Disember 19, 2024

JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Dalam suasana penuh kegembiraan dalam kalangan graduan di Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-68, Siti Farah Norbaini Mohamad dengan moto hidupnya “Just Do It!”, tampil sebagai simbol kecekalan dan ketabahan. Ibu tunggal kepada lima orang anak ini berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana yang kedua dalam bidang ‘Business Intelligence and Analytic’ di Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) atau kini lebih dikenali sebagai Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI). 

Melalui kisahnya, Siti Farah ingin memberi inspirasi kepada ibu tunggal yang lain agar tidak berputus asa dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka, lebih-lebih lagi selepas melalui episod kehidupan yang sukar.

“Kalau boleh, saya ingin berkongsi cerita ini supaya ramai ibu tunggal terinspirasi untuk meningkatkan kehidupan mereka selepas fasa perceraian yang menyakitkan,” katanya penuh harapan. 

Bagi Siti Farah, kejayaan dalam pengajian tinggi bukan hanya tentang pencapaian akademik, tetapi ia juga mengenai keberkatan dalam setiap langkah.

“Saya ingin menjadi contoh kepada anak-anak saya. Saya percaya, keberkatan ilmu mampu membawa rahmat dan sakinah dalam hidup. Ilmu adalah cara paling mudah untuk meningkatkan taraf hidup,” ujarnya. 

Siti Farah Norbaini bersama anaknya.
Siti Farah Norbaini bersama anaknya

Siti Farah turut memuji silibus UTM yang dikatakan sangat relevan dan selaras dengan keperluan industri masa kini, yang mempersiapkan graduan seperti dirinya untuk menghadapi dunia pekerjaan dengan lebih yakin. 

Hasil ilmu dan kemahiran yang beliau perolehi sepanjang menyambung pengajiannya di UTM, melayakkan beliau menerima tawaran pekerjaan dengan pendapatan yang stabil sebelum tamat pengajian.

Kini, beliau telah pun memulakan kerjaya di salah sebuah syarikat terkemuka dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Globe OSS Sdn. Bhd., sekali gus menepis tanggapan masyarakat tentang pelajar pascasiswazah sukar untuk menempatkan diri di dalam industri. Kejayaan Siti Farah ini menjadi bukti UTM sememangnya unggul dalam melahirkan graduan yang berkualiti. 

Semestinya, tidak mudah bagi Siti Farah untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai seorang ibu dan juga pelajar, namun beliau tetap mampu untuk menggalas kesemua tanggungjawab itu dengan keazaman yang tinggi. Beliau turut berkongsi tips bagaimana untuk menguruskan masa secara efisien dengan mempraktikkan konsep “block time” dan prinsip “DO IT NOW” untuk memastikan beliau sentiasa cemerlang dalam akademik tanpa mengabaikan amanah sebagai seorang ibu.

Siti Farah sentiasa bersyukur dengan sokongan yang tidak pernah putus daripada ahli keluarga, anak-anak serta rakan-rakan baik yang menjadi pembakar semangat bagi meneruskan perjuangan dalam menggapai impiannya ini.

Siti Farah Norbaini bersama ahli keluarganya yang sentiasa menyokong beliau

“Anak-anak saya adalah pendorong terbesar saya. Mereka sering memenangi anugerah di sekolah dan itu memberi kekuatan untuk saya terus berusaha sebaiknya sebagai ibu dan juga pelajar. Saya sangat bangga menjadi ibu mereka,” tambahnya sambil tersenyum.

Walaupun sering kali terdetik perasaan ingin berputus asa ketika berhadapan dengan kesulitan, beliau sering mengingatkan dirinya tujuan utama memilih jalan ini;untuk menjamin masa depan anak-anak. Selain itu, sebagai seorang Muslimah, amalan solat sunat Tahajud dan Dhuha juga menjadi sumber kekuatan rohaninya. Siti Farah juga tidak mengabaikan kesihatan fizikalnya dengan bersukan untuk membantu meningkatkan stamina. 

Dengan penuh inspirasi, beliau berpesan kepada wanita lain yang berada dalam situasi yang sama, “Jangan sesekali berputus asa, ujian Allah adalah rahmat. Anda boleh menangis, tapi selepas itu bangkitlah kembali.”

Kini, setelah menamatkan pengajian dan mempunyai kerjaya sebagai graduan bergaji premium, Siti Farah menganggap dirinya bertuah dan bersyukur atas kejayaan ini.

 “Saya bersyukur dan bangga menjadi graduan UTM,” ujarnya mengakhiri temu bual.

Explore More