Disember 22, 2024

AI untuk Pentadbir

Teknologi AI pacu transformasi pentadbiran mukim dan kampung

JOHOR BAHRU, 24 Okt – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) semakin berkembang pesat dalam urusan seharian manusia dan ia turut mencakupi aspek pentadbiran. Teknologi AI menerobos aspek pentadbiran dengan membawa transformasi baru agar tugas dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, tepat dan berkesan. Ia juga mengubah landskap pentadbiran dengan membantu pentadbir menguruskan data dalam jumlah yang besar sehingga dapat dianalisis dengan mudah untuk proses membuat keputusan.

AI Dr Haider
Dr. Haider memberikan kefahaman mengenai AI kepada para peserta

Sehubungan itu, Kumpulan Penyelidikan Inovasi Sistem Maklumat dan Perkhidmatan (ISSIRG) daripada Jabatan Sistem Maklumat, Fakulti Pengurusan telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Program AI untuk Pentadbir. Program ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ab Razak Che Hussin dan melibatkan para penceramah seperti Prof. Madya Dr. Noorminshah A. Iahad dan Dr. Mohamad Haider Abu Yazid. Turut terlibat adalah barisan pentadbir dan pensyarah seperti Prof. Madya Dr. Mahadi Bahari, Ts. Dr. Suraya Miskon, Dr. Norasnita Ahmad, Dr. Nazmona Mat Ali, Dr. Syed Noris Hikmi dan Sariati Azman.

Program yang mendapat perhatian ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar. Program yang dilangsungkan melibatkan penghulu-penghulu Mukim dan ketua-ketua kampung bagi kawasan ADUN Kota Iskandar. Program ini turut mendapat kerjasama daripada CelcomDigi dijalankan bertempat di NADI Desa Paya Mengkuang.

AI Datuk Pandak Ahmad
YB Datuk Pandak Ahmad, ADUN Kota Iskandar merasmikan Program AI untuk Pentadbiran
AI Peserta
Peserta gigih mempelajari kegunaan AI untuk pentadbiran

Program yang bermanfaat ini penuh dengan pengisian-pengisian yang bermakna untuk membantu penghulu mukim dan ketua kampung dalam menjalankan tugas mereka. Mereka telah didedahkan dengan kefahaman mengenai AI dan potensi penggunaannya. Mereka juga telah mendapat latihan praktik tentang cara mengaplikasikan AI serta bagaimana untuk menggunakan aplikasi Canva bagi tugas seharian.

Natijahnya, program ini telah memberi banyak kebaikan dan menjadi wadah perkongsian ilmu antara ISSIRG bersama komuniti. Program ini dilihat perlu diteruskan lagi pada masa akan datang kerana AI adalah teknologi terkini yang tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam bidang masa depan pentadbiran. Semoga pengunaan AI yang betul dapat menjadi pemangkin untuk tadbir urus berteraskan teknologi yang mampan dan lestari.

Explore More