November 3, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at dbe

JOHOR BAHRU, 3 Okt – Kolej Rahman Putra (KRP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta sejarah dengan penyertaan sulung dalam pertandingan Akademia Baharu Inovasi Pembelajaran 2024 (NALI2024) yang berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Pusat Pemajuan dalam Pendidikan Digital dan Fleksibel (UTMCDex) ini bertujuan mengiktiraf dan meraikan sumbangan para pendidik dalam pendidikan melalui amalan dan pendekatan pengajaran yang inovatif. Dengan lebih daripada 123 penyertaan dari pelbagai jabatan dan kumpulan penyelidik, KRP berjaya meraih pingat gangsa, membuktikan komitmen dan kreativiti pasukannya dalam pembangunan mahasiswa.

NALI poster finalize (hazri)
Poster yang digunakan semasa pertandingan NALI2024

Projek yang dipertandingkan bertajuk Knowledge Transfer Of Sustainability: Repurposing Old Tires Into Attractive Flowerpots, diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Haizal Jamaludin, Pengetua KRP, bersama ahli kumpulan lain seperti Ts. Mohd Hazri Ishak, Dr. Farkhana Muchtar, Norzielawaty Zainal Abidin, Zamree Rahmat, dan Abdul Rashid Zailan.

Inisiatif pembelajaran ini telah dilaksanakan di empat buah sekolah pada tahun 2024 dengan matlamat memperkenalkan konsep kitar semula bahan terbuang kepada murid, guru, dan kakitangan sekolah. Melalui aktiviti amali (hands-on), peserta diajar untuk mengubah tayar kenderaan terbuang menjadi kotak tanaman yang menarik, selaras dengan tema pemuliharaan alam sekitar.

WhatsApp Image at fec
Pengetua KRP bersama Felow KRP selepas persiapan reruai pameran dibuat

Program Perpindahan Ilmu ini menggunakan pendekatan pembelajaran luar bilik darjah yang interaktif dan praktikal, membolehkan peserta memahami tanggungjawab mereka dalam memulihara alam sekitar. Dengan fokus kepada pelbagai kategori peserta, termasuk murid berkeperluan khas dan arus perdana, program ini terbukti berkesan dalam meningkatkan pemahaman dan kemahiran praktikal mereka, serta menggalakkan penggunaan teknik inovatif dalam kehidupan seharian.

WhatsApp Image at eadc
Pengetua KRP memberi penerangan mengenai projek kepada tetamu yang hadir

Majlis pembukaan NALI2024 dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, pada 2 Oktober 2024. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan inovasi dalam pendidikan bagi mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran masa depan. NALI2024 turut diadakan serentak dengan Pameran Seni Industri dan Teknologi (INATEX) 2024 serta Festival Inovasi 2024, di mana semua program ini berkongsi matlamat yang sama iaitu mengiktiraf elemen inovasi dalam aktiviti harian warga UTM.

Keputusan pertandingan diumumkan pada hari terakhir, menyaksikan KRP berjaya meraih pingat gangsa. Proses penjurian melibatkan dua orang panel penilai, dan keputusan ini mengiktiraf usaha serta dedikasi pasukan KRP. Ini merupakan penyertaan pertama dari KRP dan juga dari mana-mana kolej di UTM. Kejayaan ini menjadi pencapaian penting bagi KRP, membuktikan bahawa kaedah pembelajaran berasaskan projek mampu memberi pendedahan serta kemahiran interpersonal kepada mahasiswa dalam mempersiapkan diri menghadapi dunia pekerjaan.

WhatsApp Image at effc
Tetamu yang hadir di reruai pameran KRP semasa program berlangsung

Agenda pembangunan mahasiswa melalui kaedah pembelajaran berasaskan projek akan terus diperkasa oleh KRP. Kolej ini komited menyediakan lebih banyak peluang kepada mahasiswa untuk memperluas kemahiran dan pengetahuan melalui inisiatif inovatif. Dengan kejayaan ini, KRP berharap untuk terus menyertai program seumpama ini pada masa hadapan, menjadi kolej yang cemerlang dalam pembangunan mahasiswa. KRP juga berhasrat untuk terus menyumbang dalam inovasi pembelajaran dan memperkukuh nama UTM sebagai peneraju pembangunan sahsiah mahasiswa yang unggul di Malaysia.

Exhibition & Competition Bronze Award Recipients

Explore More