Disember 26, 2024

image

UTM meterai MoU bersama Jabatan Tenaga Atom perkukuh penyelidikan STEM

JOHOR BAHRU, 21 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pejabat Persekitaran, Keselamatan, dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Tenaga Atom bagi menggalakkan perkongsian kepakaran serta mempromosikan kerjasama dalam penyelidikan akademik yang berkaitan keselamatan, sekuriti, dan kawalgunaan tenaga atom serta bidang  lain yang berkenaan.

Majlis penandatanganan MoU disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Timbalan Ketua Pengarah Atom Malaysia, Ts. Ibrahim Muhamad sambil disaksikan oleh Pengarah, Pejabat OSHE UTM, Dr. Mohd Fa’iz Ahmad dan Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), En. Abdullah Daud.

image
Sesi penandatanganan MoU antara UTM dan Jabatan Tenaga Atom

Kerjasama antara UTM dan Jabatan Tenaga Atom ini sebenarnya telah bermula sejak tahun 2017, dan kini diperluas dengan tumpuan terhadap pelbagai program jangkauan bersama, khususnya dalam bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) untuk komuniti. Melalui usaha ini, projek-projek penyelidikan berimpak tinggi yang membabitkan pertukaran pengetahuan dan penerbitan hasil penyelidikan antara kedua-dua institusi juga akan diperkukuh.

Menurut Prof. Dr. Mohd Shafry, kerjasama yang akan dijalankan untuk tempoh 5 tahun ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang usaha sama serta perkongsian kepakaran dalam bidang yang diceburi seperti pelaksanaan program STEM kepada masyarakat, memudah cara penerimaan kakitangan untuk menyambung pengajian sarjana muda atau pascasiswazah, penyelidikan dan penerbitan bersama, serta perkongsian kepakaran dalam bidang berkaitan.

“Kerjasama ini secara signifikannya dapat meningkatkan kepakaran staf, yang seterusnya akan disebarkan kepada pelajar di samping melebarkan jaringan kerjasama di peringkat global,” ujar beliau.

image
Prof. Dr. Mohd Shafry menyatakan hasrat agar kepakaran terus ditingkatkan sejajar dengan keperluan negara di masa hadapan

Pemeteraian MoU ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan MOSTI untuk melahirkan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang STEM. Selain itu, ia juga menyokong pelaksanaan dasar-dasar kerajaan seperti Dasar Sains, Teknologi, dan Inovasi Negara (DSTIN 2021−2030), yang bertujuan memperkukuh pembangunan ekonomi negara melalui pembudayaan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI).

Sebagai salah satu universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia, UTM terus komited dalam meneroka kerjasama yang memacu pendidikan dan penyelidikan, khususnya dalam bidang berkaitan tenaga atom bagi manfaat masyarakat dan negara.

Turut hadir dalam majlis ini, Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Prof. Ir. Dr. Rahmat Mohsin; Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir; serta pegawai-pegawai kanan dan delegasi dari Jabatan Tenaga Atom.

image
Bersama pegawai kanan dan delegasi Jabatan Tenaga Atom

Explore More