Disember 22, 2024

Program Penanaman Pokok Herba pupuk kelestarian di Kampung Pasir

TAMPOI, 19 Okt – Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) melalui Kelab Siswa Aktif (KESIA) berjaya menganjurkan Program Penanaman Pokok Hiasan dan Herba, satu inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar. Program ini berlangsung di Kebun Komuniti Kampung Pasir, Tampoi, dengan kerjasama erat bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Seramai 40 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan 22 penduduk Kampung Pasir telah menyertai program ini, yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Zon Tampoi MBJB, Ahmad Al Mubarak Mohamed Kunyi. Turut hadir ialah Dr. Mira Panadi, Pensyarah Jabatan Biosains, Fakulti Sains UTM, merangkap felow KTHO yang juga merupakan penasihat KESIA.

Majlis Perasmian Program oleh Encik Ahmad Al Mubarak Bin Mohamed Kunyi, Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru.
Majlis Perasmian Program oleh Ahmad Al Mubarak Mohamed Kunyi, Ahli Majlis MBJB

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pendedahan kepada para peserta tentang teknik-teknik penanaman yang betul terutamanya kepada golongan muda supaya dapat meneruskan kelestarian dalam komuniti mereka dalam jangka masa yang panjang. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan alam sekitar, memberi kesedaran mengenai isu-isu perubahan iklim, serta memberikan pengetahuan kepada komuniti dengan kemahiran praktikal untuk menghijaukan kawasan sekitar yang boleh diterapkan di kawasan perumahan mereka.

“Usaha kecil seperti ini mampu memberi impak yang besar terhadap pemeliharaan alam sekitar, sekali gus menjadi pemangkin kepada perubahan gaya hidup lebih lestari,” ujar Dr. Mira selaku penasihat program ini.

Para peserta mempraktikkan teori yang telah dipelajari daripada pihak MBJB
Para peserta mempraktikkan teori yang telah dipelajari daripada pihak MBJB

Antara aktiviti utama sepanjang program ini berlangsung, adalah seperti sesi taklimat dan demonstrasi berkaitan teknik penanaman pokok herba oleh wakil MBJB. Para peserta diajar dengan pelbagai ilmu pengetahuan seperti teknik penjagaan tanaman dan cara untuk mengenali perbezaan spesies herba. Para peserta juga berpeluang untuk mempraktikkan cara penanaman yang telah dipelajari secara langsung. Aktiviti ini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat memupuk semangat kerjasama antara pelajar UTM dan komuniti setempat. Program ini diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada komuniti Kampung Pasir dan MBJB sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu mereka.

Peserta-peserta dan komuniti bersama pokok herba yang telah ditanam
Peserta-peserta dan komuniti bersama pokok herba yang telah ditanam

Sambutan hangat daripada pelajar, komuniti Kampung Pasir, dan MBJB mencerminkan kejayaan program ini dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, pihak berkuasa tempatan, dan masyarakat setempat. Penganjuran program seperti ini diharap dapat mencetuskan inspirasi untuk usaha serupa di kawasan lain.

Penyampaian sijil penghargaan kepada sahabat biro komuniti Kampung Pasir, Pn Hawa
Penyampaian sijil penghargaan kepada sahabat biro komuniti Kampung Pasir, Pn Hawa

Program ini turut membuka ruang untuk sinergi berterusan antara KESIA, UTM, MBJB, dan komuniti setempat melalui perancangan aktiviti yang berpotensi untuk dijalankan pada masa akan datang dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran pemuliharaan alam sekitar di kawasan lain sekitar Johor Bahru.

Kesimpulannya, Program Penanaman Pokok Hiasan dan Herba ini bukan hanya sekadar aktiviti penanaman, tetapi ia juga adalah satu langkah penting ke arah memupuk kesedaran komuniti tentang kelestarian alam sekitar. Dengan gabungan ilmu, semangat kerjasama, dan sokongan padu dari semua pihak, ia telah membuktikan bahawa perubahan kecil mampu mencetuskan impak yang lebih besar.

Melalui program ini, masyarakat bukan hanya belajar untuk menanam pokok, tetapi juga menanam harapan untuk masa depan yang lebih hijau, lestari, dan harmoni. Komitmen yang ditunjukkan oleh KESIA KTHO, MBJB, dan komuniti Kampung Pasir ini diharapkan mampu memberi inspirasi untuk usaha-usaha berterusan demi generasi akan datang.

Oleh Ee Meng Han (Penulis) dan Nurul Amelyawati Ali Rofiq (Penyunting)

Explore More