Disember 19, 2024

Featured Image NewsHub ()

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Istiadat Perisytiharan Pro-Canselor dan Majlis Konvokesyen UTM ke-68 (MK68) menyaksikan dua mantan Naib Canselor UTM menerima pengiktirafan tertinggi dalam kelas tersendiri. Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, mantan Naib Canselor ke-4 diisytiharkan sebagai Pro-Canselor UTM baharu pada Sesi 1 MK68 di sini hari ini.

Dalam sesi yang sama Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, mantan Naib Canselor ke-6 UTM turut menerima gelaran Profesor Emeritus bersama Ir. Mohamad Afifi Abdul Mukti, mantan Profesor dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal di Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM Johor Bahru.

Tan Sri Datuk Ir. Dr. Mohd Zulkifli langkah sebagai teraju UTM bermula 2001 hingga 2008. Sepanjang memimpin institusi ini banyak inisiatif penting dilakar termasuklah penubuhan UTMSPACE dan pengantarabangsaan universiti, yang menambah baik daya saing UTM di peringkat global.

Sepanjang perkhidmatannya, Tan Sri Datuk Ir. Dr. Mohd Zulkifli telah memainkan peranan utama dalam pengembangan akademik dan penyelidikan di UTM selain mempengerusikan pelbagai institut dan program. Beliau turut mengetuai pasukan petugas bagi Pusat Teknologi Maklumat Perniagaan (BATC) juga bertanggungjawab menyediakan kertas kerja bagi penubuhan Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan di UTM pada era kepimpinannya. Di samping itu, beliau turut memberi perhatian besar terhadap pembangunan pelajar melalui aktiviti kokurikulum dan kepimpinan terutamanya menerusi PALAPES sehingga beliau dilantik sebagai Komandan berpangkat Kolonel Kehormat.

Tan Sri Datuk Ir. Dr. Mohd Zulkifli terus menyumbang kepakaran dalam pengurusan dan kepimpinan meskipun telah bersara pada 2008, termasuklah menjadi Profesor Kanan di Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) yang mengajar mata pelajaran berkaitan strategi dan pengurusan projek. Gaya pengajarannya yang unik, menekankan kajian kes dan simulasi yang menggabungkan teori dan praktikal. Tan Sri percaya pelajar dapat belajar dalam keadaan terbaik apabila diberikan ruang untuk melontar pendapat dan menyampaikan pandangan mereka. Menekankan prinsip After Action Review (AAR), beliau mendidik pelajar untuk menyelesaikan masalah terlebih dahulu dengan cara tersendiri dan menganalisis cara berkenaan yang menggalakkan pembelajaran aktif dan kritikal.

Sementara itu, Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar, seorang tokoh akademik dan pemimpin yang disegani, telah memberi sumbangan besar kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sepanjang hampir 39 tahun perkhidmatannya. Anak kelahiran Taiping, Perak, beliau memulakan kerjaya di UTM sebagai Penolong Pensyarah dan menimba pengalaman dalam pelbagai bidang pentadbiran akademik, bermula sebagai Ketua Makmal di Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA). Di sini, beliau banyak mendapat ilmu kepimpinan daripada tokoh-tokoh akademik dan melahirkan pemimpin-pemimpin negara yang berkaliber.

Pada tahun 2008, Dr. Wahid diberi amanah mengetuai Pejabat Harta Bina (PHB), di mana beliau berjaya memimpin pasukan projek dalam pembangunan bernilai RM1 bilion, dengan penjimatan kos sebanyak 10%. Beliau juga terlibat dalam perancangan projek UTM Residensi di UTMKL yang bernilai RM180 juta. Kejayaan ini membuktikan kemahiran beliau dalam pengurusan kewangan dan pembangunan infrastruktur.

Pada tahun 2011, Dr. Wahid dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) sebelum dilantik sebagai Naib Canselor pada tahun 2013. Di bawah kepimpinan beliau, UTM diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan dan berjaya menghadapi cabaran kewangan dengan sokongan padu daripada warga UTM. Kejayaan beliau dalam memperkukuh kedudukan UTM sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan dan pendidikan tinggi di Malaysia merupakan pencapaian yang membanggakan.

Di arena antarabangsa, Dr. Wahid memainkan peranan penting sebagai Pengerusi Pengasas Asian Technological University Network (ATU-Net) dan salah seorang pengasas World Technological University Network (WTUN), iaitu jaringan universiti teknologi di seluruh dunia. Beliau juga aktif dalam pelbagai organisasi pendidikan tinggi, termasuk Open University Malaysia dan Majlis Pendidikan Tinggi Negara.

UTM kali ini meraikan seramai 7,499 orang graduan termasuk penerima Hadiah Akademik sempena istiadat Perisytiharan Pro-Canselor & Majlis Konvokesyen UTM ke-68 melibatkan 11 sesi penganugerahan sepanjang enam hari bermula hari ni.

Explore More