Oktober 16, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image NewsHub ()

Pada Khamis tanggal 10 Oktober 2024 bertempat di Dewan Senat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah berlangsung program Strategy Management Series yang dianjurkan oleh Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat (OSCA) UTM.

Tokoh akademik ternama, Yang Berbahagia Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), telah menyampaikan siri perkongsian beliau bertajuk “Economic Strategies for Future-Proofing Public Research Universities”.

Yang Berbahagia Tan Sri Noor Azlan telah banyak menyampaikan sudut pandangan, isi hati dan visi beliau mengenai pendidikan tinggi Malaysia. Secara umumnya, beliau mengemukakan satu pandangan yang boleh disifatkan radikal, berani dan terus terang. Gaya penyampaian beliau juga tampak lebih bersahaja, mudah difahami oleh khalayak yang pelbagai aras pemikiran dan latar belakang.

Buah fikiran Yang Berbahagia Tan Sri Noor Azlan yang utama daripada perkongsiannya ialah untuk ahli-ahli akademik dan warga pendidikan tinggi untuk “mencabar kelaziman.” Beliau mentakrifkan ajakan ini sebagai satu usaha untuk membawakan perubahan, reformasi, atau transformasi terhadap keadaan sedia ada, yang beliau namakan sebagai warisan, legasi, atau kejayaan masa lalu.

Ajakan beliau ini begitu tepat pada masanya. Dalam dunia masa kini yang menampakkan ciri-ciri yang rencam (complex), bercanggahan (contradicting) dan tidak tersusun (chaos), warga pendidikan tinggi amat perlu untuk memulakan usaha untuk melihat dengan lebih dekat amalan biasa yang sudah ditanam dalam pekerjaan seharian.

Beliau ada memberikan satu contoh, iaitu amalan berbengkel yang amat “sinonim” dengan dunia pendidikan tinggi atau universiti. Beliau bahkan berseloroh mengatakan hotel-hotel di Malaysia boleh hidup bisnes mereka kerana universiti menjadi “pelanggan tetap” hotel-hotel untuk tujuan mengadakan bengkel.

Daripada kaca mata bidang penyelidikan dan falsafah, amalan “mencabar kelaziman” sebenarnya masih relatifnya baru dan bukan menjadi satu pemikiran yang dimiliki oleh kebanyakan orang.

“Mencabar kelaziman” adalah salah satu cabang paradigma daripada tiga (3) yang utama iaitu paradigma pasca-positivis, paradigma interpretif dan paradigma teori kritikal. “Mencabar kelaziman” amat dekat dengan paradigma yang ketiga iaitu paradigma teori kritikal atau “critical theory paradigm”.

Untuk memahami lebih lanjut paradigma teori kritikal, pembaca boleh merujuk tulisan oleh David Treagust dan Mihye Won dalam bab dalam buku “Paradigms in Science Education Research” tahun 2023 terbitan Routledge.

Paradigma kritikal mempunyai asas dalam gerakan-gerakan massa yang berlaku disebabkan adanya satu ketidakpuashatian kepada ketidakadilan yang terjadi kepada sebilangan ahli masyarakat. Gerakan massa ini tidak hanya berpaksikan pemikiran yang sekadar mahu mengetahui dan memahami keadaan, sebaliknya mahu BERTINDAK MELAKUKAN PERUBAHAN.

Jadinya, paksi Paradigma Teori Kritikal ialah TINDAKAN UNTUK MENCABAR STATUS QUO. Status quo merujuk kepada keadaan semasa yang mahu dikekalkan oleh sebilangan orang yang mendapat manfaat daripadanya.

Sebagai contoh, jika kita mahu membuat pinjaman wang daripada bank, bank akan mengenakan kadar faedah tertentu dan kita bukan hanya membayar nilai hutang yang diambil. Jika kita membuat hutang RM 10,000, maka kita akan diminta membayar semula dengan nilai seperti RM 14,000. Dalam keadaan ini, kita tidak punya pilihan, dan hanya perlu mengikut ketetapan bank. Ini satu contoh “status quo”.

Dalam konteks pendidikan tinggi, sebenarnya banyak status quo yang diwarisi daripada era terdahulu. Status quo ini sepertinya yang lazim ialah, dalam pendekatan mengajar, ramai pensyarah masih percaya bahawa kaedah kuliah atau penerangan masih menjadi kaedah paling berkesan untuk pelajar memahami kandungan pelajaran.

Banyak usaha dibuat untuk mentransformasi amalan pengajaran di universiti, seperti pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan masalah. Namun, usaha yang demikian tidaklah disambut oleh kesemua lapisan pengajar.

Ada yang masih tidak percaya bahawa pelajar dapat belajar daripada rakan-rakan mereka, dan ada juga pengajar masih percaya kaedah kuliah yang terbaik untuk diamalkan tidak mengira generasi pelajar apapun.

Justeru, hambatan utama kepada “mencabar kelaziman” ialah SISTEM KEPERCAYAAN. Sistem sedia ada, baik pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan, mempunyai set kepercayaan yang telah dibina sekian lama. Sistem kepercayaan ini lazimnya mempunyai kisah kejayaan tersendiri, seperti pernah menerima pengiktirafan sebagai sistem yang inovatif pada tahun-tahun terdahulu.

Namun, sampai bilakah sistem yang pernah diberikan pengiktirafan inovatif itu akan terus kekal menerima label “inovatif”?

Persoalan di atas perlu difikirkan jika kita mahu mencabar kelaziman. Sistem yang dibangunkan dan diberikan label “inovatif” mungkin hanya akan bertahan dalam tempoh tertentu, seperti 3 tahun, dan bukanlah selama-lamanya.

Ini adalah intipati “mencabar kelaziman”. Usaha mencabar kelaziman menuntut untuk inovasi dibudayakan secara berterusan, bukan secara sekali-sekala atau hanya pada waktu tertentu.

Di UTM, tagline “Menginovasi Penyelesaian” adalah satu mantera yang boleh berfungsi untuk “mencabar kelaziman”. Mantera ini mengajak semua warga pendidikan tinggi umumnya dan warga UTM khususnya untuk bersifat terbuka kepada perubahan semasa, bersedia untuk melakukan perubahan, dan akhirnya MENJAYAKAN perubahan yang direncana.

Dalam perkongsian oleh Tan Sri Noor Azlan, beliau amat menekankan perihal “TINDAKAN”. Beliau memberikan pandangan betapa banyaknya pelan perancangan yang dibuat oleh negara, namun sehingga kini tidak dapat berhasil secara menyeluruh. Beliau memberikan contoh, isu siswazah menganggur telah dibincangkan sejak tahun 2006, namun sehingga kini ia tetap menjadi satu isu negara.

Kembali kepada Paradigma Teori Kritikal. Paradigma ini menekankan agar manusia menjadi ejen perubahan yang bertindak untuk memperbaiki, mereformasi atau mentransformasi keadaan semasa, dan tidak sekadar hanya dapat memahami keadaan ini sahaja. Paradigma kritikal menuntut TINDAKAN untuk mencabar status quo dan melakukan perubahan.

Pada peringkat negara, kita sering kali terdengar YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bercakap tentang “merubah amalan-amalan biasa”. YAB Perdana Menteri, jika dibezakan dengan Perdana Menteri sebelumnya, boleh dianggap yang paling lantang, berani, dan tidak takut-takut bercakap tentang membuat perubahan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim memiliki citra seorang pemimpin yang mengemudi Gerakan Reformasi, sebuah gerakan massa yang mahu menuntut adanya sistem yang lebih baik dan menentang penyelewangan, rasuah serta salah guna kuasa, yang bermula gerakan ini secara rasmi sejak tahun 1998. Dari tahun berkenaan hingga ke saat beliau menjadi Perdana Menteri ke-10, beliau tampak konsisten membawa konsep “Membuat Perubahan”.

Watak seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim inilah yang memiliki set pemikiran “Paradigma Teori Kritikal”. Walaupun beliau kini berada di tampak kekuasaan, beliau tetap dengan agenda Reformasi dan tidak takut-takut bercakap mengenainya walau setelah menjadi Perdana Menteri.

Persoalannya, adakah ada watak seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam dunia akademia ini, yang tidak takut atau gentar mengajak orang membuat perubahan?

 Para era terdahulu, watak seperti Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz, mantan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) tampak menyerlah dengan pemikiran “mencabar kelaziman”. Banyak usaha beliau dalam membawakan sistem ekonomi yang lebih saksama, dan benar-benar “mencabar kelaziman” seperti penubuhan Tabung Haji bagi membantu Muslim di Malaysia menunaikan Haji walaupun tanpa dana simpanan yang besar.

Penubuhan Tabung Haji adalah satu cerminan pemikiran “luar kotak” oleh beliau. Jika orang biasa berfikir bahawa ibadah Haji hanya mampu dilaksana oleh orang kaya atau maha kaya (perkataan yang sering digunakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim), Ungku Aziz tampak mempunyai set pemikiran berbeza. Beliau sepertinya berkeyakinan bahawa sepatutnya lebih ramai orang Islam di Malaysia dapat mengerjakan ibadah Haji, dengan bantuan Kerajaan serta pelaburan yang dibuat oleh orang Islam di Malaysia dalam akaun Tabung Haji, bagi membantu orang-orang Islam yang kurang kemampuan ekonomi untuk mengerjakan ibadah Haji.

Pada era kini, pendidikan tinggi negara memerlukan tokoh yang berpandangan atau berparadigma teori kritikal seperti Ungku Aziz. Apakah warga pendidikan tinggi sekarang memiliki tokoh demikian?

Atau, lebih baik KITA SENDIRI yang menjadi insan terbabit? Tampaknya, kita sendiri yang perlu mencabar kelaziman cara kita berfikir.

Selamat Hari Akademia buat semua warga akademia di Malaysia!

Explore More