Disember 18, 2024

IMG

UTM anjur Program EcoKompos bagi memperkasa komuniti dalam pengurusan sisa

TAMPOI, 12 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi mengambil langkah proaktif dalam mempromosikan kelestarian alam melalui program EcoKompos Komuniti yang dianjurkan oleh Kelab Siswa Aktif (KESIA), Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), bertempat di Kebun Komuniti, Jalan Langsat, Kampung Pasir Tampoi. Program ini bertujuan untuk mendedahkan kaedah pengomposan kepada masyarakat setempat dengan harapan agar dapat memperkasakan mereka dalam menguruskan sisa dapur secara bijak dan mesra alam.

Program ini melibatkan 26 orang komuniti luar dan disampaikan oleh pensyarah kanan di Jabatan Biosains, Fakulti Sains merangkap penasihat KESIA, Dr. Mira Panadi. Melalui EcoKompos Komuniti, peserta diberi peluang mempelajari serta mengamalkan teknik pengomposan di rumah masing-masing. Dengan penyertaan program ini, masyarakat setempat memperoleh pengetahuan dan kemahiran untuk menguruskan sisa organik secara praktikal dan efektif.

IMG
Peserta-peserta menyediakan planter tanaman

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa organik dan manfaat pengomposan. Di samping itu, program ini berperanan mempromosikan amalan pengomposan yang efektif dan mesra alam dalam kalangan komuniti. Melalui inisiatif ini, sistem sokongan akan diwujudkan antara ahli jawatankuasa KESIA, pelajar UTM, dan komuniti setempat bagi membina kerjasama dalam menjaga kelestarian alam sekitar.

IMG
Peserta-peserta bersama kompos yang telah dihasilkan

Antara aktiviti utama program ini adalah sesi pendidikan pengomposan, di mana peserta diajar menghasilkan kompos menggunakan sisa dapur yang mudah diperoleh di rumah. Sesi demonstrasi praktikal turut diadakan untuk membimbing peserta dalam setiap langkah proses pengomposan. Aktiviti ini membantu mereka memahami teori dan aplikasi praktikal pengomposan dalam kehidupan harian. Program ini juga melibatkan sesi penyerahan sijil kepada peserta komuniti yang terlibat. Sijil tersebut telah disampaikan oleh Ketua Kampung Pasir, Zaini Sinong, diiringi oleh Naib Pengerusi Persatuan Solidariti Rangkaian Penduduk Johor Bahru, Zolkifli Esa dan penasihat KESIA, Dr. Mira Panadi.

IMG ()
Sesi serahan sijil kepada para peserta yang terlibat

Secara keseluruhannya, Program EcoKompos Komuniti bukan sahaja bertujuan mengurangkan sisa, tetapi juga membina masyarakat yang lebih prihatin terhadap alam sekitar. Program ini menawarkan peluang pembelajaran berharga kepada komuniti, selain memupuk kesedaran mendalam mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam demi masa depan yang lebih hijau dan mampan.

Oleh Najirah Johan

Explore More