Disember 19, 2024

FESKO

FESKO 68 erat hubungan universiti-komuniti, tonjol keunikan produk ekopelancongan UTM

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Festival Konvokesyen kali ke-68 (FESKO 68) telah dibuka secara rasmi bertempat di Dataran UTM, Johor Bahru. Festival tahunan yang dinanti-nantikan ini berlangsung dari 15 hingga 27 November 2024, bersempena Majlis Konvokesyen ke-68 UTM.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan FESKO sebagai acara tradisi yang sememangnya sinonim dalam takwim universiti.

FESKO
Datuk Ahmad Fauzi ketika berucap dalam Majlis Perasmian FESKO 68.

Beliau mengajak masyarakat sekitar untuk hadir dan memeriahkan festival ini, sekaligus mengukuhkan hubungan universiti dengan komuniti setempat.

“FESKO 68 bukan sekadar meraikan Majlis Konvokesyen untuk graduan, tetapi ia juga simbol jalinan erat antara universiti dan masyarakat. Ia mencerminkan nilai inklusif dan semangat keterbukaan UTM dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti,” kata beliau.

FESKO Sebagai Platform Integrasi USR dan Inovasi Teknologi

Pro-Canselor UTM, Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, yang merasmikan FESKO 68, menekankan peranan festival ini sebagai medium untuk melibatkan komuniti dalam pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial universiti (USR).

FESKO
Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali ketika berucap merasmikan FESKO 68.

“FESKO menjadi landasan bagi UTM untuk berkongsi kepakaran dan teknologi terkini, termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui sesi perkongsian interaktif. Di samping itu, program pemerkasaan STEM yang dianjurkan bertujuan memupuk minat dalam kalangan pelajar sekolah terhadap bidang sains dan teknologi,” ujar beliau.

Hadir bersama dalam Majlis Perasmian Pembukaan FESKO 68 ialah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias dan Pendaftar, Pn. Hjh. Nor Azizah Ismail.

Kelainan FESKO 68: Ekopelancongan dalam Kampus

Menariknya, FESKO 68 memperkenalkan elemen ekopelancongan melalui pelbagai aktiviti unik yang menonjolkan khazanah alam semula jadi di dalam kampus UTM.

Antaranya termasuk GeoTrails Tour, Pertandingan Geocaching, GeoTrails Running, serta program Star Gazing di Balai Cerap UTM. Aktiviti ini bertujuan memperkaya pengalaman pengunjung dengan pengetahuan geografi dan astronomi dalam suasana kampus yang mempesonakan.

FESKO 68 dijangka menarik ribuan pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya, menawarkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran inovasi, bazar, persembahan kebudayaan, dan acara sukan.

FESKO
Antara persembahan kebudayaan yang ditampilkan dalam Majlis Perasmian Pembukaan FESKO 68.

UTM mengalu-alukan semua lapisan masyarakat untuk hadir dan memeriahkan FESKO 68, dalam usaha mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah antara universiti dan komuniti, seiring dengan misi Universiti dalam mensejahtera kehidupan menerusi ilmu dan inovasi teknologi.

Explore More