Disember 19, 2024

WhatsApp Image at x

Mahasiswa FABU jayakan Global Learning Expedition ke Indonesia

JAWA TENGAH, 25 Nov – Seramai 31 orang mahasiswa Tahun 3 dan 4, Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terlibat di dalam program ‘Global Learning Expedition 2.0: Exploring Rural Java through International Field Study and UTM-UNDIP-UNS Joint Student Rural Seminar’, yang berlangsung sepanjang tempoh cuti pertengahan semester bermula pada 24 hingga 30 November 2024.

Program ini juga turut disertai oleh dua orang pensyarah pengiring Program Perancangan Bandar dan Wilayah FABU, iaitu Dr. Mohamad Fadhli Rashid dan Dr. Khairul Hisyam Kamarudin. Program ini turut mendapat sokongan daripada pihak UTM International dan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, FABU serta kedua-dua institusi yang bekerjasama dari Indonesia iaitu Departemen Perencanaan Wilayah dan Kota (PWK), Universitas Diponegoro (UNDIP), Semarang dan PWK Universitas Sebelas Maret (UNS), Surakarta.

Program selama satu minggu ini mendedahkan para mahasiswa kepada pelbagai kegiatan, baik di kampus mahupun berkunjung ke lapangan bagi menjalankan kajian berkaitan pembangunan dan transformasi komuniti luar bandar di dua perkampungan di Jawa Tengah, Indonesia. Program di kampus dimulai pada hari ke-2 iaitu 25 November dengan majlis sambutan delegasi UTM oleh Dekan Fakultas Teknik UNDIP, diiringi oleh Ketua Jabatan PWK UNDIP, Prof. Dr. Wiwandari Handayani ST, MT, MPS serta Ketua Kumpulan Penyelidikan Pusat Pelayanan dan Perancangan Partisipatif (5P), Prof. Madya Dr. Holi Bina Wijaya ST, MUM.

Usai sambutan, majlis diteruskan dengan sesi kuliah umum yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Fadhli Rashid mewakili UTM dan Dr. Holi yang mewakili UNDIP. Selepas rehat tengahari, aktiviti diteruskan dengan sesi Seminar Bersama Mahasiswa UTM dan UNDIP yang membentangkan hasil penyelidikan yang lepas berkenaan komuniti luar bandar di Malaysia dan Indonesia. Sesi kemudiannya berakhir dengan bengkel persediaan dan perbincangan tindakan awal sebelum survei ke lapangan.

foto kegiatan UNDIP
Kuliah Umum di UNDIP yang disampaikan oleh Dr. Mohamad Fadhli Rashid

Hari berikutnya, pada 26 November, pula berlangsung kunjungan ke lapangan iaitu ke Desa Ketapang di Semarang bagi meninjau kegiatan masyarakat desa dalam pertanian organik. Bagi tujuan ini, pihak P5-UNDIP telah menghubungkan aktiviti mahasiswa UTM dengan Pusat Pembelajaran Pertanian Organik Al-Barokah yang dipimpin oleh Pak Mustofa di Dusun Gedad. Diwujudkan pada tahun 1989, di antara keunikan komuniti tani Al-Barokah ini adalah kegiatan ini dicetuskan adalah hasil kesedaran masyarakat untuk menikmati beras yang terhindar daripada penggunaan kimia selain mengekalkan amalan pertanian tradisional. Setelah lebih 35 tahun bersama-sama komuniti memperjuangkan agenda penghasilan padi organik, akhirnya mereka berjaya memperoleh pensijilan organik yang dikeluarkan oleh badan antarabangsa. Hal ini seterusnya melayakkan beras yang dikeluarkan oleh petani di Desa Ketapang dipasarkan ke seluruh Indonesia dan sehingga menjangkau ke luar negara meliputi Amerika Syarikat, Australia dan negara-negara Timur Tengah. Selain meninjau penghasilan beras organik, mahasiswa turut mencatat hasil pemerhatian terhadap pemakaian Teknologi IoT (Internet of Things) dalam kegiatan pertanian serta amalan ekonomi putaran (circular economy) yang diamalkan.

WhatsApp Image at
Kegiatan Mahasiswa UTM dan UNDIP di Desa Ketapang, Semarang

Aktiviti mahasiswa UTM di Desa Ketapang turut dibantu oleh kumpulan mahasiswa UNDIP terutama sebagai pemudahcara sesi temubual dan pemerhatian di lapangan. Aktiviti ini juga membuka ruang persefahaman yang lebih jitu dikalangan mahasiswa dari kedua-dua universiti.

Selesai kajian lapangan di Semarang, delegasi UTM kemudiannya meneruskan perjalanan ke Surakarta, yang terletak hampir 2 jam perjalanan menaiki bas. Di Kota Surakarta, mahasiswa UTM melanjutkan kegiatan di Program PWK, UNS pada 27 November dengan sambutan oleh Ketua Laboratorium Perancanaan Wilayah UNS, Prof. Madya Dr. Paramita Rahayu, para pensyarah serta mahasiswa. Selesai majlis pembukaan, sesi diteruskan dengan penyampaian kuliah umum oleh Dr. Khairul Hisyam Kamarudin mewakili UTM dan Dr. Chrisna yang mewakili UNS. Sepertimana aturan kegiatan sebelum ini, sesi diteruskan dengan sesi Seminar Bersama Mahasiswa UTM dan UNS yang membentangkan hasil penyelidikan yang lepas berkenaan komuniti luar bandar di Malaysia dan Indonesia. Sesi kemudiannya berakhir dengan bengkel persediaan dan perbincangan tindakan awal sebelum survei ke lapangan.

foto kegiatan UNS
Kuliah umum di UNS yang disampaikan oleh Dr. Khairul Hisyam Kamarudin

Pada 28 November pula, dijalankan kunjungan ke lapangan iaitu ke Desa Ponggok yang menjadi contoh sebuah model pelancongan desa yang paling berjaya di Indonesia. Lawatan ke Desa Ponggok turut disertai oleh para pensyarah dan kumpulan mahasiswa PWK-UNS yang bertindak sebagai pemudahcara kepada proses temu bual dan pemerhatian lapangan oleh mahasiswa UTM. Para mahasiswa kemudiannya dibahagi kepada lapan kumpulan yang akan menjalankan tinjauan ke lapan zon yang telah ditentukan. Sepanjang berada di Desa Ponggok, para mahasiswa telah menjalankan sesi libatsama penduduk bagi mendapatkan maklumat berkenaan pembangunan ekonomi Desa Ponggok dari sektor pelancongan, Usaha Mikro Kecil Menengah (UMKM) dan pertanian terutamanya dari Badan Usaha Milik Desa (BUMDes) Tirta Mandiri. Mahasiswa juga telah menemu bual wakil pemimpin tempatan serta pengusaha pelancongan untuk mengenal pasti sejarah perniagaan serta faktor-faktor yang mewujudkan daya tahan terhadap perniagaan mereka.

WhatsApp Image at
Kajian lapangan di Desa Ponggok
WhatsApp Image at
Sesi libatsama dengan pengusaha pelancongan di Desa Ponggok

Hari berikutnya, 29 November, delegasi UTM bertolak ke wilayah tanah tinggi iaitu Dieng di Wonosobo untuk melakukan tinjauan aktiviti pelancongan desa yang dijalankan oleh komuniti lokal. Dieng yang juga popular dengan jolokan “Negeri di atas Awan” menyajikan pelbagai sumber alam semula jadi sebagai tarikan utamanya. Berkedudukan geografi tanah tinggi di antara Gunung Prau dan Gunung Sundoro menjadikan kawasan ini paling sejuk di antara kawasan di Indonesia dengan suhunya sekitar 16 darjah Celcius. Kawasan ini berpotensi untuk menjadi popular dengan sumber-sumber yang boleh diketengahkan seperti Candi Arjuna, Volcanic Crater Site, air terjun, pemandangan tanah tinggi seperti berada di Switzerland, kebun teh dan banyak lagi. Sepanjang berada di Dieng, mahasiswa turut berkesempatan mengikuti aktiviti Jeep keliling Dieng selama 6 jam, dengan menikmati kesemua keindahan sumber alam semula jadi dan produk pelancongan yang ditawarkan.

Kesimpulannya, Global Learning Expedition 2.0 berjaya mencapai objektif yang digariskan iaitu kegiatan students outbound serta mengukuhkan kolaborasi strategik FABU UTM bersama-sama UNDIP dan UNS menerusi pelbagai aktiviti akademik yang membawa keuntungan dan manfaat bersama jangka pendek dan panjang, baik kepada mahasiswa, para pensyarah dan institusi secara langsung mahupun tidak langsung.

Oleh Dr. Khairul Hisyam Kamarudin dan Dr. Mohamad Fadhli Rashid, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia

Explore More