KUALA LUMPUR, 6 Okt – Mahasiswa baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur teruja bergandingan bersama Naib Canselor UTM dalam program “VC Sports Challenge: A New Beginning” yang dianjurkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UTM Kuala Lumpur. Objektif program ini adalah untuk mengeratkan ukhuwah antara mahasiswa baharu dan barisan Pengurusan Tertinggi Universiti, khususnya Naib Canselor UTM.
Program dimulakan dengan sesi senamrobik yang dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS), diikuti dengan ucapan perasmian oleh Naib Canselor, Prof. Datuk. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail. Dalam ucapannya, beliau menyatakan, “Program ini adalah peluang untuk kita semua berinteraksi dan mengenali satu sama lain. Saya berharap mahasiswa baharu akan mengambil kesempatan ini untuk membina hubungan yang bermakna dan meneruskan kecemerlangan dalam pengajian.” Ucapan beliau memberikan inspirasi dan motivasi kepada mahasiswa baharu, menekankan kepentingan penglibatan aktif dalam komuniti universiti.
Gimik pelancaran program iaitu ‘Woodball’ telah dilepaskan sebagai simbolik ‘kick-off’ acara sukan, menandakan permulaan aktiviti sukan bersama Mahasiswa Baharu 2024/2025. Pelbagai permainan menarik disediakan oleh fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa UTM Kuala Lumpur. Antara permainan yang diadakan termasuk bola tampar campuran, tarik tali (lelaki), sepak penalti campuran, dart campuran, dan woodball campuran. Pemilihan permainan ini bertujuan bukan sahaja untuk menguji kemahiran sukan peserta, tetapi juga menyemarakkan semangat kerjasama dan persahabatan dalam kalangan mahasiswa.
Sebagai penghargaan terhadap usaha dan semangat mahasiswa dalam menyertai pelbagai permainan, pemenang menerima hadiah kemenangan yang disampaikan oleh Naib Canselor, diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) dan Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur). Program diakhiri dengan sesi bergambar kenang-kenangan bersama sorakan dan senyuman mahasiswa dan mahasiswi. “VC’s Sports Challenges: A New Beginning” bukan sahaja sebuah acara sukan, tetapi juga platform untuk mahasiswa baharu menjalin hubungan erat sesama mereka serta pihak pengurusan universiti. Program ini diharapkan dapat menjadi permulaan positif, memberi semangat dan motivasi kepada mahasiswa dalam mengharungi perjalanan akademik di UTM dengan cemerlang.
Turut hadir memeriahkan program ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh; dekan-dekan fakulti serta ketua-ketua bahagian Pusat Tanggungjawab (PTJ) UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur.