Disember 19, 2024

JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Dr. Izzah Madhiya Mohammad Isa, graduan Doktor Falsafah Pendidikan Fizik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, yang juga merupakan seorang guru di pedalaman, bukan sahaja dikenali sebagai pelajar cemerlang tetapi juga simbol ketabahan dan ketekunan. 

image ()
Dr. Izzah, graduan cemerlang yang merupakan simbol ketabahan dan ketekunan.

Berasal dari Semporna, Sabah, beliau merupakan lepasan ijazah sarjana muda dalam bidang Fizik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Beliau kemudian menyambung PhD dalam Pendidikan Fizik di UTM sebagai pelajar sepenuh masa pada tahun pertama dan kedua pengajian. 

Namun, kehidupan Dr. Izzah segalanya berubah pada tahun ketiga pengajian bila beliau mendapat tawaran penempatan sebagai guru di ceruk pedalaman Sarawak. Pada tahun ketiga pengajian beliau, Dr. Izzah ditempatkan di sebuah sekolah pedalaman di Belaga, Sarawak, dengan akses terhad kepada internet dan bekalan asas. 

Walaupun berdepan cabaran fizikal, mental, dan sosial di kawasan pedalaman ditambah pula dengan pelnagai persepsi sesetengah pihak terhadap tanggungjawab berganda yang dipikulnya, beliau tetap menamatkan pengajian walaupun terpaksa memohon cuti khas untuk keluar mencari capaian internet bagi menyelesaikan tesis. 

Dalam masa yang sama, beliau juga berjaya menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Pascasiswazah UTM, menerima anugerah Pelajar Pascasiswazah Terbaik Fakulti FSSH 2022, dan membuktikan bahawa kegigihan mampu mengatasi semua rintangan. 

Dr. Izzah memenangi anugerah Pelajar Pascasiswazah Terbaik FSSH.
Dr. Izzah memenangi anugerah Pelajar Pascasiswazah Terbaik FSSH.

“Strategi utama saya adalah membahagikan masa dengan teratur untuk pengajian PhD dan tugas sebagai guru, memperuntukkan 3 hingga 4 jam setiap hari untuk kajian PhD, dan menumpukan waktu sekolah sepenuhnya kepada tugas mengajar.” kata Dr. Izzah bila ditanya tentang strategi mengatasi cabaran.

Motivasi terbesar Dr. Izzah adalah membuktikan kemampuan diri setelah direndahkan oleh beberapa pihak kerana status beliau sebagai pelajar fast-track PhD dan bukan alumni UTM. Pengalaman tersebut telah mendorong beliau untuk tekun mempelajari setiap ilmu, menghadiri bengkel, dan bertanya tanpa ragu demi kejayaan. 

“Pengorbanan terbesar saya adalah masa dan tenaga, terutama selepas berkahwin.” Kata Dr. Izzah. Ini disebabkan hujung minggu selalunya digunakan untuk menyiapkan tesis, dan terpaksa menaiki bot berjam-jam mendapatkan capaian internet.

Dr. Izzah menaiki bot ke sekolah pedalaman.
Dr. Izzah menaiki bot ke sekolah pedalaman.

“Pengalaman paling menyentuh sepanjang PhD saya berlaku ketika ditempatkan di sekolah pedalaman tanpa internet, membuatkan saya kehilangan semangat dan sukar beradaptasi, hingga merasakan graduate on time (GOT) mustahil. Namun, setelah setahun beradaptasi, saya mula menerima takdir dan menyedari bahawa Allah sedang mempersiapkan sesuatu yang lebih besar untuk saya. Saya mengubah mindset daripada mengejar GOT kepada fokus untuk menghabiskan PhD.” kata beliau.

“Dalam setiap kesulitan, pasti ada kemudahan. Dalam setiap kesulitan juga, pasti ada hikmahnya. Maka, jangan mudah putus asa kerana tidak ada yang mustahil apabila kita berusaha dan bertawakal kepada Allah.” kata Dr. Izzah sebagai nasihat kepada pelajar lain yang mungkin menghadapi cabaran besar dalam perjuangan kehidupan.

Sesungguhnya, ketabahan dan keazaman Dr. Izzah dalam mengharungi cabaran demi mencurahkan ilmu untuk anak bangsa memberi inspirasi kepada kita semua.

Explore More