Disember 4, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image TeddyTherapy

Dalam dunia yang semakin rancak dengan kemajuan teknologi, bidang perubatan dan rehabilitasi turut mengalami gelombang perubahan khususnya dalam penciptaan dan inovasi bagi memenuhi keperluan masyarakat kini. Melihat akan peningkatan keperluan alat bantu terapi dalam bidang ini, penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta TeddyTherapy, terapi keseimbangan berbantukan robot yang direka khas untuk kanak-kanak autisme.

Produk inovasi yang meraih anugerah emas di 26th Industrial Art & Technology Exhibition (INATEX) 2024 ini telah membuktikan kepentingan dan keunikan sumbangannya dalam terapi rehabilitasi bagi kanak-kanak dalam spektrum autisme. Ia bukan sahaja memberikan harapan baharu kepada kanak-kanak dalam kalangan spektrum ini, tetapi juga memudahkan tugas ahli terapi dalam memberikan terapi yang lebih efektif dan efisien.

Penciptaan TeddyTherapy merupakan inovasi terkini Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Asnida Abdul Wahab, Pensyarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM bersama dengan pasukan penyelidik sebagai inisiatif dalam membantu kanak-kanak autisme melatih kemahiran motor kasar dan koordinasi terutamanya berkaitan keseimbangan tubuh.

DSC
Dr Asnida menyasarkan TeddyTherapy dapat membantu lebih ramai ahli terapi dan penjaga dalam proses rehabilitasi kanak-kanak autisme

Terapi berbantukan robot ini menguna pakai teknik yang biasanya digunakan oleh ahli terapi sewaktu melatih keseimbangan motor kasar kanak-kanak. Contohnya, alat ini akan menunjukkan pergerakan seperti mengangkat tangan atau kaki dengan betul, yang kemudiannya kanak-kanak perlu mengikuti pergerakan berkenaan. Dengan mengintegrasi teknologi terkini ke dalam pembangunan alat bantu ini, TeddyTherapy juga mampu merakam setiap pergerakan kanak-kanak dan menghantar maklum balas segera kepada ahli terapi dalam bentuk laporan prestasi menerusi aplikasi dan data yang telah disetkan.

DSC
Prototaip TeddyTherapy sewaktu fasa awal pembangunannya

Dr. Asnida berkata, “Dengan menggunakan algoritma khusus yang direka untuk alat ini, TeddyTherapy mampu mengesan setiap pergerakan dan menghantar laporan prestasi kanak-kanak ini secara automatik. Ini memudahkan ahli terapi atau penjaga dalam memantau perkembangan mereka”.

TeddyTherapy juga menawarkan beberapa tahap latihan yang sesuai dengan kemampuan kanak-kanak, termasuk modul permulaan bagi mereka yang baru memulakan terapi dan modul lanjutan untuk kanak-kanak yang telah menunjukkan kemajuan,” ujarnya.

TeddyTherapy beri nafas baharu

TeddyTherapy, atau lebih dikenali sebagai Robot-Assisted Balancing Training, mempunyai pelbagai ciri unik yang membezakannya daripada kaedah terapi tradisional. Salah satu keistimewaannya adalah penggunaan teknologi canggih kecerdasan buatan (AI) dan kamera bersepadu yang dapat menilai dan merakam prestasi kanak-kanak secara langsung semasa sesi latihan dijalankan. Melalui teknologi ini, setiap pergerakan kanak-kanak dipantau dan dinilai secara automatik. Ini bukan sahaja membantu memastikan kanak-kanak mengikuti latihan dengan betul berdasarkan modul yang telah ditetapkan, tetapi juga memudahkan ahli terapi atau penjaga dalam merancang program rehabilitasi yang lebih bersesuaian untuk suatu jangkamasa tertentu berdasarkan prestasi yang direkodkan.

Dr. Asnida yang juga ketua penyelidik projek ini berkata, “Produk ini bukan sahaja membantu kanak-kanak, tetapi turut meringankan beban tenaga ahli terapi yang sering kali terlalu penat selepas sesi manual yang panjang. Dengan bantuan TeddyTherapy, kita boleh tingkatkan bilangan kanak-kanak yang boleh menjalani terapi dalam sehari. Selain itu, ciri unik alat ini yang berbentuk mainan dan mesra kanak-kanak juga mampu membantu meningkat minat meraka dalam menjalani terapi harian.”

“Inovasi ini bukan sahaja efisien dalam melatih kanak-kanak, bahkan dapat menjadi alat bantu kepada ahli terapi baharu yang sedang dalam fasa latihan untuk mengendalikan sesi rehabilitasi,” tambahnya.

Dr Asnida
Dr Asnida (dua dari kiri) bersama pasukannya yang membangunkan inovasi ini sehingga meraih pengiktirafan menerusi pingat emas sewaktu INATEX 2024

TeddyTherapy dicipta sebagai respons kepada cabaran yang dihadapi oleh ahli terapi di pusat terapi dalam memberikan latihan keseimbangan secara manual kepada kanak-kanak autisme. Sering kali, latihan ini memerlukan banyak tenaga dan masa, selain bilangan kanak-kanak yang memerlukan terapi terus meningkat setiap hari. TeddyTherapy bukan sahaja bertujuan untuk mengatasi masalah ini, tetapi juga memberikan peluang kepada lebih ramai kanak-kanak untuk mendapatkan intervensi awal yang berkualiti.

TeddyTherapy kini berada dalam fasa pembangunan bagi tujuan pengkomersialan. Walaupun belum dipasarkan secara meluas, Dr. Asnida dan kumpulan penyelidikannya sedang giat memperhalusi dan menguji keberkesanan produk ini di beberapa pusat pembelajaran khas. TeddyTherapy dijangka akan ditawarkan pada harga mampu milik berbanding produk terapi sejenis yang berada di pasaran antarabangsa.

                           

Explore More