Disember 22, 2024

Team

JOHOR BAHRU, 21 Nov. – Rata-rata mereka merupakan pelajar jurusan sains dan kejuruteraan. Namun, dengan bakat dan minat penulisan yang dimiliki, mereka dipanggil dan diserap untuk bersama-sama Jawatankuasa Kecil Jemputan, Protokol dan Komunikasi Korporat Majlis Konvokesyen ke-68 (MK68) Universiti Teknologi Malaysia dalam melancarkan tugas liputan kisah-kisah graduan unik.

Tugas mereka meliputi temu bual bersama graduan unik, menulis berita kisah graduan tersebut, menyantuni graduan dan keluarga bagi sesi temu bual bersama rakan-rakan media.

“Saya berasa amat bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada jawatankuasa ini. Peluang ini menjadi platform untuk saya menjalinkan hubungan dengan graduan yang telah menjadi alumni UTM. Banyak perkara positif yang boleh dipelajari daripada kisah-kisah mereka,” jelas Tsai Jia Yuh yang julung kali menyertai pasukan penulis berita graduan unik ini.

Team
Barisan penulis berita graduan unik MK68 yang rata-rata dibarisi pelajar jurusan kejuruteraan dan sains.

“Kisah graduan unik ini secara tidak langsung memberikan inspirasi kepada saya untuk lebih cemerlang dalam akademik dan kegiatan kokurikulum. Di samping itu, saya juga belajar mengenai erti pengorbanan, kegigihan dan ketekunan dalam mengejar kecemerlangan dan kejayaan dalam sesuatu bidang,” ujar Nurul Amelyawati.

Dalam MK68 kali ini, pasukan penulis berita graduan dalam kalangan pelajar dibarisi oleh Megat Muhammad Farhan Daniel Megat Suwardi, Muhammad Hazim Azatul Amery, Tsai Jia Yuh dan Nurul Amelyawati Ali Rofiq (Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga); Muhammad Nur Firdaus Osman dan Muhammad Hadi Rosli (Fakulti Kejuruteraan Awam), Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman (Fakulti Sains Pendidikan & Teknologi), Nur Syazana Mohd Refin (Fakulti Sains) serta Muhammad Syamil Mohd Zuhairini (Fakulti Kejuruteraan Mekanikal).

Team
Antara pelajar yang membarisi pasukan penulis graduan unik MK68 kali ini.

Sementara itu, menurut Nur’aina Osman, selaku Ketua Unit Liputan MK68 berkata, “Walaupun pelajar-pelajar ini datang daripada latar belakang sains dan kejuruteraan, rata-rata mereka mempunyai kemahiran penulisan yang amat baik.”

“Secara tidak langsung, MK68 menjadi antara platform terbaik bagi pelajar-pelajar ini untuk menyerlahkan lagi bakat mereka. Di samping itu, mereka juga boleh meningkatkan kemahiran komunikasi menerusi peranan mereka yang memerlukan mereka berhubung, menemu bual dan mendapatkan maklum balas daripada graduan,” tambah Nur’aina yang juga merupakan Pegawai Tadbir di Pejabat Strategi & Hal Ehwal Korporat (OSCA) UTM.

Pasukan penulis berita graduan unik ini turut dibantu oleh Dr. Wan Farah Wani Wan Fakhruddin (Pensyarah Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan) dan Cik Rohaizan Khairul Anuar (Timbalan Pendaftar OSCA) selaku penyunting Bahasa Inggeris, manakala Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Pegawai Tadbir OSCA) berperanan sebagai penyunting Bahasa Melayu.

Dr Wan Farah
Dr. Wan Farah, Felo Editor Unit Berita & Perhubungan OSCA juga terlibat secara langsung menyunting berita graduan unik dalam Bahasa Inggeris.

Sementara itu, Hairusyakirin Shafei dan Muhammad Iskandar Dzolkarnain turut membantu, masing-masing dalam aspek pengurusan media dan fotografi.

Team
Muhammad Iskandar Dzolkarnain sewaktu sesi bergambar bersama graduan unik.

Dalam pada itu, kewujudan pasukan penulis berita graduan unik ini turut menerima sokongan penuh Pengarah OSCA, Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid Mamat dan Ketua Jawatankuasa Kecil Jemputan, Protokol dan Komunikasi Korporat Majlis Konvokesyen ke-68 (MK68), Cik Rohaizan Khairul Anuar.

Team
Pasukan penulis graduan unik MK68 turut mendapat sokongan padu pengurusan tertinggi OSCA.

Penglibatan pelajar sebagai sebahagian daripada pasukan penulis berita graduan unik telah bermula sejak daripada Majlis Konvokesyen ke-65 (MK65). Secara tidak langsung, peranan pelajar diiktiraf sama pentingnya dengan peranan staf, untuk sama-sama terlibat bertugas dalam menjayakan Majlis Konvokesyen UTM.

Explore More