk menyelia operasi harian komuniti dalam masa nyata. Melalui fungsi ini, maklumat mengenai pelawat, laporan kerosakan, dan status pembayaran penghuni dapat dipantau secara langsung. Data disimpan dalam sistem berasaskan cloud, yang menjamin keselamatan maklumat serta menyokong inisiatif teknologi hijau dalam mengurangkan penggunaan kertas.

IMGL
Paparan komprehensif dashboard MyREDS yang memaparkan ciri-ciri utama dapat memudahkan pemantauan pengguna

Sejak diperkenalkan, MyREDS telah mendapat perhatian luas dan menerima beberapa pengiktirafan, termasuk pingat emas Pameran Teknologi dan Seni Industri (INATEX) 2024 tempoh lalu di Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru. Sistem ini sudah diperluaskan ke komuniti utama seperti di taman perumahan sekitar Johor Bahru. Selain Johor sebagai perintis, MyREDS kini digunakan di kawasan lain seperti Shah Alam dan Terengganu.

“Peningkatan jumlah pengguna MyREDS menandakan kejayaan besar dalam menyediakan teknologi komuniti pintar yang berdaya saing di pasaran Malaysia. Ciri tambahan seperti ‘butang panik’ yang membolehkan penghuni mendapatkan bantuan kecemasan dengan pantas tanpa mendail nombor kecemasan merupakan satu lagi bukti kesungguhan MyREDS dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penghuni,” jelas Dr. Hafis mengenai integrasi aplikasinya.

IMGL
Pengiktirafan atas pencapaian luar biasa dalam inovasi

Memandang ke hadapan, MyREDS bercita-cita untuk memperkenal teknologi-teknologi baharu yang lebih canggih bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai sistem komuniti pintar utama di Malaysia. Antara projek masa depan MyREDS adalah pembangunan prototaip robot peronda dan dron automatik yang dilengkapi kamera pemantauan.

Inovasi ini dijangka membawa revolusi dalam aspek keselamatan komuniti kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada pengawal fizikal dan membolehkan pemantauan automatik yang lebih efisien. MyREDS juga merancang untuk menambah baik ciri tambahan bagi mengawal peranti rumah seperti lampu dan kamera litar tertutup (CCTV) melalui aplikasi pintar ini supaya aspek keselamatan dan keselesaan penghuni sentiasa terjamin.

Kerjasama antara MyREDS dan persatuan-persatuan penduduk merupakan langkah positif ke arah membentuk persekitaran komuniti yang lebih selamat dan sejahtera. Dengan visi yang jelas dan misi yang komprehensif, MyREDS kini berada di barisan hadapan dalam teknologi pengurusan komuniti yang bersepadu dan inovatif.

En. Ramdzan Adam, seorang pengguna setia dan warga emas yang menggunakan MyREDS turut berkongsi pengalamannya, “Sebagai seorang pengguna warga emas yang kurang mahir dalam penggunaan sistem ini, saya merasakan bahawa ia sangat mudah digunakan untuk menerima tetamu. Saya dapat memantau sendiri secara langsung melalui telefon.”

IMGL
En. Ramdzan Adam, pengguna MyREDS yang berpuas hati turut berkongsi pengalaman positifnya menggunakan aplikasi tersebut

Kejayaan MyREDS bukan sahaja sebagai penanda aras kepada pencapaian teknologi tempatan tetapi juga sebagai contoh terbaik bahawa inovasi tempatan mampu memberikan impak besar terhadap kesejahteraan masyarakat. MyREDS telah membuktikan bahawa aplikasi berasaskan teknologi dapat memainkan peranan penting dalam kehidupan harian, serta menyediakan satu platform menyeluruh yang bukan sahaja memudahkan tetapi juga melindungi komuniti yang menggunakannya.

Explore More