Disember 22, 2024

Keterlibatan bersama komuniti fokus program pembangunan warga PFKK

JOHOR BAHRU, 6 Nov – Seramai 37 peserta yang terdiri daripada warga Persatuan Felow Kolej Kediaman (PFKK) telah menghadiri satu program yang bertajuk ‘Panduan Pembangunan Program Kolej Dalam Keterlibatan Komuniti Luar’, bertempat di Dewan Astana, Kolej Tunku Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program yang berlangsung ini merupakan inisiatif Biro Pembangunan dan Budaya Ilmu (BPBI) dalam usaha untuk meningkatkan keterampilan warga PFKK dalam mengendalikan program yang mampu membawa impak positif kepada masyarakat setempat.

Sesi yang dipenuhi dengan pengisian ilmu ini telah dikendalikan oleh penceramah jemputan, Prof. Dr. Johari Surif, yang merupakan Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM. Beliau telah berkongsi pandangan dan panduan yang bermanfaat mengenai pembangunan program-program kolej yang berkait dengan keterlibatan komuniti luar. Dalam ceramahnya, Prof. Dr. Johari menggariskan beberapa pendekatan strategik yang dapat membantu warga PFKK merancang, melaksanakan, dan menilai program yang lebih efektif, berstruktur, dan menyokong objektif pembangunan mahasiswa. Pendekatan-pendekatan yang diterangkan oleh beliau dapat membuka minda warga PFKK mengenai cara membentuk program yang bukan sahaja bermanfaat kepada mahasiswa tetapi juga kepada komuniti sekitar.

Perkongsian dari Prof. Dr. Johari Surif

Menurut Pengarah Program, Ts. Dr. Nurul ‘Azizah Mukhlas, objektif utama program ini adalah bagi membina kemahiran praktikal dalam kalangan Majlis Felow dalam merancang dan melaksanakan aktiviti bersama komuniti. Di samping itu, program ini juga berperanan dalam menggalakkan kerjasama erat antara kolej kediaman dan komuniti luar dengan matlamat memperkukuh hubungan yang lebih bermakna dan produktif dalam pembangunan sahsiah dan ilmu mahasiswa. Ts. Dr. Nurul ‘Azizah juga berharap agar hasil daripada program ini, setiap ahli PFKK mampu memperluas peranan mereka dalam merangka aktiviti-aktiviti berimpak tinggi yang menjadikan komuniti luar sebagai sebahagian daripada pembangunan pelajar.

Ucapan yang disampaikan oleh Ts. Dr. Nurul ‘Azizah Mukhlas

Majoriti peserta bersetuju bahawa mereka kini lebih memahami dan lebih yakin untuk mengaplikasikan ilmu dalam perancangan dan pelaksanaan program yang melibatkan komuniti luar. Selain itu, program ini juga dilihat telah berjaya meningkatkan kesedaran peserta tentang pentingnya penglibatan komuniti dalam memperkukuh pembangunan kemahasiswaan.

Majlis penutup program dimeriahkan dengan sesi penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan, Prof. Dr. Johari Surif, sebagai tanda penghargaan atas kesudian beliau meluangkan masa untuk menyampaikan ilmu dan panduan yang amat berharga. Cenderahati berupa hamper dan wang tunai disampaikan oleh Ketua Pentadbiran, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni) (JTNCHEPA), Pn. Hanifah Ahmad, yang diiringi oleh Pengarah Program, Ts. Dr. Nurul ‘Azizah Mukhlas. Dalam ucapan ringkasnya, Pn. Hanifah menyatakan rasa terima kasih kepada Prof. Dr. Johari atas perkongsian yang bermanfaat serta menzahirkan harapan agar lebih banyak lagi program seperti ini dapat diadakan pada masa hadapan.

Penyampaian cenderamata kepada penceramah

Menurut salah seorang peserta, “Program ini memberikan pendedahan yang sangat berguna dan saya lebih berkeyakinan untuk melibatkan diri dalam program pembangunan kolej yang boleh memberi manfaat kepada komuniti luar. Saya juga rasa bahawa pendekatan yang diterapkan oleh penceramah sangat relevan dan dapat membantu saya dalam merancang program dengan lebih teratur.”

Secara keseluruhannya, program ‘Panduan Pembangunan Program Kolej Dalam Keterlibatan Komuniti Luar’ berjaya memberi impak positif kepada warga PFKK yang hadir. Dengan panduan dan pendedahan yang diberikan, para peserta kini lebih bersedia untuk memainkan peranan proaktif dalam perancangan program yang melibatkan komuniti luar. Semoga dengan usaha berterusan ini, keterlibatan komuniti dalam pembangunan mahasiswa di kolej kediaman dapat diperkukuh seterusnya memberi manfaat kepada lebih ramai pihak.

Sebahagian Ahli Jawatankuasa Biro Pembangunan dan Budaya Ilmu (BPBI)

BPBI berharap agar program ini dapat diteruskan dengan penyampaian topik lain yang juga berkaitan dengan pembangunan kemahiran warga PFKK agar kolej kediaman di UTM terus melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga aktif dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.

Explore More