Disember 4, 2024

Search
Close this search box.
JKR Feature Pic

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Seramai 34 pegawai dari Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru dan Kuala Lumpur telah menyertai lawatan teknikal ke Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur dan Bahagian Pembangunan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak. Lawatan ini diketuai oleh Pengarah Seksyen Kontrak dan Perolehan, BPA, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP), UTM Johor Bahru, Sr Asliza Bakar.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mendalami aspek kontrak Pengurusan dan Penyelenggaraan Fasiliti (FMM) secara komprehensif dalam pengurusan fasiliti di kedua-dua institusi. Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh diharapkan dapat diaplikasikan di UTM, khususnya dalam meningkatkan kecekapan pengurusan penyenggaraan bangunan yang telah berusia melebihi 30 tahun.

Setibanya di JKR, peserta lawatan disambut oleh Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan, Ir. Ahmad Shahruzi Ahmad. Seterusnya, perkongsian dibuat oleh Juruukur Bahan Penguasa dari Bahagian Kontrak dan Ukur Bahan, Sr. Haji Hussain Ismail. Beliau memberikan pendedahan mendalam mengenai tatacara pelaksanaan kontrak FMM, termasuk Syarat Kontrak Pengurusan Fasiliti & Penyenggaraan (COC-PWD FMM 2016). Penerangan ini merangkumi proses perolehan dan pelaksanaan FMM untuk memastikan bangunan kerajaan berfungsi secara optimum.

Bersama staf Ibu Pejabat JKR yang diketuai oleh Ir. Ahmad Shahruzi  Ahmad, Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan

Delegasi juga berkesempatan melawat Menara Kerja Raya, di mana pengurusan kontrak FMM dilaksanakan. Kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang sudi meluangkan masa untuk berjumpa dan beramah mesra dengan delegasi, menambahkan lagi nilai lawatan ini. Beliau menekankan pentingnya kreativiti dan inovasi dalam melaksanakan projek pembangunan.

Pertemuan bersama Timbalan Menteri Kerja Raya

Lawatan diteruskan ke Bahagian Pembangunan UIAM, di mana peserta disambut oleh Timbalan Rektor (Penyelidikan & Inovasi Bertanggungjawab) yang menjalankan tugas sebagai Pengarah Eksekutif Pembangunan dan Perancangan, Prof. Dr. Amir Akramin Shafie. Sesi di UIAM dipimpin oleh Pengarah Pembangunan, Hazlina Mazlan yang memberikan penerangan mengenai pelbagai aspek kontrak FMM yang dipraktikkan di UIAM. Selain itu, perkongsian juga dibuat mengenai penggunaan UIAM Spatial Information & Facilities Management System, sebuah platform yang memudahkan pemantauan dan pengurusan ruang serta penyelenggaraan secara lebih sistematik dan berkesan. Sistem ini bukan sahaja mempercepat proses penyelenggaraan, tetapi juga menyediakan data analitik yang berguna untuk pengambilan keputusan.

Delegasi berpeluang berinteraksi secara langsung dengan kakitangan UIAM, yang berkongsi pengalaman dan cabaran dalam melaksanakan pengurusan fasiliti. Diskusi terbuka ini memberikan pandangan mendalam mengenai bagaimana UIAM berjaya menangani isu penyelenggaraan dan meningkatkan kepuasan penghuni kampus.

IIUM
Pengarah Seksyen Kontrak dan Perolehan menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi Bertanggungjawab), UIAM  Gombak
Mahallah Asiah IIUM
Lawatan ke Mahallah Asiah UIAM Gombak

Lawatan teknikal ini bukan sekadar membuka peluang untuk belajar tentang kontrak pengurusan fasiliti, tetapi juga menjadi platform untuk membina hubungan kerjasama yang lebih erat antara UTM, JKR, dan UIAM. Dengan penguasaan maklumat dan kaedah baru yang lebih efektif, pihak BPA dapat meneroka pendekatan inovatif dalam pengurusan kontrak penyenggaraan bangunan di UTM.

Seksyen Kontrak dan Perolehan, selaku urusetia lawatan ini, ingin mengucapkan terima kasih kepada Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor Pembangunan dan Pengerusi BPA, serta semua pengarah Seksyen BPA, peserta, dan semua pihak yang terlibat. Lawatan teknikal ini dijangka mampu memberi manfaat yang berguna kepada semua pegawai di Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM.

Oleh Sr Asliza Bakar dan Norhayati Khidir

Explore More