Disember 23, 2024

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Ketika kebanyakan orang pada usia 62 tahun memilih untuk bersara dan menikmati kehidupan, Dr. Jalil yang merupakan seorang usahawan dan Pengarah Urusan firma perunding kejuruteraan ini mengambil langkah berani mengejar impian akademiknya.

Beliau melanjutkan pengajian sepenuh masa selama lapan tahun dan memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kejayaannya bukan sahaja pencapaian peribadi tetapi sebagai bukti bahawa umur hanyalah sekadar angka dan bukanlah halangan untuk terus menuntut ilmu, seperti pepatah orang Melayu “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.”

Kajian PhD yang dilaksanakan oleh Dr. Jalil yang berorientasikan kepada pembangunan kaedah yang lebih tepat dalam mengira aliran air banjir. Pengalamannya dalam sektor industri membolehkan beliau menemui kaedah pengiraan yang lebih tepat. 

Beliau secara peribadi berpendapat bahawa perkara utama dalam meraih PhD bukanlah sekadar cepat atau lambat, tetapi adakah hasil kajian tersebut mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Motivasi utama beliau menyambung pengajian adalah untuk berkongsi penemuan penting ini dengan dunia, terutamanya dalam usaha menangani cabaran banjir yang semakin kerap berlaku di Malaysia. Kejadian banjir yang melanda Lembah Klang pada Disember 2021 telah membuktikan betapa pentingnya kaedah pengukuran yang lebih tepat dalam memantau aliran air. 

Banjir sebegini memberi kesan yang besar terhadap komuniti serta ekonomi dan beliau yakin bahawa pendekatan yang lebih tepat dapat membantu memperbaiki perancangan dan mitigasi banjir pada masa hadapan.

Perjalanan Dr. Jalil untuk meraih PhD bukanlah mudah. Beliau perlu mengimbangi jadual harian yang sangat padat sebagai seorang pengarah firma perunding kejuruteraan yang berfokuskan reka bentuk struktur saliran serta penyelesaian masalah banjir. Tambahan lagi, cabaran yang lebih besar muncul apabila negara dilanda pandemik COVID-19. 

Keadaan ini memberi impak besar kepada proses penyelidikan beliau. Namun dengan dedikasi, tekad dan keazaman yang tinggi, semangat beliau untuk terus menuntut ilmu dan mencapai matlamatnya tidak pernah pudar. 

Seiiring dengan kemajuan teknologi, pertemuan secara maya yang yang dijalankan amat membantu Dr. Jalil untuk berhubung dengan penyelia, dan terus mengatasi setiap halangan yang muncul sepanjang perjalanan akademik beliau untuk meraih kejayaan.

Perjalanan meraih kejayaan yang diperoleh pada hari ini, tidak dilalui tanpa cabaran emosi. Dr. Jalil diuji dengan kehilangan individu yang menjadi tulang belakang beliau iaitu Prof. Madya Dr. Norhan bin Abd. Rahman, pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, Jabatan hidraulik dan hidrologi merangkap penyelia utama beliau. 

Dr. Jalil berkongsi kisah inspirari perjalanan Phd beliau semasa ditemu bual media.

“Pemergian Dr. Norhan merupakan tamparan hebat, bagaikan kehilangan sebelah sayap. Beliau bukan sahaja seorang penyelia tetapi juga mentor yang sentiasa memberi dorongan dan bimbingan” ujar Dr. Jalil dengan penuh kesyukuran.

Meskipun kehilangan tersebut meninggalkan parut yang mendalam, Dr. Jalil terus berusaha untuk menamatkan pengajiannya sebagai penghargaan kepada Dr. Norhan atas jasa dan bimbingan yang telah diberikan. ijazah Doktor Falsafah yang berjaya dicapai oleh beliau ini didedikasikan kepada penyelia yang banyak memberikan inspirasi dan tunjuk ajar.

Dr. Jalil Hassan membuktikan bahawa meskipun berdepan dengan cabaran usia, kekangan masa, dan kehilangan penyelia yang dihormati, beliau tetap berjaya mencapai impian dan tujuan hidupnya. Beliau meninggalkan pesan kepada generasi muda, agar terus berusaha menuntut ilmu  seperti yang dikatakan kalam ulama’ “carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad”. 

Beliau juga berharap jurutera yang berpengalaman untuk terus meningkatkan pengetahuan mereka dan melangkah ke peringkat ijazah sarjana atau PhD untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan generasi jurutera yang bakal menjadi pelapis pada masa akan datang.

Explore More