Disember 22, 2024

Picture

Penerbit UTM Press memacu potensi kecerdasan murid di SK Tanah Abang

MERSING, 10 Okt – Penerbit UTM Press dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Universiti (RMC) telah melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Abang, Mersing. Sebahagian besar pelajar sekolah ini terdiri daripada masyarakat Orang Asli yang menjadikannya sebagai satu keunikan dan faktor pemilihan sekolah ini dipilih bagi program CSR. Program ini memfokuskan kepada penerapan Teori Kecerdasan Pelbagai dalam kalangan pelajar sekolah rendah dari Tahun 1 sehingga Tahun 6.

Ketibaan pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disambut mesra oleh pihak sekolah yang diketuai oleh Guru Besar SK Tanah Abang, Tuan Razlan Shahil. Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah Penerbit UTM Press merangkap Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Siti Rahmah Awang. Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa program ini adalah sebahagian daripada inisiatif jangka panjang UTM untuk memindahkan ilmu kepada komuniti, terutamanya melalui modul pembelajaran yang berasaskan Teori Kecerdasan Pelbagai. Beliau berharap program ini akan memberi impak besar dalam membantu pelajar mengenal pasti dan mengembangkan potensi kecerdasan mereka.

Picture
Fasilitator program bersama pelajar dan guru SK Tanah Abang, Mersing

Seterusnya, Guru Besar SK Tanah Abang dalam ucapannya mengucapkan selamat datang serta menzahirkan penghargaan terhadap Penerbit UTM Press dan RMC atas pelaksanaan program ini. Beliau menyatakan bahawa kerjasama dengan institusi seperti UTM sangat penting dalam memperkasa kaedah pendidikan di sekolah luar bandar, sekali gus meningkatkan pencapaian pelajar.

Picture
Ucapan pembukaan program oleh Guru Besar SK Tanah Abang, Tuan Razlan Shahil

Program dimulakan dengan penerangan mengenai Modul Kecerdasan Pelbagai oleh Prof. Madya Dr. Siti Rahmah berdasarkan teori yang diperkenalkan oleh Howard Gardner. Teori ini menyarankan bahawa setiap individu memiliki kecerdasan yang berbeza seperti kecerdasan linguistik, logik-matematik, muzik, visual ruang, kinestetik, interpersonal, intrapersonal, dan naturalistik. Penyampaian bersahaja penceramah menarik minat murid-murid untuk turut melibatkan diri sepanjang sesi perkongsian. Sesi ini juga diikuti dengan aktiviti interaktif, di mana para pelajar berpeluang meneroka kreativiti mereka melalui permainan seperti Jangan Lupa Lirik, Teka Karakter, Radio Rosak, Bowling dan Teka Bunyi Haiwan. Keterujaan dan keceriaan murid-murid jelas tergambar sepanjang permainan secara berkumpulan dilaksanakan.

Kemuncak program adalah penutup majlis oleh Prof. Madya Dr. Siti Rahmah diikuti dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Penerbit UTM Press dengan SK Tanah Abang sebagai tanda simbolik persetujuan persefahaman kedua-dua belah pihak untuk menjalankan program ini. Selain itu, Penerbit UTM Press turut menyumbangkan Reading Station yang dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan untuk manfaat pelajar.

Picture
Sesi menandatangangi MoU program CSR@DVCRI antara pihak SK Tanah Abang, Mersing dan pihak UTM
Picture
Sumbangan Reading Station kepada pihak SK Tanah Abang, Mersing

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang aktiviti berkumpulan serta cenderahati kepada sekolah, guru-guru dan murid-murid yang terlibat. Montaj yang memaparkan perjalanan aktiviti sepanjang hari turut ditayangkan, disusuli dengan nyanyian lagu Gemuruh oleh semua peserta sebagai simbolik semangat dan inspirasi yang dikongsikan. Sesi bergambar menutup tirai program menjadi kenangan kepada usaha murni kedua-dua pihak. Program CSR ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UTM untuk memperkasa komuniti pendidikan melalui pendekatan inovatif, serta memupuk kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah-sekolah di kawasan luar bandar.

Picture
Sesi penyampaian hadiah bersama pelajar-pelajar SK Tanah Abang, Mersing

Explore More