Disember 3, 2024

Search
Close this search box.
image

Hakimah – hebat dalam pelajaran, sosok cemerlang dalam kepimpinan, pertanian mampan

JOHOR BAHRU, 21 Nov. – Terkenal aktif dalam dunia kepimpinan pelajar dan pertanian lestari bukan menjadi penghalang buat Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman, 23 tahun untuk bergraduasi dengan cemerlang dalam Majlis Konvokesyen ke-68 (MK 68) Universiti Teknologi Malaysia.

Beliau berjaya mencatatkan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.85 sepanjang tempoh empat tahun pengajian dalam Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Kimia).

“Saya bergiat aktif dalam Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tun Hussein Onn sebagai Biro Media & Penerangan dan Naib Pengerusi (Perhubungan), masing-masing pada sesi 2021/2022 dan 2022/2023,” ketika ditanya mengenai penglibatan beliau dalam kepimpinan pelajar.

“Antara kenangan manis saya sebagai JKM adalah jalinan kerjasama yang erat dan rapat bersama Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) UTM. Malah, sehingga kini saya masih lagi terlibat bersama OSCA UTM sebagai sebahagian daripada Jawatankuasa Kecil Jemputan, Protokol & Komunikasi Korporat untuk liputan berita-berita graduan unik sepanjang konvokesyen, bermula dari Majlis Konvokesyen ke-65 (MK65) sehingga kini, di Majlis Konvokesyen ke-68 (MK68).

Team
Hakimah turut membarisi pasukan penulis kisah graduan unik MK68 kali ini.
image ()
Bergambar bersama Datuk Naib Canselor, penyelia dan krew Media di hari graduasi

“Dalam masa yang sama, saya juga terlibat sebagai Ketua Projek penternakan arnab “Sustainable Rabbit Farming”, satu inisiatif projek pertanian lestari Makmal Hidup KTHO & Fakulti Sains, di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim. Kegiatan penternakan arnab ini juga diperluas dengan penganjuran program di SMK Mutiara Rini 2 serta turut mendapat tajaan dari JCorp. Program ini sejajar dengan matlamat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” ujar beliau ketika ditemu bual.

Kim
Hakimah terlibat dalam projek penternakan arnab.

“Projek penternakan arnab ini memfokuskan beberapa elemen penting seperti penggunaan sumber protein alternatif yang mampan, iaitu ketum ayam (madre de agua). Penggunaan protein alternatif ini dilihat mampu mengurangkan kebergantungan terhadap sumber makanan seperti dedak dan pelet khas.

“Projek ini juga menjadi satu platform untuk meneroka potensi tinja arnab sebagai sebahagian daripada formulasi baja kompos organik. Ini kerana tinja arnab mengandungi kandungan nitrogen dan potassium yang tinggi, sekali gus melengkapkan nutrien untuk pembajaan tanaman.

Sepanjang empat tahun bergelar mahasiswa dalam bidang Pendidikan, Hakimah kerap menganjurkan dan menyertai program berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) di sekolah. Baru-baru ini, beliau dijemput bersama pensyarah penasihat untuk menyampaikan perkongsian mengenai bebola lumpur (mudball) di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Penglibatan aktif dalam program STEM ini menjadikannya calon guru yang berpotensi cemerlang dalam mendidik generasi muda ke arah literasi sains.

Kim
Hakimah aktif memberikan perkongsian STEM di sekolah-sekolah.

Sepanjang pengajian, Hakimah berjaya meraih beberapa pencapaian seperti Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik FSSH, Anugerah Pilihan Industri dan Pembentang Terbaik dalam International Undergraduate Research Conference 2024 (IURC 2024), Anugerah Emas dalam18th School of Education Innovation Day UTM, serta Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Pemimpin Program Terbaik peringkat Kolej Tun Hussein Onn.

Kim
Hakimah turut menerima Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik FSSH.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kedua-dua ibu bapa saya, Ibnuzaman Sudin dan Zaiton Pajeri, serta datuk dan nenek, Hj. Sudin Adnan dan Hjh. Indah Mohd Tahir, atas sokongan dan doa yang tidak pernah putus. Jutaan terima kasih juga kepada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan dorongan. Tidak ketinggalan, penghargaan tulus ikhlas kepada penyelia dan penasihat akademik saya, Prof. Johari Surif dan Prof. Madya Dr. Nor Hasniza Ibrahim, atas bimbingan dan tunjuk ajar yang telah membawa saya ke tahap ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga saya rakamkan kepada Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) kerana telah menukarkan pinjaman pelajaran menjadi biasiswa penuh, sekali gus merealisasikan hasrat saya bergraduasi dengan cemerlang,” kata Hakimah di akhir temu bual.

Explore More