Disember 19, 2024

Featured Image NewsHub ()

Hari Akademia yang disambut pada setiap 5 Oktober saban tahun, turut merayakan sambutan “World Teacher’s Day” oleh UNESCO. Tahun ini, tema dua sambutan “Transformasi Akademia dengan AI: Masyarakat Madani Berinovasi” dan juga “Valuing Teacher Voices: Towards a New Social Contract for Education” membuktikan peranan ahli akademik di universiti dan para pendidik di sekolah amatlah signifikan dalam menyediakan bakat dan generasi ilmuwan yang mampu memakmurkan masyarakat dan negara.

Menyingkap pertama kalinya negara menyambut Hari Akademia adalah di Universiti Malaya, universiti tertua di negara ini pada 5 Oktober 2019 yang menyaksikan Menteri Pendidikan, Dr Mazslee Malik menyempurnakan perasmiannya.

Pada ketika itu, UTM turut sama meraikan sambutan Hari Akademia dengan penanaman Pokok Meranti yang menjadi simbolik kepada semua warga akademik yang bertindak sebagai pokok memayungi kehidupan yang lain, sumber sandaran dan tempat berteduh. Ini merupakan satu daripada perjuangan semua ahli akademik di negara ini melalui Persatuan Akademik Universiti masing-masing yang dipayungi oleh Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC). Semua ahlinya sedar bahawa sambutan ini bukan sekadar majlis dan upacara bahkan perlu dimaknai dengan sebaiknya dan wajar diteruskan oleh generasi akan datang.

Menoktahkan kemiskinan

Takrifan kemiskinan menurut Za‘ba ialah “Miskin pada wang ringgit dan harta benda, miskin pada hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetuaan, miskin pada alat-alat kelengkapan otak dan beberapa sifat-sifat keperangaian yang tinggi dan mulia−jadilah mereka tidak dapat tidak daripada tersangkut dan ketinggalan dalam perjalanan bangsa-bangsa.”

Haron Daud (1995) pula menjelaskan perkara ini dengan lima dimensi kemiskinan oleh Za’ba dan lima penyebab utama kemiskinan orang Melayu secara khusus. Dalam hujahannya yang mengemukakan empat cara mengatasi kemiskinan, salah satunya adalah memberatkan ilmu pengetahuan selain peri pentingnya ahli akademik berhemah tinggi, tulus hati, amanah dan kesungguhan mengejar cita-cita.

Inilah peranan utama ahli akademik di institusi pengajian tinggi untuk menoktah kemiskinan melalui pendidikan kepada anak bangsa. Bukan setakat ilmu dunia meliputi kejuruteraan, sains, undang-undang, perubatan, perniagaan yang perlu diperturunkan sebaliknya ilmu kemanusiaan yang ditunjangi oleh otak dan watak perlu disuburkan. Peranan ahli akademik perlu diperkasa dan diperkukuh agar dapat berfungsi dan ampuh untuk mengubati penyakit kemiskinan kerana mereka bertanggungjawab atas nama ilmu yang mereka punyai dan miliki.

AI sebagai alat pemudahcara

Dengan kecanggihan teknologi dan kecerdasan buatan membuatkan semua teruja untuk meneroka bidang-bidang baharu bagi manfaat umat sejagat. Namun begitu, tidak kurang juga ada di antara kita yang berasa khuatir sekiranya kecanggihan ini akan menggantikan peranan manusia dalam alam perkerjaan. Kerja-kerja yang rutin sedikit demi sedikit digantikan dengan robot-robot canggih dan ini akan menyebabkan manusia tersepit dengan keperluan teknologi dan keperluan wang ringgit untuk kekal releven. Perubahan ini suatu yang tidak dapat dielakkan dan ia akan terus berubah. Namun, perlulah diingat bahawa semua kecanggihan teknologi hanyalah alatan untuk manusia meneruskan hidup di dunia ini. Semua alatan ini perlu dimanfaatkan untuk kebaikan manusia dan bukannya untuk mengganggu mahupun “membunuh” peranan kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Kita sebagai manusia seharusnya lebih arif, inovatif dan kreatif dalam memanfaatkan kecanggihan teknologi yang kini sedang rancak dengan teknologi kecerdasan buatan (AI). Sekali lagi peranan warga akademik amat diperlukan dalam mendewasakan anak bangsa mengendalikan teknologi secara berhikmah dan beretika.

Akhir kata, selamat menyambut Hari Akademia untuk semua warga akademik di institusi pendidikan tinggi walau di mana jua anda berada. Semoga dengan sambutan ini, kemiskinan ilmu pengetahuan dapat dibasmi dan dapatlah kita mewujudkan Masyarakat Madani yang makmur dan dirahmati.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga akademia yang dihargai atas semangat untuk memandaikan anak bangsa!

Explore More