JOHOR BAHRU, 21 Nov. – Mesra dipanggil Pak Anthony, pemilik nama sebenar Ir. Antonius Setiawan, pesara berusia 68 tahun dari Indonesia, berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam tempoh hanya tiga setengah tahun, membuktikan bahawa semangat dan keinginan untuk belajar tidak dibatasi usia. Perjalanan hidupnya, dari masa kecil hingga ke pencapaian tertinggi ini, penuh dengan pengorbanan, ketekunan, dan keberanian menghadapi cabaran.
Dilahirkan pada 19 Julai 1956 di Solo, Jawa Tengah, Indonesia, pemilik nama asal Tan Tjong Hauw, sebelum menukar nama kepada Antonius Setiawan pada usia 10 tahun, selari dengan dasar asimilasi masyarakat Tionghoa pada zaman Presiden Soeharto.
Sejak kecil, beliau menunjukkan tanggungjawab luar biasa dengan membantu menguruskan kilang makaroni milik keluarga, walaupun usianya masih muda.
Minatnya terhadap kejuruteraan bermula di Universitas Atma Jaya, Yogyakarta, tempat beliau memperoleh ijazah dalam Kejuruteraan Awam. Kerjayanya berkembang di syarikat pembinaan Belanda selama 20 tahun, di mana beliau memainkan peranan penting dalam projek-projek besar seperti pembinaan pelabuhan minyak, dan pembinaan perlindungan pantai untuk melindungi tangki minyak yang besar.
Beliau telah pun bersara pada Januari 2024 yang lalu setelah menghabiskan masa selama 23 tahun berkhidmat sebagai Pengarah Urusan di sebuah syarikat Jerman. Pada tahun 2020 beliau memutuskan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di UTM, dengan dorongan utamanya dari Profesor Masyhur Irsyam dari Institut Teknologi Bandung (ITB).
Walaupun berusia lebih enam dekad, beliau ingin melengkapkan pengalaman praktikalnya dengan pengetahuan teori dan reka bentuk yang mendalam. Dengan bimbingan Profesor Madya Dr. Samira Albati Kamaruddin serta sokongan Prof. Ramli Nazir dan Dr. Idrus Muhamad Alatas, beliau berjaya menyempurnakan kajian penyelidikan yang signifikan dalam bidang kejuruteraan.
“Pada saya, jarak antara Indonesia ke Malaysia adalah lebih dekat, jika dibanding jika saya perlu ke Australia dan sebagainya untuk menyambung pengajian. Malah, masa juga lebih singkat dan lebih mudah untuk bertemu para penyelia saya di sini,” ujar Pak Anthony.
Mengimbangi tugas sebagai Pengarah Urusan di Syarikat Jerman yang kemudian dilanjutkan sebagai konsultan di Jakarta dan pengajian PhD adalah cabaran besar. Beliau kerap berulang-alik dari Indonesia ke Malaysia sambil menjalankan penyelidikan di negara asalnya.
“Kadang-kadang, saya bertanya kepada diri sendiri mengapa perlu melalui semua ini. Tetapi setiap kali saya melihat sokongan keluarga dan kepercayaan penyelia, saya tahu ini adalah keputusan yang tepat,” ujarnya.
Beliau juga menghadapi cabaran teknikal, termasuk penyuntingan tesis dan pengurusan masa. Namun, dengan ketabahan yang luar biasa, beliau berjaya mengatasi semua halangan. Pada semester ketujuh, beliau akhirnya menamatkan PhD, menandakan satu pencapaian besar dalam hidupnya.
“Pada saya tidak selamanya hidup kita akan terikat dengan dunia pekerjaan. Dunia ini luas. Banyak lagi yang boleh diteroka,” ujarnya.
Setelah memiliki PhD, Pak Anthony berimpian untuk membuka perniagaan sendiri menggunakan kepakaran dan ilmu yang dimiliki.Meskipun mencapai usia persaraan, Pak Anthony masih menyumbang bakti kepada syarikat lamanya sebagai konsultan pengurusan dan pada masa yang sama menjadi Felo Korporat dan kemudian dilantik sebagai Felo Antarabangsa, di Pusat Geokejuruteraan Tropika (Geotropik) UTM.