Disember 9, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image NewsHub ()

Dalam era globalisasi yang mendorong kepada kepesatan teknologi tinggi, keperluan bagi meningkatkan pengurusan infrastruktur seperti sistem bekalan air semakin dititikberatkan. Di Malaysia sendiri, cabaran utama industri air sering berkisar pada isu kebocoran, penyumbatan, dan degradasi struktur paip yang berfungsi sebagai saluran utama bekalan air. Keadaan ini menyumbang kepada pelbagai kesan negatif dari segi kos penyelenggaraan yang semakin tinggi hingga kepada kesan buruk terhadap alam sekitar serta ketidakstabilan bekalan air kepada masyarakat.

Proses pemeriksaan keadaan di dalam paip air mentah bawah tanah, lazimnya saluran perlu dikosongkan terlebih dahulu bagi pemeriksaan manual, bukan sahaja mengganggu operasi harian malah turut mengakibatkan bekalan air terganggu kepada pengguna. Dalam konteks ini, penyelesaian inovatif yang efektif untuk menambah baik kecekapan pengurusan air adalah menjadi suatu keperluan.

Menjawab cabaran tersebut, Dr. Saiful Anuar Abu Bakar, penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal telah berjaya menghasilkan satu inovasi pemeriksaan paip air berasaskan teknologi robotik yang direka khusus bagi mengatasi kekangan pemeriksaan secara konvensional

Inovasi ini telah dibina dengan teliti bermula dari peringkat konsep hingga ke fasa komersial. Tujuan utama penciptaan ini adalah untuk memudahkan pemeriksaan paip secara berterusan tanpa perlu mengosongkan air di dalam paip, menjimatkan kos seterusnya menjadikan proses penyelenggaraan lebih proaktif. Dengan inovasi ini, Dr. Saiful Anuar telah berjaya merangkul pingat emas dalam Pameran Teknologi dan Seni Industri (INATEX) 2024 di Konvensyen Persada Antarabangsa Johor, Johor Bahru, mengiktiraf kehebatan serta keberkesanan inovasi teknologi tinggi beliau bagi penyelesaian masalah infrastruktur.

“Projek ini berakar umbi daripada kesedaran terhadap permasalahan yang dihadapi oleh syarikat air tempatan yang sering mengalami kerugian disebabkan oleh paip bocor atau tersumbat. Tidak seperti kaedah pemeriksaan terdahulu, robot ciptaan ini mampu beroperasi dalam persekitaran paip yang berair, satu kelebihan utama yang memberikan nilai tambah kepada pengguna industri air. Teknologi ini bukan sahaja memberikan keupayaan untuk mengenal pasti masalah dengan lebih cepat dan cekap, tetapi juga membantu mengelakkan gangguan besar kepada bekalan air,” jelas Dr. Saiful ketika menerangkan tentang inovasi beliau.

Sedimen yang tebal di dalam paip mengakibatkan aliran air berkurang 

Dari perspektif komersial, penyelesaian ini turut membuka peluang besar bagi meluaskan aplikasi teknologi, sama ada di Malaysia atau di peringkat antarabangsa, sebagai satu langkah ke hadapan dalam mempertingkat tahap keberkesanan pengurusan air di samping menjimatkan kos operasi syarikat air dalam jangka masa panjang.

Salah satu ciri utama penciptaan inovasi ini ialah sistem transmisi data yang efisien. Ianya direka untuk berfungsi di dalam jarak yang jauh serta berupaya untuk menghantar imej yang berkualiti tinggi meskipun dalam keadaan air yang keruh. Ciri ini menjadi aset yang sangat berharga kerana ia membolehkan proses pemeriksaan dijalankan tanpa gangguan pada bekalan air harian, sekali gus membantu mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar. Reka bentuk robot pemeriksaan ini juga dibuat secara khusus bagi membolehkan penyesuaian terhadap pelbagai bentuk dan saiz paip, menjadikannya lebih fleksibel dan mudah digunakan dalam pelbagai jenis paip.

“Dengan keupayaan transmisi data secara jarak jauh sehingga 200 meter dari sumber kawalan, robot ini bukan sahaja menawarkan keupayaan untuk pemeriksaan jarak jauh tetapi juga memberikan penyelesaian praktikal bagi syarikat yang perlu memeriksa kawasan paip yang sukar dicapai atau mempunyai keadaan persekitaran yang mencabar. Sistem komunikasi yang diperkuat dengan teknik pengukuhan isyarat juga membolehkan robot ini menghantar data dalam masa nyata, memberikan ketepatan dan kepantasan dalam proses pemeriksaan,” tambah beliau mengenai kecanggihan robot ciptaannya.

Dr. Saiful Anuar mengendalikan robot ciptaannya melalui perisian yang diintegrasikan secara khusus
Pasukan penyelidik melakukan persiapan rapi dengan penggunaan kabel sepanjang 200 meter 
Robotik canggih diteliti terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam saluran air untuk pemeriksaan dalaman 

Cabaran dalam penyelidikan dan pembangunan projek ini tidak kurang hebatnya. Dr. Saiful berhadapan dengan pelbagai kekangan termasuk dalam memastikan transmisi data yang stabil apabila berada dalam keadaan air yang mengandungi banyak partikel. Untuk mengatasi masalah ini, sistem komunikasi telah dikemaskan dengan teknik pengukuhan isyarat dan menggunakan perisai khas bagi melindungi isyarat daripada terganggu.

Pada masa yang sama, aspek reka bentuk fizikal robot turut mengalami perubahan yang berulang-kali bagi memastikan ia mampu bergerak dengan mudah dalam ruang yang sempit dan sesuai dengan pelbagai saiz paip. Tambahan pula, pandemik COVID-19 yang melanda pada akhir 2019 memberikan sedikit kesukaran kepada beliau kerana banyak komponen utama sukar diperoleh akibat sekatan import dan eksport. Ini memaksa beliau untuk menunggu beberapa bulan bagi mendapatkan komponen yang diperlukan. Namun, dengan ketabahan dan komitmen yang tinggi, ujian pertama robot ini akhirnya berjaya dilaksanakan pada tahun 2021.

“Untuk perancangan masa hadapan, saya bercadang untuk menyepadukan kecerdasan buatan (AI) dalam analisis data pemeriksaan yang dihasilkan oleh robot ini. Integrasi AI bakal meningkatkan lagi keupayaan analitik robot tersebut yang berpotensi memberikan pandangan yang lebih jelas dan tepat dalam pemantauan prestasi paip air. Dengan penyelidikan lanjut dalam bidang ini, saya juga berhasrat untuk mengintegrasikan teknologi pemeriksaan robotik ini dalam pelbagai infrastruktur lain seperti paip minyak dan juga saluran bawah tanah,” kata Dr. Saiful sambil berkongsi visinya untuk masa depan ciptaannya.

Secara keseluruhannya, kejayaan Dr. Saiful dalam projek ini bukan sahaja menunjukkan kemampuan teknologi dalam menyelesaikan isu-isu besar dalam sektor industri tetapi turut menjadi inspirasi kepada golongan muda agar terus berkarya dan berinovasi. Inovasi dalam teknologi pemeriksaan paip berasaskan robotik ini bukan sahaja merupakan satu pencapaian peribadi, tetapi juga simbol komitmen terhadap kemajuan negara dalam era digital yang penuh dengan cabaran. Kejayaan ini turut mencerminkan slogan UTM iaitu “Menginovasi Penyelesaian” dengan mengutamakan inovasi yang berteraskan kepada penyelesaian masalah, di samping membawa perubahan besar dalam industri serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara amnya.

Explore More