Disember 19, 2024

image

Biasiswa Zamalah Realisasi Kajian Sarang Burung Walet Dr. Lee

JOHOR BAHRU, 16 Nov. – Dr. Lee Chia Hau, graduan PhD dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga mempunyai kisah tersendiri dalam menggapai impian menimba ilmu ke peringkat tertinggi di UTM.

Dr. Lee, yang telah meraih Ijazah Sarjana di UTM pada 2019, pada awalnya tidak berniat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Namun, peluang yang datang melalui biasiswa UTM Zamalah mengubah keputusannya. Beliau memberanikan diri, menyahut cabaran untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Bioproses pada tahun 2020. Keputusan ini ternyata mengubah hidupnya, walaupun pandemik COVID-19 yang melanda seakan-akan menggugat perjalanan akademiknya. Atas kekangan Perintah Kawalan Pergerakan, Lee terpaksa mengadaptasi persekitaran penyelidikan yang baharu dan turut menghadapi tekanan menepati sasaran tamat pengajian.

WhatsApp Image at edb
Dr Lee ketika berada di Malaysia Toray Science Foundation (MTSF) 2020

Penyelidikan Dr. Lee menumpukan kepada pengembangan bioproses dan penulenan peptida bioaktif daripada sarang burung walet. Dengan teknologi yang digunakan, beliau merancang untuk mendapatkan geran kompetitif di peringkat antarabangsa untuk membuktikan teknologi ini boleh digunakan bukan sahaja bagi sarang burung walet tetapi juga dalam penyelidikan tumbuhan. Usahanya turut disokong Geran Penyelidikan Sains & Teknologi daripada Malaysia Toray Science Foundation (MTSF) sebanyak RM15,000 untuk meneroka teknologi mengekstrak peptida antidiabetes daripada daun durian belanda. Pencapaian ini membuka peluang baginya untuk turut menyumbang kepada bidang bioteknologi.

image
Dr. Lee bersama keluarga menempuh momen indah sempena graduasi PhD hari ini

Pada tahun 2022, beliau turut menyertai pertandingan “Three-Minute Thesis” (3MT), di mana beliau berjaya merangkul tempat pertama dengan pembentangan yang memperkenalkan manfaat kesihatan sarang burung walet sebagai produk bioaktif premium. Pengiktirafan ini menjadi titik tolak yang lebih kukuh untuk beliau berbakti dalam bidang ini. Tahun berikutnya, beliau memperoleh pengiktirafan sebagai Teknologis Profesional (Ts.) berdaftar dalam bidang Bioteknologi dan berjaya menerbitkan lebih daripada 20 penerbitan ilmiah.

Pada tahun 2024 pula, Dr. Lee menerima geran CA$12,700 melalui program SEED yang membolehkannya menjalankan kajian bersama seorang profesor di University of Alberta, Kanada. Kajian ini, bertajuk “Purification and Functional Analysis of Novel Immunomodulatory Peptides from Edible Bird’s Nest,” adalah peluang emas untuk beliau meningkatkan kemahiran penyelidikannya di peringkat antarabangsa.

WhatsApp Image at daee
Kumpulan Penyelidikan Dr Lee di Jabatan Agrikultur, Makanan dan Sains Nutrisi di Universiti Alberta

Beliau berkata, “Saya mungkin bukan graduan yang luar biasa, tetapi pengalaman ini mengajar saya bahawa kekuatan untuk berjaya terletak pada keyakinan diri dan keberanian menghadapi cabaran. Saya berharap kisah saya dapat memberi inspirasi kepada graduan lain; percayalah pada diri sendiri, kerana kita mampu melangkaui batasan yang kita sangka.” 

Dengan semangat yang berkobar, Dr. Lee Chia Hau terus membuktikan bahawa usaha dan ketabahan mampu membawa kita ke puncak. Kisahnya menjadi inspirasi buat semua yang hadir, memahat kenangan manis di majlis konvokesyen UTM ke-68.

Explore More