Disember 22, 2024

Twin Yamuna Yasuda

JOHOR BAHRU, 20 Nov. – Tatkala kebanyakan graduan hadir ke majlis konvokesyen bersama ibu bapa tercinta, pasangan kembar, Yamuna Sangar dan Yasodaa Sangar hanya mampu meraikan memori tersebut sesama mereka berdua beserta keluarga yang masih di sisi.

“Kami kehilangan ayah ketika kami berusia lima tahun. Ibu pula meninggal dunia ketika kami berusia lapan tahun,” jelas Yamuna.

“Namun, kami bersyukur mempunyai datuk dan nenek yang menjadi tempat kami berteduh dan menumpang kasih sayang.

“Namun, datuk pula meninggalkan kami dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu kami berusia sembilan tahun. Trauma kemalangan jalan raya tersebut masih berbekas hingga kini memandangkan saya turut berada dalam kereta tersebut,” cerita Yamuna penuh emosi.

“Kehilangan ayah, ibu dan datuk dalam sela masa yang singkat menambah pilu yang sedia ada. Seolah-olah kebahagian kami diragut dan direntap begitu sahaja.

Namun, kesedihan dan kepiluan yang dialami tidak diratap panjang mereka berdua. Kedua-duanya bertekad untuk kuat melangkah ke hadapan, mendepani dunia yang penuh cabaran.

“Dengan sokongan padu keluarga yang masih di sisi, kami berdua telah memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seterusnya menjejakkan kaki ke Kolej Matrikulasi.

“Langkah kami ke menara gading diteruskan apabila kami berdua ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.

Sepanjang pengajian, Yamuna dan Yasodaa sentiasa saling menyokong antara satu sama lain memandangkan mereka berdua tidak pernah berpisah sejak dari bangku sekolah. Mereka juga sangat menghargai bantuan dan sokongan daripada pensyarah dan rakan-rakan dalam menyelesaikan pengajian.

Dalam pada itu, mereka berdua menjadikan abang mereka, Dr. Shatesh Kumar Sangar yang juga merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perpaduan sebagai inspirasi dalam perjalanan mengejar impian dan cita-cita.

“Perjalanan kerjaya abang kami menjadi inspirasi bahawa keazaman dan ketekunan yang luar biasa amat diperlukan untuk mencapai kejayaan.

“Di samping itu, kami percaya pendidikan tinggi masih relevan bagi membolehkan seseorang itu keluar dari kemelut kemiskinan dan kesusahan. Apa yang penting, teruskan perjuangan, kerana putus asa bukan jawapan,” ujar Yamuna dan Yasodaa, penuh tekad.

Explore More